Subuh
5:35
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:25
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Shanmugam: Radikalisme, keganasan masih ancaman

Menteri hargai sumbangan sukarelawan termasuk RRG, AMP, ACG tangani terorisme
Sep 18, 2022 | 05:30 AM



RADIKALISME dan keganasan atas nama agama dikhuatiri masih menjadi ancaman, sedang sesetengah pihak terus menyebarluas ideologi radikal dan bersikap eksklusif.



"Sedang beberapa negara ini terus melahirkan ideologi radikal dan eksklusif, apa yang berlaku ialah orang-orang di bahagian lain dunia mendapatinya menarik - ideologi ekstremis ini - termasuk sebahagian orang di Asia Tenggara" demikian amaran dan keprihatinan yang disuarakan Menteri Ehwal Dalam Negeri, Encik K. Shanmugam, semalam.



Menurutnya, pengaruh agama yang paling banyak memberi kesan - dari Timur Tengah ke atas Asia Tenggara.



Encik Shanmugam berkata, Arab Saudi dan beberapa negara telah menjalankan usaha serius untuk cuba menangani radikalisme, tetapi sedang langkah dan tindakan yang diambil dialu-alukan, ketidakstabilan masih terus membelenggu Timur Tengah.



Golongan muda, antara yang terjejas dengan kadar pengangguran yang tinggi dan rasa diabaikan oleh pemerintah, terdedah kepada propaganda pelampau, katanya di majlis makan tengah hari bagi menghargai sukarelawan masyarakat anjuran Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA).



Hasil tinjauan yang dijalankan di negara-negara di rantau ini dalam beberapa tahun kebelakangan pula menunjukkan, 25 peratus pelajar di Indonesia dalam tinjauan tahun lalu percaya pengeboman nekad atas nama agama adalah jihad, dan 28 peratus warga Malaysia dalam satu tinjauan pada 2018 berkata mereka terbuka kepada menggunakan keganasan untuk mencapai matlamat agama.



"Bagi kita, ini sudah tentu memberi kesan langsung dari segi keselamatan, memandangkan ratusan ribu rakyat Malaysia yang menyeberangi sempadan setiap hari, dan ramai lagi dari rantau ini yang, apabila perjalanan (rentas sempadan) dibuka semula, akan datang ke mari," katanya.



"Dan bagaimana itu akan memberi kesan kepada fabrik berbilang kaum, berbilang agama dalam masyarakat kita, yang kita jaga dengan teliti? Ini adalah cabaran besar yang tidak dapat diselesaikan oleh pemerintah sahaja," tambahnya.



Encik Shanmugam semalam turut mendedahkan hampir 85 peratus, atau 78 daripada 92 tahanan yang ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) sejak 2002 telah dibebaskan.



Baki 14 adalah tahanan lebih baru, dan kebanyakannya akan dibebaskan dalam masa terdekat.



"Tahanan asal, hampir kesemuanya telah dibebaskan, kecuali satu atau dua contoh yang sangat terkenal. Hasil ini tidak mungkin berlaku jika pemerintah melakukannya sendiri.



"Di seluruh dunia, malah di seluruh rantau ini, kadar pemulihan adalah rendah. Para tahanan, sebaik sahaja mereka dibebaskan, kembali dan melakukan perkara yang tidak baik. Ia berbeza di Singapura, kerana RRG dan ACG," tambahnya, merujuk kepada Kumpulan Pemulihan Keagamaan (RRG) dan Kumpulan Jagaan Lanjut Antara Agensi (ACG).



Tahun ini adalah tahun ke-20 idea penubuhan RRG dan ACG dicetus.



Majlis semalam turut dihadiri mantan menteri kabinet, Encik Wong Kan Seng, yang menyokong penubuhan kumpulan itu semasa menjadi Menteri Ehwal Dalam Negeri.



Laporan lanjut: Ustaz muda RRG lihat usaha nasihati individu radikal sebagai peluang




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >