Subuh
5:35
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:24
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Sukan
30
0

BOLA SEPAK SETEMPAT: PRESIDEN FAS LIM KIA TONG MENINGGAL DUNIA 

Lim diingati sebagai ketua bola sepak berdedikasi

Sep 15, 2022 | 05:30 AM



PRESIDEN Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS), Lim Kia Tong, meninggal dunia semalam.



Beliau berusia 70 tahun dan meninggalkan seorang balu dan dua anak - seorang anak perempuan berusia 31 tahun dan seorang anak lelaki berusia 30 tahun.



Di luar bola sepak, mendiang Lim merupakan seorang peguam dan mengetuai jabatan jenayah di Hin Tat Augustine and Partners.



Dalam arena bola sepak, beliau dikenali sebagai presiden dipilih pertama FAS - pasukannya menewaskan pasukan yang diketuai peniaga Bill Ng pada 2017.



Tahun lalu, beliau dipilih semula sebagai presiden secara sebulat suara.



Dalam kenyataannya mengenai mendiang Lim semalam, FAS berkata beliau ialah "seseorang yang penuh dedikasi terhadap sukan yang dicintainya".



FAS juga menambah bahawa mereka akan menyediakan ruang penghormatan di lobi pejabatnya di Stadium Jalan Besar bagi mereka yang mahu memberi penghormatan, mulai hari ini.



Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia, Encik Edwin Tong, pula berkata mendiang Lim mengabdikan diri kepada bola sepak, menghabiskan masa dengan melakukan yang terbaik untuk mengangkat bola sepak Singapurake taraf selanjutnya.



Encik Tong berkata:



"Beliau sedar bola sepak adalah sukan berpasukan dan memerlukan pasukan bukan sahaja di padang malah di luarnya juga. Oleh itu, beliau mendekati kumpulan dan individu yang berpendapat berbeza dan melalui sifatnya yang mesra, secara bertahap memulihkan perbezaan dan menyatukan semua."



Encik Tong berkata beliau mengenali mendiang Lim lebih lama sebelum itu, kerana kededuanya berkhidmat sebagai peguam.



Namun, Encik Tong dan mendiang Lim bersama-sama berkhidmat di Majlis FAS pada 2013.



"Dengan serta-merta, saya melihat sudut yang berlainan dalam beliau," kata Encik Tong, yang menambah mendiang Lim menunjukkan komitmen menyeluruh kepada bola sepak setempat.



"Di balik sikapnya yang kasual dan mesra adalah dedikasi yang kukuh untuk bola sepak, yang teguh melalui pengalaman bertahun-tahun beliau," tambah Encik Tong.



Kapten pasukan bola sepak negara, Hariss Harun, berkata berita pemergian mendiang Lim amat mengejutkan.



"Sebagai Presiden, beliau tidak putus memberi kata-kata motivasi dan perangsang kepada pasukan nasional sebelum setiap kejohanan.



"Beliau juga akan bercakap dengan kami apabila dapat bertemu biarpun di dalam atau di luar acara bola sepak. Jadi, bagi saya beliau adalah seorang Presiden yang sangat baik dalam tugasannya itu," kata Hariss.



Bekas pemain bola sepak nasional, Baihakki Khaizan, yang menyarung jersi negara sebanyak 142 kali, berkata Singapura telah hilang seorang tokoh yang berjuang untuk mengharumkan nama bola sepak tempatan.



"Beliau adalah seorang yang sangat komited dan mempunyai semangat yang mendalam terhadap bola sepak.



"Dalam kesibukan kerjanya sebagai peguam, beliau juga akan mengambil masa untuk hadir dalam acara bola sepak di samping menyandang jawatan bersama Fifa.



"Mendiang Lim juga adalah seorang Presiden yang mudah didekati. Apabila saya bercakap dengannya, kami berbincang dalam terma bola sepak dan ini terbukti komitmen beliau terhadap sukan itu," kata Baihakki yang kini mendukung jawatan Ketua (Projek Khas) dan Duta di FAS.



Selepas menjadi presiden FAS, mendiang Lim mendukung tanggungjawab menyelia pentadbiran Liga Bola Sepak Nasional - yang kini dikenali sebagai Liga Bola Sepak Singapura - dan membantu memikat penaja baru seperti Ajinomoto (S), mengatur perlindungan insuran, dan mempertingkat penjadualan perlawanan serta memastikan tempat yang betul untuk pertandingan amatur pada 2017.



Dalam bola sepak dunia, mendiang Lim adalah tokoh yang sangat dihormati kerana peranannya sebagai timbalan pengerusi jawatankuasa disiplin Fifa (DC), dan sebagai pengerusi Konfederasi Bola Sepak Asia DC.



Kebangkitan beliau dalam bola sepak bermula pada 1999 apabila pertama dilantik sebagai ahli Majlis FAS dan menjelang 2007, beliau telah dilantik sebagai naib presiden FAS.



Mendiang Lim kekal sebagai tokoh yang rendah diri sehinggalah Piala Dunia 2014 apabila beliau menjadi sebahagian daripada DC yang mengeluarkan larangan empat bulan dan denda 100,000 franc Swiss ($146,000) terhadap penyerang Uruguay, Luis Suarez, kerana mengigit pemain pertahanan Italy, Giorgio Chiellini, dalam kejohanan tersebut.



Sebagai menghormati mendiang Lim, semua empat perlawanan Liga Perdana Singapura (SPL) pada hujung minggu ini akan ditangguh ke Oktober.



Acara pemilihan bagi Piala Singapura, yang dijadual semalam, juga ditangguh.




PENGHARGAAN MENTERI KEBUDAYAAN, MASYARAKAT DAN BELIA, ENCIK EDWIN TONG DALAM CATATAN DI FACEBOOK



"Beliau sedar bola sepak adalah sukan berpasukan dan memerlukan pasukan bukan sahaja di padang malah di luarnya juga. Oleh itu, beliau mendekati kumpulan dan individu yang berpendapat berbeza dan melalui sifatnya yang mesra, secara bertahap memulihkan perbezaan dan menyatukan semua.



... Di balik sikapnya yang kasual dan mesra adalah dedikasi yang kukuh untuk bola sepak, yang teguh melalui pengalaman bertahun-tahun beliau.''




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >