Subuh
5:36
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:24
Maghrib
7:07
Isyak
8:19

Mahu bersara ‘awal’?... Buat rancangan seawalnya

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

PANDANGAN

Mahu bersara ‘awal’?... Buat rancangan seawalnya

Sep 03, 2023 | 11:22 AM



Semasa mula bekerja pada usia 20-an tahun, saya pernah menanam niat mahu bersara semasa mencapai usia kurang lebih 55 tahun.

Sebabnya, umumnya pada usia itu kita masih sihat dan boleh bergerak ke sana sini, termasuk mampu melakukan kegiatan fizikal, sukarelawan dan melancong ke luar negara.

Sebab kedua, tahap kewangan sudah agak mantap dan mungkin mencukupi untuk menyara hidup selepas tidak bekerja, walaupun perlu lebih bercermat dalam perbelanjaan.

Ketika itu, beberapa kenalan rapat mengutarakan beberapa soalan: Cukupkah wang terkumpul apabila sampai 55 tahun? Bolehkah tampung kos sara hidup selepas tidak bekerja? Hendak buat apa selepas tidak bekerja?

Semasa itu saya tiada jawapan pasti, hanya menjawab: “Insya-Allah, tak cuba tak tahu. Yang penting kita merancang.”

Kini, selepas 30 tahun bekerja sepenuh masa, saya sedar persoalan lebih penting adalah sama ada pada usia 55 tahun mahupun 60 tahun, apakah kita sudah mencapai kebebasan kewangan (financial independence) untuk mampu bersara, tanpa menghadapi isu kewangan.


Kebebasan kewangan bermakna kita mempunyai wang mencukupi untuk menjalani kehidupan yang diinginkan tanpa pendapatan daripada pekerjaan – melainkan kita sendiri mahu tetap bekerja.

Rancang Kewangan

Untuk bersara ‘awal’ (sebelum usia persaraan rasmi 63 tahun), kita perlu melakukan perancangan kewangan jauh lebih awal.

Bagi saya sendiri, sejak mula bekerja pada usia 20-an tahun, amalan biasa adalah menyimpan sekurang-kurangnya 20 peratus gaji bersih (selepas ditolak 20 peratus gaji ke dalam Tabung Simpanan Pekerja atau CPF). Sejurus mendapat gaji, saya ketepikan secepatnya minimum 20 peratus simpanan itu ke akaun bank yang tidak atau jarang disentuh. Bak kata pepatah, sedikit demi sedikit lama-lama menjadi bukit.

Semasa usia muda juga sebaiknya kita membeli perlindungan insurans kerana pada usia muda – dan sebelum kita mendapat penyakit kronik – premium insuransnya agak rendah. Ini termasuk insurans hospital, insurans nyawa dan penyakit kritikal.

Selepas duit simpanan dan insurans dimantapkan, kita kemudian boleh fikirkan mahu membuat pelaburan seperti saham atau bon, dalam usaha memberi pulangan kewangan pasif.

Tokokan Bayaran Rumah

Satu lagi amalan adalah menokok pembayaran rumah melalui wang tunai – setiap hujung tahun – tambahan kepada bayaran bulanan melalui CPF.

Cara ini mengurangkan jumlah pokok pinjaman dengan lebih cepat selain mengurangkan bayaran faedah ke atas harga rumah kita. Walaupun tokokan rumah itu tampaknya tidak besar, sedikit-sedikit ia sebenarnya membantu mengurangkan kos pembayaran sama ada bagi rumah HDB mahupun swasta.

Dan sebelum kita bersara, seharusnya bayaran rumah sudah pun selesai. Pelunasan bayaran perumahan ini merupakan antara petunjuk utama untuk mencapai kebebasan kewangan sebelum kita mahu memasuki tempoh persaraan.

Jika kita masih berhutang bagi rumah kita selepas melepasi 55 tahun misalnya, umumnya kita belum mencapai kebebasan kewangan tersebut.

Tampung Kos Sara Hidup

Ramai penasihat kewangan menyatakan apabila kita bersara, kita harus mempunyai wang belanja sekurang-kurangnya separuh daripada gaji bulanan semasa kita bekerja.

Maknanya jika sebelum bersara kita meraih pendapatan $4,000-$6,000 sebulan, semasa bersara pula kita harus mempunyai sumber kewangan untuk menampung wang belanja $2,000-$3,000 sebulan.

Dalam hal ini, satu perkembangan baik adalah pembentukan skim CPF LIFE yang diperkenalkan pada 2009. Ia memberi jaminan pembayaran sepanjang hayat kepada warga emas untuk mengharungi zaman persaraan selepas mencapai 65 tahun, apabila mereka boleh mula menerima pembayaran CPF LIFE yang akan membantu membiayai (sebahagian) kos sara hidup.

Buat apa lepas bersara?

Selepas difikirkan apa yang mahu dilakukan selepas bersara, beberapa perkara timbul dalam minda. Antaranya, kita masih boleh melakukan kerja secara sambilan untuk meraih pendapatan.

Bagi saya sendiri, saya berminat melakukan kerja kemasyarakatan dan kegiatan sihat lain termasuklah khidmat menghantar makanan kepada golongan memerlukan kendalian pertubuhan amal.

Saya juga berminat menyertai kegiatan anjuran masjid selain menjadi sukarelawan bagi membantu penganjuran kegiatan kemasyarakatan sama ada oleh masjid mahupun pertubuhan amal. Ini agar minda dapat terus aktif.

Rumusan

Kini, sedang usia saya mendekati 55 tahun, bayaran rumah sudah dilunaskan, kos pembelajaran anak pula sudah usai, sudah tibanya masanya bagi saya berfikir secara serius tentang masa sesuai untuk bersara – sejajar dengan hasrat saya satu masa dahulu.

Sekurang-kurangnya, saya tidak lagi dibebankan dengan kos belanja besar selain sudah semakin mencapai tahap kebebasan kewangan.

Cuma, bekerja sebagai wartawan di Seksyen Luar Negara Berita Harian (BH) masih mengujakan saya dan memberi kepuasan bertugas apabila saya mencari dan mengongsi cerita dan berita menarik di luar negara bersama audiens BH. Teman sepejabat juga saling menyokong serta mewujudkan suasana tempat kerja yang baik lagi menyihatkan minda, rohani dan jasmani.


Rumusnya, saya berasakan saya “terpaksalah menangguhkan” hasrat untuk bersara pada usia 55 tahun, satu impian yang pernah saya dambakan pada satu masa dahulu. Mungkin saya boleh fikirkan lagi dalam beberapa tahun lagi.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >