Subuh
5:36
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:24
Maghrib
7:07
Isyak
8:19

Jalan Ampas kembali seri dengan perkongsian Dayang Sofia, Zaiton

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Jalan Ampas kembali seri dengan perkongsian Dayang Sofia, Zaiton

Feb 12, 2024 | 04:39 PM



Apabila ditanya tentang filem Melayu klasik, sebilangan penonton mungkin hanya mengenali seniman agung Allahyarham Tan Sri P. Ramlee sahaja.

Hanya segelintir orang sahaja yang mungkin mengetahui lebih lanjut tentang seniman dan seniwati yang biasanya menjadi pelakon pembantu dalam filem arahan P. Ramlee.

Di atas keinginan menyemarakkan kembali minat ramai khususnya generasi muda tentang sejarah dan warisan perfileman Melayu di Jalan Ampas di samping mengupas kisah balik tabir zaman gemilang filem Melayu, pencinta dunia hiburan nostalgia, Cik Siti Aminah Ismail, 40 tahun, akan menganjurkan sesi bertemu mesra secara eksklusif dengan dua seniwati filem Melayu klasik, Dayang Sofia dan Zaiton Abdullah.

Sesi ‘Light, Camera, Action! @ Jalan Ampas’, bakal diadakan pada 9 Mac dari 2 petang hingga 4 petang di Jalan Ampas dan menampilkan Dayang Sofia dan Zaiton yang pernah disatukan dalam filem Bujang Lapok dan Seniman Bujang Lapok.


Cik Siti Aminah, yang mengusahakan syarikat penganjur acara bintang lama, Wadah Seni Entertainment, memberitahu Berita Harian (BH) bahawa tujuan sesi itu diadakan adalah bagi membongkar sejarah studio Jalan Ampas dan memberi peluang kepada hadirin mengenali Dayang Sofia, 85 tahun, dan Zaiton, 86 tahun, secara mendalam.


“Dunia seni Dayang Sofia dan Zaiton hanya tinggal kenangan, tetapi legasi yang ditinggalkan mereka masih diminati hingga sekarang.

“Saya amat rapat dengan mereka berdua, dan mereka sering meluahkan perasaan mereka kepada saya, terutama sekali bagaimana mereka tidak rasa cukup dihargai.

“Dari situ, tercetus idea untuk saya menganjurkan sesi pertemuan ini kerana mereka adalah permata terbilang yang harus kita raikan,” jelasnya.

Cik Siti Aminah berkongsi bahawa beliau kali pertama mengenal Dayang Sofia, atau nama sebenarnya, Dayang Chik Awang Rambli, dan Zaiton pada acara Mengenang Pelakon Jalan Ampas di kafe Kaw Kaw SG pada 2016, dan sejak itu, sentiasa berhubung dengan mereka.







Sebagai penggemar filem Melayu klasik, hubungan rapatnya dengan mereka membolehkannya bertanyakan soalan tentang pengalaman penggambaran dan bagaimana kehidupan sebagai pelakon Jalan Ampas pada era kegemilangan filem Melayu sekitar 1950-an dan 1960-an.

“Saya tanya di mana mereka tinggal, di mana pejabat pengarah, di mana tempat lepak kegemaran artis lain. Jadi, semua ini ingin dikongsi dengan hadirin semasa acara ini.

“Contohnya, tidak ramai orang tahu ada artis tinggal di Boon Teck Road yang terletak di belakang studio sahaja. Kediaman ini untuk pelakon asing sebab pelakon tempatan seperti Zaiton tinggal di rumah sendiri.

“Saya mahu berkongsi semua ini dan butiran lain kepada mereka yang hadir. Tiket sesi bertemu pun sudah banyak habis. Jadi saya menggesa mereka yang berminat untuk tidak melepaskan peluang ini,” ujar Cik Siti Aminah lagi.

Setiap tiket berharga $30 dan boleh ditempah melalui Facebook Wadah Seni Entertainment. Sesi itu juga menampilkan Encik Mohamed Faizal Mohamed Salim, pemain alat muzik tradisional Cina, guzheng, yang akan memainkan lagu filem klasik secara langsung.

Oleh kerana beliau arif dalam selok-belok industri penggambaran filem Melayu klasik, Cik Siti Aminah juga diminta terlibat dalam proses kajian dan penghasilan filem biopik P. Ramlee – Jeritan Batinku yang bakal memulakan penggambaran pada Julai ini.


Filem itu, yang merupakan hasil kerjasama syarikat Inkhouse Media Pte Ltd (Singapura) dan Inkhouse Pictures Sdn Bhd (Malaysia), akan membentangkan kisah sebenar P. Ramlee melalui pelbagai peringkat kehidupannya.

Pengarah dan penulis skrip filem itu, Adlin Aman Ramlie, dan penerbit eksekutif filem itu yang juga tokoh penyiaran kelahiran Singapura, Datuk Khairul Anwar Salleh, menetapkan matlamat memperkenalkan P. Ramlee kepada golongan muda.

Khairul Anwar, yang pernah menerajui kepimpinan di Astro, Media Prima dan Primework Studio, juga merupakan pengarah urusan Inkhouse Media Pte Ltd (Singapura) dan Inkhouse Pictures Sdn Bhd (Malaysia).




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >