Subuh
5:36
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:24
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

‘Polis Evo 3’ sarat aksi, humor, kisah persahabatan

Pengarah Syafiq Yusof tambah nilai filem polis komedi dengan kutipan lebihi ‘Mat Kilau’, sebanyak $4.7j dalam empat hari
May 31, 2023 | 04:41 PM



AKSI polis berkejar-kejar dengan penjahat dan babak pengeboman nekad dari satu tempat ke tempat lain bak dalam filem siasatan penuh saspens Hollywood memang terpampang di depan mata tanpa henti.

Kisah persahabatan dua pegawai polis, Inspektor Khai (lakonan Shaheizy Sam) dan Inspektor Sani (Zizan Razak) yang penuh pasang surutnya juga menyentuh jiwa.

Ditambah dengan beberapa dialog lucu lagi selamba dan kehadiran nama besar industri hiburan Malaysia seperti Sharnaaz Ahmad, Syafiq Kyle dan Nora Danish, memang tidak dapat dinafikan Polis Evo 3 memiliki daya tarikan tersendiri.


Tidak hairanlah jika dalam masa empat hari ia ditayangkan di pawagam Malaysia, Singapura dan Brunei, filem arahan Syafiq Yusof ini berjaya mengumpulkan jualan tiket RM16 juta ($4.7 juta).

Bahkan, mengikut rekod, ia adalah filem selepas pandemik yang mengumpulkan kutipan terbanyak dalam masa empat hari minggu pembukaan mengatasi filem kutipan Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan.


Filem epik yang mencetus fenomena arahan Syamsul Yusof, abang Syafiq, itu mengumpulkan RM12.2 juta selepas empat hari ditayangkan.

Malahan, dalam kunjungan penulis ke pawagam Cathay Cineleisure pada Selasa, boleh dilihat pelbagai lapisan penonton datang menyaksikannya.

Mereka terdiri daripada pasangan suami isteri yang sudah bersara, pasangan suami isteri muda, sekumpulan sahabat dan wanita yang datang menyaksikan filem ini ‘sendirian berhad’.







Daya tarikan Polis Evo 3 yang membuatkan seisi pawagam seramai lebih 30 orang tergelak terletak pada penyelarasan babak aksi yang baik dan boleh dikatakan setanding dengan filem Barat dan Hong Kong.


Setiap aksi pengeboman, tembakan dan kejar mengejar serta kenderaan berpecut laju untuk saling memintas nampak realistik dan seakan-akan membawa penonton ke zon bahaya yang mendebarkan dada.

Syafiq, dalam satu wawancara terdahulu bersama Berita Harian, menyatakan, beliau memang menitikberatkan kesan khas dan janaan komputer bagi babak aksi.


Itulah perkara yang membuatkan penonton tidak betah daripada tempat duduk dan akan sentiasa tertunggu-tunggu adegan mencengkam jiwa dan pecutan adrenalina yang memuncak selanjutnya.

Keserasian antara Zizan dengan Sam memang tidak dapat dinafikan. Boleh dibayangkan kededuanya sama seperti itu di alam nyata.

Inspektor Khai dan Inspektor Sani boleh saling menyindir atau memarahi satu sama lain.

Tetapi yang takkan terluput di dada adalah semangat setia kawan mereka serta kasih sayang yang wujud bak adik-beradik dalam misi sehala.







Dalam filem kali ini, Inspektor Khai menjadi sasaran seseorang dalam kehidupan silamnya yang mendendami dirinya.

Pemilihan Sharnaaz membawa watak sebagai si pendendam bernama Reza adalah tepat kerana penguasaan watak yang mampu berubah mengikut keadaan ini dijayakan oleh Sharnaaz dengan baik.

Sebagai antagonis, Sharnaaz memang menampilkan lakonan cemerlang sehingga penonton boleh membencinya.

Persahabatan Inspektor Khai dan Inspektor Sani teruji, lebih-lebih lagi apabila Khai bercinta dengan adik Sani, Anis (Nora Danish).

Ada beberapa babak emosi di mana Anis masih tidak pasti hati Khai letak di mana lantas menyangsikan kesetiaan dan kasih sayangnya.

Sebagai abang, Sani tentunya melindungi adiknya dan enggan Anis dikecewakan meskipun oleh sahabat yang dipercayainya iaitu Khai.

Polis Evo 3 menyelami dasar hati manusia yang boleh berubah mengikut keadaan. Kalau terluka dan payah menerima qadak dan qadar, seseorang boleh bertukar menjadi penjahat paling kejam sebagaimana watak Reza.


Nora yang berlakon dalam filem Polis Evo tetapi tiada dalam Polis Evo 2 kembali membawakan watak Anis yang lebih memerlukannya bermain dengan emosi bercampur-baur kerana tersepit dalam dunia ‘penyelamat masyarakat’ abang dan kekasihnya yang sering hidup dengan ancaman bahaya penjenayah yang mereka buru.


Kita lihat Nora yang lebih matang dan bukannya yang kebudak-budakan.

Syafiq Kyle pula ditampilkan sebagai polis baru, Inspektor Dani, dalam filem ini meskipun peminatnya akan kecewa tidak banyak adegan membabitkan dirinya.

Farali Khan selaku Inspektor Julie, satu-satunya pegawai polis wanita, dalam filem ini, pula nampak menyerlah daripada gaya penampilannya yang tangkas, lasak dan tidak mengukir senyuman... serius seakan memberitahu ramai, “Jangan berani dekat”.

Apa yang menarik juga adalah kehadiran tiga pelakon pembantu yang mempunyai adegan sedikit sahaja tetapi penuh impak dek faktor humor.

Douglas Lim selaku Inspektor Dell sering melontarkan kata-kata yang mencuit hati. Zulin Aziz yang terpaut pada pokok sambil memerhatikan Khai yang sasa mencuci kereta juga begitu selamba dan bersahaja.

Michael Ang, pengarah yang jujur dan kadangkala ‘laser’ dengan komennya juga hadir pada pembukaan tirai filem ini sebagai Chao, ketua samseng lembut yang cuba menindas Khai dan Sani tetapi terpaksa berundur diri.

Kalau anda memang gemarkan filem-filem polis, Tango & Cash, Ace Ventura: Pet Detective dan Beverly Hills Cop, Polis Evo 3 adalah yang dapat memuaskan hati anda.


Sambutannya dikatakan lebih hebat daripada francais filem Fast & Furious, Fast X di Malaysia, mungkin kerana konteks yang digunakan lebih dekat di hati dan berlatarbelakangkan suasana di Malaysia.


Sejauh ini, di media sosial, filem terbitan bersama Astro Shaw, Skop Productions dan TGV Pictures ini mendapat pujian menggunung daripada penonton.

Sebagai sutradara muda berpotensi besar dan kreatif, Syafiq yang mengambil-alih tugas sutradara daripada Ghaz Abu Bakar (Polis Evo) dan Joel Soh serta Andre Chiew (Polis Evo 2) menambah nilai yang berharga pada filem susulan ini.


Kalau filem pertama dapat mengumpulkan RM18 juta manakala yang kedua pula mencapai RM23 juta, tidak dapat disangkal Polis Evo 3 boleh meraih kutipan lebih banyak lagi.


Polis Evo 3 ditayangkan secara eksklusif di pawagam Cathay serata Singapura dengan tayangan khas bersama kehadiran Zizan, Sharnaaz, Syafiq Kyle dan Shaheizy Sam serta penerbit Joel Soh dan pengarah Syafiq Yusof akan diadakan pada 8 Jun (7 malam dan 7.45 malam).


Mereka akan hadir untuk bertemu hadirin dan menyampaikan cenderahati khas Polis Evo 3 buat penonton.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >