Subuh
5:37
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

PENAHANAN ISA

Pentingnya banteras ancaman radikalisasi bersama: Masagos

Mar 11, 2021 | 05:30 AM



KES belia yang ditahan kerana merancang menyerang sinagog di sini ialah satu 'hakikat mengerikan' bahawa keganasan dan risiko radikalisasi terus wujud di Singapura, tidak kira bangsa atau agama, kata Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad.



Mengulas mengenai berita seorang belia yang ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) bulan ini, Encik Masagos menekan kepentingan untuk terus membanteras ancaman radikalisasi ini bersama-sama sebagai satu negara.



"Saya bersyukur bahawa agensi keselamatan kita berjaya memintas rencana pemuda ini dengan cepat dan tangkas sebelum kemusnahan berlaku.



"Kita telah bekerja keras untuk memperkukuhkan perpaduan sosial dalam kalangan masyarakat berbilang bangsa dan agama kita.



"Dari itu, kita tidak boleh membiarkan ancaman radikalisasi untuk memecahbelahkan kita," ujar Encik Masagos dalam satu catatan di Facebook semalam.



Kes tersebut melibatkan Amirull Ali, 20 tahun, seorang bekas anggota Perkhidmatan Negara sepenuh masa.



Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (ISD) semalam berkata dia telah merancang melakukan serangan terhadap masyarakat Yahudi di sini.



Dia juga telah merancang untuk ke Gaza bagi menyertai sebuah sayap tentera Hamas dalam perjuangannya menentang Israel.



Untuk terus mengelakkan situasi seperti ini berlaku dalam masa akan datang, Encik Masagos berkata Singapura banyak melabur untuk membina kepercayaan di antara kepimpinan agama dan masyarakat.



Tambahnya, melalui usaha ini, pemimpin agama peka perlunya mengelak situasi ketegangan antara kaum dan mampu mengatasinya jika ia berlaku.



"Dalam masa-masa yang mencabar ini, saya gembira melihat para pemimpin berbilang agama kita berdiri teguh dan bersatu hati menyebarkan mesej keamanan dan kesatuan.



"Tetapi pengganas hanya perlu berjaya sekali sahaja untuk merosakkan keamanan dan kesentosaan negara kita.



"Kita mesti terus berwaspada, dan bersatu padu dalam kita berusaha untuk sama-sama melindungi orang-orang yang kita kasihi, masyarakat kita serta Singapura," katanya.



Mengulas tentang kes itu juga, Menteri Negara (Pembangunan Negara merangkap Ehwal Dalam Negeri), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, pula berkata keganasan bukan jawapan dan kita harus mendidik individu, khususnya golongan belia cara lain untuk memberi sumbangan yang lebih bermakna.



"Sementara kita boleh bersimpati dengan penderitaan orang lain, keganasan bukan jawapan atau penyelesaiannya.



"Individu, khususnya belia, harus dididik bahawa terdapat cara lain seperti berdoa dan program bantuan kemanusiaan yang sah, dan mereka boleh memberi sumbangan yang lebih bermakna dengan cara ini," kata Dr Faishal dalam satu catatan di Facebook.



Tambahnya, orang awam harus mengambil langkah campur tangan awal dan memberi bantuan kepada mereka yang memerlukannya sekiranya terdapat seorang individu yang mungkin telah menjadi radikal.




"Kita telah bekerja keras untuk memperkukuhkan perpaduan sosial dalam kalangan masyarakat berbilang bangsa dan agama kita.

Dari itu, kita tidak boleh membiarkan ancaman radikalisasi untuk memecahbelahkan kita...

Dalam masa-masa yang mencabar ini, saya gembira melihat para pemimpin berbilang agama kita berdiri teguh dan bersatu hati menyebarkan mesej keamanan dan kesatuan."

- Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >