Subuh
5:34
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:26
Maghrib
7:07
Isyak
8:20

Ciri baru aplikasi LifeSG permudah cari prasekolah bagi anak

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Ciri baru aplikasi LifeSG permudah cari prasekolah bagi anak

Sedia maklumat tentang prasekolah berlesen, yang akan datang dan tempat kosong
May 03, 2024 | 05:08 PM



Ibu bapa kini boleh mencari prasekolah yang tersedia dan terdekat untuk anak mereka menerusi ciri baru aplikasi LifeSG.

Antara ciri baru itu ialah carian prasekolah lebih pantas dan mudah buat ibu bapa, sekali gus membolehkan mereka membuat keputusan termaklum dan lebih jelas tentang urusan pendaftaran.

Ia juga menyediakan maklumat tentang prasekolah berlesen dan yang akan datang, termasuk tempat kosong dan cara menghubungi pusat-pusat itu.

Ini dikongsi oleh Menteri Negara (Pembangunan Sosial dan Keluarga merangkap Pendidikan), Cik Sun Xueling, kepada media semasa menghadiri sambutan ulang tahun ke-10 dan pelancaran gerakan Permulaan Kecil, Impian Besar (Start Small Dream Big, atau SSDB) di Gardens by the Bay pada 3 Mei.

“Ramai ibu bapa baru akan mengenali aplikasi LifeSG kerana mereka menggunakannya untuk melihat Bonus Bayi dan subsidi lain yang akan mereka peroleh daripada pemerintah dengan kelahiran bayi baru.

“Dengan mengintegrasikan portal carian prasekolah ini di aplikasi LifeSG, kami percaya ia akan memberikan lebih banyak kemudahan kepada ibu bapa.

“Dengan maklumat terkini setiap bulan oleh prasekolah, ibu bapa kemudian akan dapat berhubung terus dengan prasekolah,” kata Cik Sun.

Beliau menambah bahawa Agensi Pembangunan Awal Kanak-Kanak (Ecda) sedang bekerjasama rapat dengan prasekolah untuk memastikan mereka sentiasa mengemas kini maklumat tentang tempat kosong.

Sebelum ini, ibu bapa perlu mencari prasekolah di portal carian prasekolah Ecda hingga setahun lebih awal dari tarikh pendaftaran pilihan mereka.

Di bawah proses lama, mereka memilih hingga 10 prasekolah dan mendaftarkan minat mereka di portal. Minat ibu bapa akan disalurkan kepada prasekolah dan ibu bapa akan menunggu prasekolah menghubungi mereka.

Prasekolah kemudian mungkin menawarkan tempat untuk pendaftaran atau meletakkan ibu bapa dalam senarai menunggu. Proses tersebut menimbulkan ketidakpastian sama ada minat mereka telah disusuli, kata Ecda.

Dengan perubahan ini, ia akan memberikan pengalaman lebih lancar dan mudah untuk ibu bapa, yang sudah menggunakan platform tersebut untuk pendaftaran kelahiran dan permohonan Bonus Bayi.

“Sekiranya terdapat senarai menunggu, dengan membolehkan interaksi antara ibu bapa dan prasekolah, saya percaya ibu bapa akan berasa lebih terlibat dan mendapat kepastian mengenai proses itu,” kata Cik Sun.

Melalui aplikasi LifeSG, ibu bapa diberi kemudahan maklumat dan hasil carian prasekolah yang disesuaikan, dengan menyepadukan Singpass MyInfo, lantas memudahkan carian prasekolah yang lebih pantas dan mudah.


“Ibu bapa kini boleh mencari prasekolah yang mempunyai tempat kosong dengan mudah dalam radius dua kilometer, berhampiran rumah, tempat kerja atau rumah penjaga mereka.

“Dengan akses lebih mudah kepada maklumat tentang tempat kosong prasekolah, ibu bapa boleh membuat keputusan termaklum berdasarkan keperluan mereka,” kata Ecda.

Selain maklumat carian prasekolah, Ecda akan memperkenalkan ciri aplikasi subsidi prasekolah di LifeSG.

Ia akan dirintis untuk ibu bapa daripada prasekolah terpilih mulai pertengahan 2024 dan dilancarkan secara progresif kepada ibu bapa di semua prasekolah mulai akhir 2024.

“Pada masa ini, ibu bapa memohon subsidi dengan mengisi secara manual salinan cetak atau borang elektronik panjang lebar dan menyerahkannya kepada prasekolah, yang kemudian akan menyerahkan borang tersebut kepada Ecda.

“Setelah kami memperkemas proses permohonan subsidi prasekolah, ibu bapa boleh terus memohon kepada Ecda, bukan melalui prasekolah. Ibu bapa juga akan dimaklumkan mengenai status permohonan subsidi prasekolah melalui LifeSG,” kata Ecda




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >