Subuh
5:34
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:26
Maghrib
7:07
Isyak
8:21
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Wacana
37
0

Asatizah yang progresif, yakin, jadi sumber inspirasi

Jan 02, 2022 | 05:30 AM



ASATIZAH yang berakar pada tradisi dan prinsip, namun tetap progresif; yakin namun tetap merendah diri; menjadi inspirasi kepada semua.



Inilah aspirasi saya ke atas asatizah kita di Singapura, dalam kita melangkah ke tahun baru 2022.



Ia adalah satu pelayaran yang berterusan, bukan pelayaran setahun dua.



Izinkan saya jelaskan ciri-ciri ini.



BERAKAR PADA TRADISI



Dalam membimbing masyarakat dan memberi penyelesaian kepada permasalahan baru yang terus berkembang, asatizah dan kepimpinan agama tidak mengabaikan tradisi dan sejarah mereka yang kaya.



Sebaliknya, mereka sentiasa mendapat inspirasi daripada tradisi ilmiah, kebudayaan dan peradaban Islam yang kaya.



Berakar pada tradisi bermaksud berpegang teguh dengan prinsip abadi dan nilai-nilai luhur.



Bersikap jujur dan adil pada tradisi kita bukan bermakna kita hanya meniru, menyalin, dan mencetak semula secara harfiah (literal) tradisi ilmiah dan peradaban kita, tetapi memahami prinsip dan roh di sebalik tradisi dan terus menghidupkan roh ini. Memastikan tradisi ini terus kekal relevan, dan dengannya kita pun turut mencipta tradisi untuk generasi seterusnya.



Berakarkan tradisi luhur ini, kita melihat ke hadapan. Kita tidak dihambat atau dibelenggu ikatan sejarah dan tradisi. Sebaliknya tradisi dan sejarah ini mendorong kita maju ke hadapan, tetapi tetap berpaksi kepada prinsip-prinsip universal dan abadi, dan nilai-nilai luhur dan murni.



Kita menyelesaikan permasalahan-permasalahan baru, dengan diilhamkan daya kreatif dan keberanian warisan tradisi dan sejarah kita.



Sebenarnya, ciri dan kualiti seumpama inilah yang telah menjamin kesinambungan dan kerelevanan tradisi ilmiah dan peradaban Islam sepanjang zaman sehingga ke hari ini.



Sebagai pewaris tradisi ilmiah dan peradaban ini, asatizah dan agamawan perlu terus bersikap progresif tanpa mengabaikan tradisi dan sejarah.



YAKIN DAN BERANI



Ketika kita berpegang teguh pada prinsip dan nilai tradisi ilmiah kita, ketika kita menghidupkan roh dan benar-benar memahami tradisi ilmiah ini, kita akan bersifat yakin atau konfiden dan berani dengan pendirian dan penyelesaian kita.



Ini kerana kita memahami memelihara tradisi ini tidak bermakna setakat menyalin dan mencetak semula butiran huruf dan perincian tradisi. Tetapi memahami tujuan dan prinsip, dan berijtihad serta kreatif dalam memberi penyelesaian kepada permasalahan dan cabaran-cabaran baru.



Perincian dan penyelesaian kepada permasalahan dan cabaran-cabaran baru ini mungkin berbeza dari satu tempat dengan yang lain. Hukum hakam juga boleh berubah dan berbeza mengikut masa dan tempat.



Tetapi dalam keyakinan dan keberanian ini, kita tetap tawaduk dan merendah diri. Ini bermakna kita tidak mendakwa dengan sombong hanya kita yang tahu kebenaran, atau hanya kita yang betul.



Kita tidak cepat menuding jari atau menuduh orang lain hanya kerana kita berbeza pandangan.



Ini seperti yang diriwayatkan dalam tradisi keagamaan kita kekata, "pandangan saya betul tetapi mungkin juga tersilap; dan pandangan orang lain tersilap tetapi mungkin sahaja betul."



Merendah diri bermakna kita sentiasa bersedia untuk belajar dan memperbaiki diri.



Kita akan terus meningkatkan diri, mendukung pembelajaran sepanjang hayat. Kita sentiasa bersedia mendengar dan mengaku kesilapan. Walaupun kita telah berusaha dan berijtihad seberapa mungkin, dan kita bersikap yakin dan konfiden dengan pendirian kita, namun kita tetap merendah diri dan ingin terus belajar.



Inilah maksud saya, yakin namun tetap merendah diri.



INSPIRASI KEPADA SEMUA



Dengan berakar pada tradisi dan sejarah ilmiah dan peradaban kita, namun berpandangan progresif, dan dengan bersikap yakin dan konfiden, dan tetap merendah diri, kita akan menjadi inspirasi kepada semua.



Masyarakat akan mencontohi teladan mulia ini.



Asatizah dan agamawan akan menjadi contoh dan inspirasi bukan hanya kepada masyarakat Islam Singapura, tetapi seluruh masyarakat Singapura. Bahkan diharapkan kita menjadi inspirasi kepada masyarakat dunia lain.



Ini tidak bermakna agamawan dan masyarakat agama di negara lain menjadi seperti kita, tetapi mendapat inspirasi daripada sifat dan kualiti ini.



Mereka perlu mencorak agamawan dan kehidupan beragama yang sesuai dengan konteks mereka masing-masing. Tetapi kita masih boleh belajar daripada satu sama lain.



Persidangan Antarabangsa Mengenai Masyarakat Gemilang (ICCOS) yang dicadangkan tahun ini diharap menjadi satu wadah perkongsian dan pembelajaran dari satu sama lain ini.



ETIKA, SAINS DAN TEKNOLOGI



Antara bidang yang memerlukan kepimpinan agama dan panduan keagamaan ialah dalam bidang etika, sains dan teknologi.



Di bidang ini juga kita memerlukan kepimpinan agama yang berakarkan tradisi, namun progresif, dan yakin namun tetap merendah diri.



Sains dan teknologi telah menunjukkan perkembangan pesat.



Pengalaman Covid-19, cabaran perubahan iklim dan pemanasan bumi, membuktikan kepentingan mempercepatkan dan memperkukuhkan sains dan teknologi dalam memberi penyelesaian kepada permasalahan baru dan cabaran semasa.



Singapura kekal komited untuk memberi sumbangan bermakna kepada cabaran ketamadunan ini.



Saiz kecil Singapura tidak menjadi alasan untuk tidak menyumbang secara bermakna kepada cabaran kemanusiaan dan ketamadunan.



Singapura sedang memperkukuh bidang sains dan teknologi negara berhadapan dengan cabaran masa depan dengan lebih baik.



Pada 10 Disember 2021, Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Penyelaras bagi Dasar Ekonomi, Encik Heng Swee Keat, membuat pengumuman penting masa depan sains dan teknologi di Singapura ketika berucap di majlis Anugerah Presiden bagi Sains dan Teknologi (PSTA).



Beliau berkata: "Kami menetapkan matlamat untuk membina asas bagi mencapai kemajuan dalam bidang-bidang seperti kesihatan dan potensi manusia, pengilangan canggih, huraian dan kemampanan perbandaran dan ekonomi digital."



"Cabaran-cabaran ini turut dihadapi banyak negara lain. Kita mesti belajar antara satu sama lain dan kejayaan kita dalam bidang-bidang ini juga bermanfaat kepada masyarakat global," tegas Timbalan Perdana Menteri.



Singapura telah turut memberi sumbangan penting berhadapan dengan Covid-19 dan cabaran-cabaran semasa ini.



Sebanyak $25 bilion diperuntukkan untuk Pelan Kajian, Inovasi dan Perusahaan 2025 sebagai tanda komitmen besar Singapura untuk memperkukuh keupayaan kita dalam menangani cabaran-cabaran strategik ini.



Namun, pelaburan dan sumbangan penting sains dan teknologi ini perlu dipandu oleh prinsip-prinsip etika dan nilai-nilai kemanusiaan yang luhur.



Kepuasan ekonomi dan pencapaian sains dan teknologi tidak boleh terbangun tanpa prinsip etika dan nilai kemanusiaan.



Agama akan terus menjadi faktor penting dalam kehidupan manusia dan tamadun masa depan, walaupun dakwaan dunia semakin bersikap 'sekular', atau antiagama, atau keegoan.



Banyak kajian menunjukkan agama akan kekal menjadi penting dalam kehidupan manusia hari ini dan masa hadapan.



Di sinilah peranan penting kepimpinan agama dan agamawan dalam memberi sumbangan dan pelaburan mereka pada kehidupan dan tamadun manusia.



Jika kita bersedia melabur berbilion dolar untuk kemajuan sains dan teknologi, kita harus juga bersedia melabur dalam pembangunan kepimpinan agama dan dalam bidang bioetika.



Bidang sains dan teknologi ini adalah satu bidang yang besar dan mendalam. Kemajuan sedang berlaku dengan pesat. Asatizah dan kepimpinan agama tidak mampu bersikap leka atau sambil lewa.



Kita perlu membangunkan kemahiran dan kepakaran dalam bidang bioetika ini, jika kita ingin terus kekal relevan.



KESIMPULAN



Di sudut ini juga kita memerlukan asatizah dan kepimpinan agama yang berakar pada tradisi dan prinsip Islam, namun berpandangan progresif, yakin dan konfiden namun kekal tawaduk dan rendah diri; agar kita terus menjadi inspirasi kepada semua, sesuai dengan semangat dan ruh tradisi dan sejarah ilmiah dan ketamadunan Islam kita, jika kita benar-benar bersifat jujur kepada tradisi dan sejarah kita.



  • Penulis adalah Timbalan Mufti.


"Kita perlu membangunkan kemahiran dan kepakaran dalam bidang bioetika ini, jika kita ingin terus kekal relevan. Di sudut ini juga kita memerlukan asatizah dan kepimpinan agama yang berakar pada tradisi dan prinsip Islam, namun berpandangan progresif, yakin dan konfiden namun kekal tawaduk dan rendah diri; agar kita terus menjadi inspirasi kepada semua, sesuai dengan semangat dan roh tradisi dan sejarah ilmiah dan ketamadunan Islam kita, jika kita benar-benar bersifat jujur kepada tradisi dan sejarah kita."
- Timbalan Mufti, Dr Mohammad Hannan Hassan.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >