Subuh
5:41
Syuruk
6:59
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Sukan
30
0

TOKOH SUKAN DALAM TUMPUAN

Hassan Sunny cabar diri raih peluang tampil 100 kali untuk skuad negara

Sep 18, 2022 | 05:30 AM



LEBIH 18 tahun beliau berada dalam skuad negara sama ada menyelamatkan bola di padang ataupun duduk menunggu giliran di bangku simpanan semasa perlawanan.



Namun, apa yang membuat penjaga gawang veteran Hassan Sunny lebih ghairah kali ini adalah penantian bagi mendapatkan peluang 100 penampilan untuk pasukan nasional itu.



Beliau kini telah tampil 98 kali dan hanya memerlukan dua penampilan bagi melengkapkan status yang tidak ramai pemain bola sepak negara boleh mencapainya.



Mereka yang berjaya termasuk nama-nama terkenal seperti Daniel Benett (146 penampilan), Shahril Ishak (144 penampilan), Baihakki Khaizan (143 penampilan) dan Fandi Ahmad (101 penampilan).



Hassan mengakui beliau sendiri ingin berada dalam kalangan 'elit' itu, terutama apabila melihat senarai kejayaan tersebut setiap kali berlatih di padang di Geylang Lorong 12 untuk pasukan negara.



"Setiap kali berada di tempat menukar pakaian, kami akan dapat lihat gambar-gambar pemain yang telah mencapai 100 penampilan dan ke atas.



"Sepanjang saya berada dalam skuad negara, saya sering tertanya-tanya bila muka saya akan berada di situ juga. Saya tahu ia bukan mudah mencapainya tetapi saya melihatnya sebagai satu cabaran buat diri saya," katanya yang mula bercita-cita menyarung jersi skuad negara pada usia muda 15 tahun.



Namun, Hassan akur perjalanan sepanjang kerjaya beliau bersama skuad negara itu penuh onak dan duri tetapi ia banyak membantu "membina kekuatan mentalnya".



Bersama Shahril, Baihakki dan Muhammad Ridhuan, Hassan adalah sebahagian daripada 'Geng Empat' pemain Akademi Bola Sepak Nasional (NFA), iaitu kuartet yang telah beraksi bersama sejak usia remaja dan mendapat undangan menyertai pasukan nasional pada 2003.



Penampilan pertama Hassan untuk Singapura berlaku pada 2004 dalam perlawanan kelayakan Piala Dunia 2006 menentang India di mana Lions kalah 0-1 di Stadium Goa.



Mengimbas kembali kali pertama beraksi dan memikul tanggungjawab itu, Hassan tergelak kecil lalu berkata:



"Saya sangat gementar hingga terpaksa ke tandas beberapa kali sebelum perlawanan. Saya hanyalah seorang 'budak' ketika itu dan untuk dapat bermain bersama pemain yang berpengalaman seperti Indra Sahdan dan S. Subramani menjadi salah satu impian yang nyata. Dengan bimbingan mereka juga saya percaya saya menunjukkan prestasi yang baik dalam perlawanan itu."



Dari situ, Hassan cuba membina namanya meskipun perlu menjadi pilihan kedua di belakang penjaga gawang negara yang lebih mapan seperti Rezal Hassan, Lionel Lewis dan Shahril Jantan.



Namun, detik yang pernah menghancurkan semangatnya beraksi dalam skuad negara berlaku dalam perlawanan kelayakan Piala Dunia menentang Oman pada 2004 di mana pasukan Singa dibedal 0-7.



"Setiap rembatan dan percubaan sepakan percuma mereka melepasi gol. Saya ingat lagi, saya menangis selepas perlawanan itu. Apatah lagi, pihak media turut mengecam persembahan saya meskipun mereka tahu saya hanyalah seorang pemain muda ketika itu," kata Hassan.



Selain perlawanan itu, kecederaan lutut yang dialaminya sebelum minit terakhir dalam perlawanan 16 terakhir Piala AFC pada 2011 turut 'membunuh' semangatnya kerana kelabnya ketika itu, Tampines Rovers, disingkirkan selepas pihak lawan menjaringkan gol kemenangan pada masa tambahan.



Hassan mengalami kecederaan yang sama pada 2012 semasa latihan yang menyebabkan beliau terlepas beraksi hampir sepanjang musim 2012 - termasuk kempen kemenangan Piala AFF 2012 dan menjadi punca kemerosotan kedudukannya dalam skuad nasional.



Walaupun begitu, semangat Hassan yang enggan menyerah kalah telah membantu beliau bangkit dan menunjukkan prestasi cemerlang dalam liga tempatan serta liga Thai lantas membantunya menjadi salah seorang pemain penting dalam skuad negara.



Malah pada 2016, Hassan turut dimasukkan ke dalam senarai 20 penjaga gol terbaik dunia akhbar The Telegraph. Beliau mendapat tempat ke-18 di samping bintang penjaga gol antarabangsa ketika itu seperti Manuel Neuer, David de Gea dan Gianluigi Buffon.



Kini, Hassan hanya ingin memberi tumpuan pada peluangnya apabila dipanggil sekali lagi ke dalam skuad bagi dua perlawanan persahabatan menentang Vietnam dan India minggu depan.



Malah, beliau gembira diberikan peluang itu dan ingin membuktikan beliau masih mampu memberi sumbangan baik kepada skuad negara di samping melengkapkan impian 100 penampilannya.



"Saya harus berterima kasih kepada jurulatih Nishigaya kerana memberikan peluang saya beraksi dalam skuad negara. Tidak ramai jurulatih yang membenarkan pemain berusia 38 tahun seperti saya berada dalam pasukan nasional, jadi jika dipanggil untuk beraksi, saya ingin menyempurnakan peluang itu sebaik mungkin," katanya yang tidak meletakkan tarikh persaraan dan akan terus berkhidmat untuk negara sekiranya dipanggil.



Hassan dan rakan sepasukan negara akan berlepas ke Ho Chi Minh esok dan dua perlawanan itu akan menjadi antara persiapan menjelang Piala AFF Mitsubishi Electric pada akhir tahun ini.




CABAR DIRI



"Setiap kali berada di tempat menukar pakaian, kami akan dapat lihat gambar-gambar pemain yang telah mencapai 100 penampilan dan ke atas.



"Sepanjang saya berada dalam skuad negara, saya sering tertanya-tanya bila muka saya akan berada di situ juga. Saya tahu ia bukan mudah mencapainya tetapi saya melihatnya sebagai satu cabaran buat diri saya."



MAHU SEMPURNAKAN PELUANG



"Saya harus berterima kasih kepada jurulatih Nishigaya kerana memberikan peluang saya beraksi dalam skuad negara. Tidak ramai jurulatih yang membenarkan pemain berusia 38 tahun seperti saya berada dalam pasukan nasional, jadi jika dipanggil untuk beraksi, saya ingin menyempurnakan peluang itu sebaik mungkin."
- Hassan Sunny.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >