Subuh
5:37
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Sukan
30
0

FORMULA SATU (F1) GRAND PRIX SINGAPURA SINGAPORE AIRLINES

Marina Bay antara litar 'paling mencabar' tapi pemandu ghairah

Oct 01, 2022 | 05:30 AM



SETELAH dua tahun Litar Jalanan Marina Bay ditutup dek pandemik Covid-19, bintang Formula Satu (F1) ghairah dapat kembali berlumba dalam Grand Prix (GP) Singapura Singapore Airlines tahun ini.



Ini meskipun mereka mengakui trek GP Singapura "antara yang paling mencabar" dalam kalendar F1.



Pemandu Mercedes dan jaguh empat kali di Singapura, Lewis Hamilton, berkata kepulangan F1 di litar Marina Bay sudah lama dinanti.



"Rasa hebat kembali ke bandar cantik ini dan treknya luar biasa dan sukar memandu di atasnya. Ia sangat, sangat berlekak-lekuk dan ada 23 selekoh," kata jaguh dunia tujuh kali itu dalam satu sidang media kelmarin.



Hamilton, 37 tahun, masih belum menang sekali pun musim ini. Warga Britain itu sedang terkial-kial untuk memelihara rekod 15 tahun untuk menang sekurang-kurangnya satu perlumbaan setiap musim.



"Kami berharap kereta kami dapat beraksi dengan baik di sini… Tapi, ia benar-benar bergantung pada keadaan trek yang berlekak-lekuk.



"Saya tiada jangkaan langsung. Kami akan hanya cuba menghasilkan keputusan terbaik hujung minggu ini, dengan apa jua keadaan kereta yang bakal kami hadapi," ujarnya.



Selain litarnya, cuaca panas dan lembap Singapura turut menjadi ujian besar bagi pemandu.



Bahkan, pemandu Ferrari Carlos Sainz berkata persiapannya untuk bersaing di Singapura bermula sejak pramusim pada awal tahun ini.



"Untuk kekal fokus adalah satu perkara yang sangat susah (semasa perlumbaan) disebabkan bahangnya… Ia sangat mencabar secara mental sebab perlumbaan ini memerlukan banyak tenaga dan treknya yang bertentangan dengan lawan arah jam juga akan menjejas posisi leher anda," kata warga Sepanyol itu, yang menang GP Britain di litar Silverstone Julai lalu.



"Apabila saya berlatih semasa pramusim pada Januari dan Februari, saya fikir tentang Singapura. Saya tidak fikir tentang perlumbaan pertama atau yang lain. Bagi saya, jika anda dapat bertahan di Singapura, anda cergas untuk perlumbaan lain dalam F1," ujarnya.



Alex Albon daripada pasukan Williams juga akan bertanding, setelah terlepas beraksi dalam perlumbaan sebelumnya di Monza, Italy.



Albon dimasukkan ke hospital untuk menjalani pembedahan apendiks dan kemudian mengalami komplikasi, termasuk kegagalan pernafasan.



Warga Thai-Britain itu berkata: "Saya datang di sini dengan rasa bersedia dan sihat. Kami mempunyai latihan baik hampir dua minggu ini untuk kembali cergas.



"Pastinya kami bersikap realistik dan kami tahu GP Singapura ialah perlumbaan paling sukar. Jadi, kami sedar akan risikonya tapi saya rasa baik. Saya telah berlumba go-kart dan berasa okey."



Perlumbaan GP Singapura bermula dengan dua sesi latihan semalam. Sesi latihan ketiga dan kelayakan berlangsung hari ini, sebelum hari perlumbaan esok malam. - ZULAIQAH ABDUL RAHIM




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >