Subuh
5:40
Syuruk
6:59
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Sukan
30
0

SUKAN SEA VIETNAM

Bagai ayam dan itik, Google menjadi teman sepanjang jalan

May 15, 2022 | 05:30 AM



Ribuan atlet serantau kini berkumpul di Hanoi untuk Temasya Sukan SEA ke-31 yang membuka tirainya minggu ini. Wartawan BERITA MINGGU mengongsi pengalaman mereka membuat liputan dari bandar Vietnam itu.



XIN chao!



Itulah sapaan bagi "hello" dalam bahasa Vietnam.



Dan perkataan itu jugalah antara beberapa perkataan yang membentuk kosa kata bahasa Vietnam saya.



Sebelum saya berangkat ke ibu kota Vietnam, Hanoi, bagi edisi ke-31 Sukan SEA, jujur saya kata saya kurang tahu tentang bahasa Vietnam kecuali hanya pho dan banh mi - dua makanan tradisional terkenal asal Vietnam.



Lawatan saya ke Hanoi ini bukan yang pertama saya ke negara itu. Saya pernah bercuti di satu lagi bandar di Vietnam, Ho Chi Minh, kira-kira lapan tahun lalu.



Di sana selama empat hari, saya mampu meneroka tempat-tempat menarik di negeri selatan Vietnam itu tanpa perlu bertutur dalam bahasa tempatan.



Tetapi, kali ini, untuk saya bertahan selama 19 hari di sini, saya pun terfikir "tak kan nak cakap pho dan banh mi saja"?



Bak pepatah, masuk kandang kambing mengembek, masuk kandang kerbau menguak.



Justeru, selagi saya menghirup udara Vietnam - yang agak berdebu ketika ini - kenalah juga saya cuba belajar berbual bahasa tempatan.



Saya pun meminta bantuan rakan baik saya, Google, dan menaip "perkataan lazim bahasa Vietnam" pada enjin pencarian itu.



Google memberitahu saya "terima kasih" dalam bahasa Vietnam adalah cam on, tetapi pemandu kami di Hanoi berkata ia disebut sebagai gam un.



Begitulah kerumitan bahasa Vietnam.



Saya dan rakan wartawan, Hakim Yusof, sehingga berlatih beberapa kali sepanjang perjalanan kami dari Lapangan Terbang Antarabangsa Noi Bai ke hotel.



Tetapi, realitinya... perbualan bersama warga Vietnam di sini melebihi pho, banh mi, xin chao dan cam on.



Daripada papan tanda di jalan raya, menu makanan dan nama tempat, bahasa Vietnam sebahagian besarnya digunakan - melainkan kedai berjenama antarabangsa seperti McDonalds, Starbucks dan Gucci.



Bahasa Inggeris namun masih dapat ditemui di sini.



Penduduk tempatan, terutamanya kakitangan hotel dan penganjur serta relawan Sukan SEA di kawasan berpusat Hanoi, boleh bertutur dalam bahasa Inggeris meskipun tidak lancar.



Cabarannya lebih besar apabila ditugaskan membuat liputan bagi acara sukan di wilayah berdekatan, luar dari Hanoi.



Bagaimanapun, dengan kemajuan teknologi, tiada apa yang mustahil. Google Translate menjadi alat berguna sepanjang perjalanan ini.



Perisian penterjemahan itu dapat menterjemahkan perbualan, papan tanda atau menu makanan dalam bahasa Vietnam dengan sekelip mata.



Justeru, perbezaan bahasa bukan alasan untuk tidak menjalankan tugas di sini, tetapi mungkin memerlukan sedikit kesabaran untuk memahami satu sama lain.



Setelah lebih seminggu saya di Hanoi, kosa kata bahasa Vietnam saya masih lagi terhad - dan saya mengakui saya pernah menggunakan perkataan yang salah. Oops!



Apapun, seperti para atlet negara yang datang ke sini berbekal matlamat untuk memburu pingat atau keputusan terbaik mereka di Sukan SEA, saya turut tekad untuk memperhalusi penggunaan bahasa Vietnam saya dengan baki masa yang ada.



Xin loi, toi van dang hoc tieng viet. Tak faham? Google Translate lah!




"Cabarannya lebih besar apabila ditugaskan membuat liputan bagi acara sukan di wilayah berdekatan, luar dari Hanoi.

Bagaimanapun, dengan kemajuan teknologi, tiada apa yang mustahil. Google Translate menjadi alat berguna sepanjang perjalanan ini."

- Penulis.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >