Subuh
5:34
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:26
Maghrib
7:07
Isyak
8:21

Sokongan dipertingkat untuk warga emas hidup aktif, selesa bersara

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Sokongan dipertingkat untuk warga emas hidup aktif, selesa bersara

Feb 16, 2024 | 08:17 PM



Sebagai komitmen memperkasa warga emas Singapura, pemerintah akan memperuntukkan $3.5 bilion sepanjang tempoh sedekad.

Ia khusus untuk membantu golongan itu menua secara aktif di rumah dan dalam masyarakat di bawah program Sihat Menua SG, di samping menyokong keperluan persaraan mereka, kata Timbalan Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong.

Keperluan kesihatan golongan itu juga akan dipelihara, tambah beliau. 

Seramai 1.6 juta warga dewasa Singapura yang lahir pada 1973 atau lebih awal akan mendapat manfaat daripada Pakej Majulah, termasuk bonus sekali sahaja antara $750 dengan $1,500, kepada Akaun MediSave Tabung Simpanan Pekerja (CPF) mereka.

Menyampaikan ucapan Belanjawan 2024 di Parlimen pada 16 Februari, Encik Wong, juga Menteri Kewangan, berkata:

“Penjagaan pencegahan adalah penting terutamanya bagi warga emas. 

“Kesunyian boleh mendatangkan kemudaratan yang besar kepada warga emas. Mereka perlu kekal aktif dan berhubung secara sosial.”

Sihat Menua SG adalah program nasional baru untuk menyokong warga emas menua secara aktif, kekal berhubung secara sosial dan dijaga dalam masyarakat mereka sendiri.

Inisiatif program itu turut melibatkan usaha memperluas rangkaian Pusat Menua Aktif dengan lebih banyak pilihan kemudahan hidup dibantu.

Ia juga akan menyediakan kemudahan mesra warga emas di estet perumahan seperti taman terapeutik dan tanjakan tanpa halangan, serta meningkatkan prasarana pengangkutan yang lebih mudah diakses dan selamat untuk golongan itu.

Kos Pakej Majulah, yang diumumkan Perdana Menteri, Encik Lee Hsien Loong, dalam Rapat Hari Kebangsaan pada Ogos 2023, pula dianggarkan bernilai $8.2 bilion.

Sebagai tanda komitmen pemerintah terhadap pakej itu tanpa membebankan generasi akan datang, sebanyak $7.5 bilion akan diperuntukkan dalam dana baru, Dana Pakej Majulah, ujar Encik Wong.

Di bawah pakej tersebut, warga emas yang memperoleh gaji sehingga $6,000 setiap bulan boleh mendapat bonus tahunan sehingga $1,000 di bawah Bonus ‘Earn and Save’.

Bonus Simpanan Persaraan sekali sahaja antara $1,000 dengan $1,500 juga akan diberikan kepada warga senja dengan simpanan persaraan di bawah Jumlah Asas Persaraan.

Kededua bonus itu layak untuk warga emas yang tinggal di hartanah dengan nilai tahunan $25,000 atau kurang dan tidak memiliki lebih daripada satu hartanah.

Pemerintah juga akan mengambil beberapa langkah untuk merasionalkan sistem CPF, kata Encik Wong.

Mulai 2025, Jumlah Persaraan Dipertingkat (ERS) akan dinaikkan daripada tiga kali Jumlah Asas Persaraan kepada empat kali, kata Encik Wong.

Ini bermakna ERS, jumlah maksimum anggota dapat memasukkan ke dalam Akaun Persaraan CPF mereka untuk menerima bayaran CPF, ialah $426,000.

Buat masa ini, ia ditetapkan pada $319,500.

Pada 2025, kadar caruman CPF bagi mereka yang berusia 55 hingga 65 tahun akan dinaikkan lagi sebanyak 1.5 peratus.

Ini selaras dengan saranan Kumpulan Kerja Tiga Pihak mengenai Pekerja Lanjut Usia, tambah beliau.

Selain itu, Akaun Khas (SA) CPF untuk mereka yang berusia 55 tahun ke atas akan ditutup mulai 2025. 

Langkah itu akan menyelaraskan kadar faedah CPF dengan lebih baik untuk menabung dalam akaun CPF, katanya lagi.

Buat masa ini, golongan itu mempunyai dua akaun simpanan yang bertujuan untuk persaraan – SA dan Akaun Persaraan (RA).

Simpanan SA akan dipindahkan ke RA sehingga Jumlah Penuh Persaraan, di mana mereka akan dapat terus meraih kadar faedah jangka panjang.

Baki simpanan SA akan dipindahkan ke Akaun Biasa, kata Encik Wong.

Skim Simpanan Persaraan yang Dipadankan akan diperluaskan kepada mereka yang berumur 70 tahun ke atas bagi membolehkan lebih ramai warga Singapura memenuhi keperluan persaraan mereka, dengan bantuan keluarga, majikan dan masyarakat, ujar Encik Wong.

Skim itu membantu warga Singapura berumur 55 hingga 70 tahun dengan simpanan CPF yang kurang, untuk menambah simpanan dengan menyediakan pemadanan dolar-ke-dolar bagi menambah nilai tunai akaun CPF mereka. 

Had pemadanan tahunan juga akan dinaikkan daripada $600 kepada $2,000 dan had pemadanan seumur hidup sebanyak $20,000 akan ditetapkan, tambahnya.

Sementara itu, Encik Wong berkata penambahbaikan akan dibuat kepada Skim Sokongan Warga Emas. 

Pemerintah akan menaikkan had pendapatan isi rumah per kapita yang layak untuk skim itu daripada $1,800 kepada $2,300 dan meningkatkan pembayaran sebanyak 20 peratus, seiring dengan inflasi, jelasnya.

Skim itu menyediakan bayaran suku tahunan kepada warga emas yang berpendapatan rendah semasa tahun bekerja dan kekurangan sokongan keluarga.







Sekilas sokongan untuk warga emas:


– $3.5 bilon diperuntuk bagi Sihat Menua SG untuk menyokong warga emas di rumah dan dalam masyarakat, termasuk memperluaskan rangkaian Pusat Menua Aktif, serta memperkenalkan kemudahan rumah dan prasarana pengangkutan mesra warga emas. 


– 1.6 juta warga Singapura lahir pada 1973 atau lebih awal akan mendapat manfaat daripada Pakej Majulah, termasuk bonus sekali sahaja antara $750 dengan $1,500 kepada Akaun MediSave CPF mereka.


– Warga emas yang memperoleh gaji sehingga $6,000 setiap bulan boleh mendapat bonus tahunan sehingga $1,000 di bawah Bonus ‘Earn and Save’.


– Bonus Simpanan Persaraan sekali sahaja antara $1,000 dengan $1,500 juga akan diberikan kepada warga emas dengan simpanan persaraan di bawah Jumlah Asas Persaraan.


– Mulai 2025, Jumlah Persaraan Dipertingkat akan dinaikkan daripada tiga kali Jumlah Asas Persaraan kepada empat kali.


– Skim Simpanan Persaraan yang Dipadankan akan diperluaskan kepada mereka yang berumur 70 tahun ke atas.


– Pemerintah akan menaikkan had pendapatan isi rumah per kapita yang layak untuk skim itu daripada $1,800 kepada $2,300.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >