Topik diikuti
Pergi ke BHkuLetusan Anak Krakatau: SIA tambah 8 penerbangan bantuan Jakarta-S’pura
Bagi penumpang terjejas tertakluk kepada ketersediaan tempat duduk
Letusan Anak Krakatau: SIA tambah 8 penerbangan bantuan Jakarta-S’pura
Syarikat penerbangan Singapore Airlines telah menambah lapan penerbangan bantuan antara Singapura dengan Jakarta pada 8 September bagi penumpang yang terjejas oleh letusan Gunung Anak Krakatau di Indonesia.
Dalam kemas kini yang disiarkan di hantaran Facebooknya, 8 September, SIA mengatakan penerbangan bantuan tersebut disediakan untuk memindahkan penumpang yang terjejas, tertakluk kepada ketersediaan tempat duduk.
Ia menambah: “SIA secara berperingkat akan menempatkan semula penumpang yang terjejas pada penerbangan seterusnya yang tersedia sebaik sahaja penerbangan antara Singapura dengan Jakarta beroperasi semula.”
Lebih banyak penerbangan SIA juga dijadualkan semula atau dibatalkan pada 8 September, menurut notis SIA, yang disiarkan sejurus selepas tengah malam.
SIA mengatakan penerbangan SQ951 yang berlepas dari Jakarta pada 8 September pada 5.25 pagi (waktu tempatan) telah dibatalkan.
Enam penerbangan berikut telah dijadualkan semula (semua waktu tempatan):
Singapura ke Jakarta:
SQ950 yang asalnya dijadualkan berlepas pada 6.20 pagi, kini berlepas pada 1.10 petang
SQ952 yang asalnya dijadualkan berlepas pada 7.40 pagi, kini berlepas pada 1.40 petang
SQ956 yang asalnya dijadualkan berlepas pada 9.05 pagi, kini berlepas pada 7.30 malam.
Jakarta ke Singapura:
SQ953 yang asalnya dijadualkan berlepas pada 8.05 pagi, kini berlepas pada 2.50 petang
SQ955 yang asalnya dijadualkan berlepas pada 9.25 pagi, kini berlepas pada 3.35 petang
SQ957 yang asalnya dijadualkan berlepas pada 11.00 pagi, kini berlepas pada 9.25 malam.
SIA berkata memandangkan keadaan terus berubah-ubah, pelanggan dinasihatkan agar melayari laman web Flight Status syarikat itu untuk mendapatkan maklumat terkini.
Mereka yang memerlukan bantuan tempahan semula atau mempunyai pertanyaan lanjut boleh menghubungi +65 6351-0013 atau melalui platform sembang dalam taliannya.
Untuk tempahan yang dibuat melalui ejen pelancongan atau syarikat penerbangan rakan kongsi, penumpang dinasihatkan supaya menghubungi ejen pelancongan atau syarikat penerbangan masing-masing untuk mendapatkan bantuan.
SIA juga menggesa penumpang supaya mengemas kini butiran mereka melalui fungsi ‘Manage Booking’ di laman webnya atau melanggan perkhidmatan pemberitahuan mudah alih untuk menerima kemas kini mengenai status penerbangan mereka.
Sebelum ini, lapan lapangan terbang, termasuk Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta di Jakarta, menghentikan operasi pada hujung minggu lalu selepas abu letusan dikesan di ruang udara mereka, sekali gus menjejas hampir 3,000 penerbangan dan menyebabkan lebih 340,000 penumpang terkandas.
Bagaimanapun, pada awal 8 September, Kementerian Pengangkutan Indonesia mengatakan lapangan terbang Jakarta itu dan empat lapangan terbang lain berhampiran bandar itu dan di sekitar pulau Jawa, telah beroperasi semula.
