Meredah kesesakan Koswe dengan menunggang motosikalnya sudah menjadi rutin saban hari buat Encik Mohd Aminurashid Ali Akbar sepanjang 14 tahun lalu.
Berkat usaha gigihnya berkorban masa dan tenaga, bapa tiga anak perempuan itu kini memiliki tiga hartanah di Malaysia, hasil titik peluhnya bekerja di Singapura.
Satu menjadi tempat berteduh yang didiami keluarganya, sementara dua lagi disewakan dengan harapan dapat menjana pendapatan sampingan buat mereka sekeluarga.
Encik Aminurashid, 36 tahun, berhasrat bersara awal supaya dapat ‘menebus’ balik masa yang hilang bersama isteri dan anak-anaknya kerana komitmen kerja.
Ketika dihubungi Berita Minggu (BM), Encik Aminurashid berkata banyak liku yang perlu diharunginya untuk sampai ke tahap ini, antaranya, beliau ‘keluar rumah gelap, balik rumah juga gelap’.
Setiap hari beliau bangun pada 4.30 pagi dan keluar rumah kira-kira 5 pagi.
“Saya keluar awal kerana waktu itu, keadaan di kastam masih okey lagi, tidak sesak sangat.
“Saya sampai ke tempat kerja kira-kira 6 pagi, solat subuh dan kemudian sarapan. Saya akan tidur sebentar sebelum mula kerja pada 8 pagi,” ujar penyelia pentauliahan dalam sektor perkapalan dan marin itu.
Biasanya, Encik Aminurashid kerja lebih masa sehingga 6.45 petang sebelum sampai ke rumahnya di Gelang Patah, Johor Bahru, sekitar 8 malam.
Ketika ditanya tempoh paling mencabar yang dihadapinya, beliau berkata ia adalah ketika pandemik Covid-19 yang memaksanya berjauhan daripada isteri serta tiga puterinya, termasuk satu yang mengalami autisme.
“Saya pernah rasa nak berhenti kerja, tetapi apabila fikir balik, macam mana saya nak tolong keluarga tanpa pekerjaan?
“Jadi saya tawakal dan berserah kepada Allah. Isteri saya banyak beri semangat dan ingatkan saya tentang anak kami yang istimewa.
“Beliau beritahu saya, ‘teruskan saja, jangan putus asa’,” ujarnya, yang berkata keluarganya merupakan pendorong utama sepanjang tahun-tahun ini.
Isterinya, Cik Siti Nurzarina Abu Zarim, 38 tahun, berkata sebagai isteri, beliau juga perlu memainkan peranan dan saling memahami keadaan suaminya yang bekerja sebagai buruh kasar.
“Kadangkala beliau bekerja tujuh hari berturut-turut, jadi saya perlu urus anak sendiri.
“Saya perlu berkorban perasaan, tenaga dan emosi. Saya juga selalu risau tentang keselamatannya kerana hari-hari beliau perah tenaga dan ulang-alik naik motor.
“Saya hanya dapat berdoa beliau selamat sampai ke kerja dan selamat pulang ke pangkuan keluarga,” ujarnya.
Menceritakan perjalanan hidupnya, Encik Aminurashid berkongsi beliau asalnya bekerja di sebuah kilang sawit di Malaysia sebelum bertukar pekerjaan di Singapura, yang membawa kepada peningkatan dalam pendapatannya sebanyak RM700.
Walaupun bermula dengan gaji asas sekecil $950, lebih-lebih lagi dengan mata wang di Malaysia yang agak kukuh waktu itu, Encik Aminurashid membuat keputusan mengambil kursus di Institut Pendidikan Teknikal (ITE) di Singapura supaya dapat menimba kemahiran baru dan meningkat kelayakannya.
Berkat usahanya, beliau berupaya mendaki tangga kerjaya dan diberi kenaikan gaji.
Ditanya apakah nasihat yang beliau beri kepada mereka yang baru berjinak-jinak ‘cari makan’ di Singapura, Encik Aminurashid berkata:
“Jangan cepat putus asa. Waktu kita muda inilah masa untuk kumpul duit dan simpan duit.
“Penting juga untuk sentiasa beringat. Kita orang Malaysia tidak ada CPF (Tabung Simpanan Pekerja), jadi perlu rajin dan berdisiplin dalam menyimpan duit untuk hari-hari tua.”
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg