Subuh
5:36
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:24
Maghrib
7:07
Isyak
8:19

DPM Wong: RRG jaya bimbing belia radikal ubah laluan hidup

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

DPM Wong: RRG jaya bimbing belia radikal ubah laluan hidup

Nama auditorium baru pusat RRG
sempena peringati jasa mantan pemimpin bersama RRG, Ustaz Ali Haji Mohamed
Apr 02, 2024 | 01:23 PM



Timbalan Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, telah berkunjung ke Masjid Khadijah bagi acara iftar dan menyaksikan pameran di Galeri Majulah, sekali gus merasmikan pelancaran Auditorium Ustaz Ali Haji Mohamed di masjid itu, pada 1 April 2024. Ia bagi menghargai sumbangan Allahyarham dalam memupuk perpaduan pelbagai kaum dan memerangi ekstremisme. Berikut sedutan ucapan Encik Wong di majlis tersebut.

Kita tahu bahawa apa yang kita miliki hari ini tidak berlaku secara kebetulan. Pemerintah telah meluluskan undang-undang dan dasar untuk melindungi dan menjaga perpaduan.

Pertubuhan seperti Kumpulan Pemulihan Keagamaan (RRG), dan perintis dalam RRG, telah membawa perbezaan yang ketara.

Peranan RRG

Pertama, RRG telah membantu menjauhkan individu yang sesat daripada ideologi radikal, dan melindungi ruang bersama antara kumpulan agama kita yang berbeza.


Selama lebih 20 tahun, anda telah memberi kaunseling dan bimbingan, dan membantu dalam memulihkan ramai warga Singapura.

Satu contoh terkini ialah Saad. Dia telah dikenakan Arahan Sekatan pada 2016, ketika dia baru berusia 17 tahun.

Dia diberi kaunseling agama RRG, dan Arahan Sekatan terhadapnya dihentikan pada 2020.

Ketika diwawancara media pada April 2023, dia menyuarakan penghargaan terhadap kaunselor RRG yang telah membetulkan tafsirannya yang salah tentang konsep agama, dan membimbingnya ke arah menumpukan pada matlamat sosial yang betul, seperti mengeratkan hubungan dengan keluarganya.

Saya juga ingin menyuarakan penghargaan terhadap sumbangan Kumpulan Penjagaan Lanjut Antara Agensi (ACG).

Masjid Khadijah adalah anggota ACG, dan terdapat ramai pemimpin ACG di sini hari ini.

Dengan menyediakan khidmat penyeliaan kepada tahanan dan bantuan sosial kepada keluarga mereka, ACG juga telah membantu mereka bergabung semula dengan masyarakat.

Saya ucapkan terima kasih kepada anda semua atas apa yang telah anda lakukan.

Kedua, selain kaunseling agama, RRG juga sejak beberapa tahun kebelakangan ini telah melaksanakan peranan tambahan, membimbing dan memberi tunjuk ajar kepada tahanan belia dan yang di bawah penyeliaan mereka, dengan memberi bimbingan dan melengkapkan mereka dengan kemahiran hidup yang berguna.


Usaha-usaha ini telah membantu para belia itu mengubah hidup mereka.

Lihat kes remaja 16 tahun yang menjadi radikal oleh pelampau sayap kanan, yang ditahan pada Disember 2020.

Dia dibebaskan pada Januari 2024 dan diserahkan kepada pengasuh RRG untuk membantu memulihkannya.

Mereka dibimbing untuk meningkatkan kemahiran hubungan sesama manusia, dan kepercayaan diri.

Dia kini berada dalam keadaan yang jauh lebih baik dalam hidupnya, dan melanjutkan pelajaran di Institut Pengajian Tinggi (IHL) – dan sekali lagi, kepada semua, terima kasih saya ucapkan atas khidmat sukarelawan RRG.

Ketiga, RRG melakukan lebih banyak dalam mendekati masyarakat anda.


Galeri Majulah yang saya lawati sebentar tadi adalah contoh yang baik.

Dengan mendidik orang ramai tentang usaha RRG dalam memerangi keganasan dan ekstremisme, ia telah membantu dalam meningkatkan kewaspadaan terhadap ideologi pelampau.

Baru-baru ini, RRG juga telah menggunakan media sosial untuk mendekati lebih ramai orang, terutama golongan belia.

Semasa tempoh Covid-19, RRG meningkatkan kehadirannya dalam talian untuk mengekalkan jangkauannya.

Tahun lalu (2023), semasa kita bertemu, saya masih ingat kita melancarkan akaun TikTok RRG.

Sebelum datang ke sini, saya menyemak apa yang telah anda lakukan di TikTok – saya mesti menyatakan usaha anda adalah sangat terpuji.

Saya melihat video yang dimuatkan di situ, memberi kesan dan sebahagian daripada mereka telah menerima tarikan yang sangat baik dalam talian.

Tahun ini (2024), sempena Ramadan, RRG melancarkan video siri Ramadan untuk mengingatkan rakyat Singapura tentang kepentingan kewujudan bersama secara aman dan perpaduan sosial.

Semua usaha ini – sama ada ia dalam ruang fizikal seperti galeri, pendekatan secara bersemuka atau dalam talian – membuahkan hasil dan membantu RRG meluaskan lagi usaha pendekatan anda yang sangat penting.

Secara keseluruhan, tugas RRG amat diperlukan dan amat penting, terutama dalam memerangi ekstremisme, dan melindungi perpaduan dan keharmonian kita.

Justeru, kepada semua pemimpin dan sukarelawan RRG, saya ingin ucapkan terima kasih yang tidak terhingga atas khidmat dan usaha anda yang berterusan ini.

Berbanyak terima kasih.

Mengenang Allahyarham
Ustaz Ali Haji Mohamed

Sudah tentu, berbuka puasa tahun (2024) ini lebih bermakna kerana kita juga mengadakan pelancaran Auditorium Ustaz Ali Haji Mohamed – tempat kita berkumpul sekarang.

Pemergian Ustaz Ali tahun lalu, pada 2023, merupakan satu kehilangan besar buat Singapura.

Sebagai Pengerusi Masjid Khadijah dan pengasas serta Pengerusi bersama RRG, Ustaz Ali telah memainkan peranan penting dalam membina kepercayaan antara masyarakat Islam Singapura dan yang bukan Islam.

Setiap kali kita berkumpul di auditorium ini, mulai sekarang, kita akan diingatkan sumbangan beliau dan komitmen teguh beliau terhadap keharmonian kaum dan agama, kerana auditorium ini akan dinamakan sempena namanya.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >