VIETNAM kini meneroka kemungkinan mengeksport tenaga angin - atau tenaga yang dijana menggunakan kuasa angin - ke Singapura seawal 2030.
Singapura juga diharap dapat menjadi hab untuk mengeksport tenaga angin tersebut kepada negara sedunia, termasuk Timur Tengah, India dan United Kingdom (UK).
Langkah tersebut didedahkan jurucakap Kementerian Sumber Semula Jadi dan Persekitaran Vietnam, Profesor Madya Nguyen Dinh Tho semasa ditemui wartawan selepas sesi perbincangan meja bundar anjuran Persekutuan Perniagaan Singapura (SBF) yang diadakan di Hotel Park Hyatt Saigon di Ho Chi Minh.
Katanya, ini merupakan antara bidang kerjasama akan datang antara kededua negara memandangkan Singapura mempunyai persekitaran yang baik dan berpotensi bagi pasaran tenaga yang boleh diperbaharui.
"(Langkah mewujudkan tenaga hijau) ini merupakan antara keutamaan pemerintah Vietnam sekarang.
"Vietnam menyasarkan untuk mengeksport tenaga angin ke seluruh dunia, dan akan mewujudkan sistem bijak bagi memastikan negara yang menggunakan lebih banyak tenaga dapat mengimport dari negara yang kurang menggunakan tenaga," katanya.
Menurut Profesor Madya Tho, secara keseluruhan Vietnam menghasilkan sebanyak 512 gigawatt tenaga angin dan buat masa kini hanya menggunakan 76 gigawatt setiap tahun.
Menurut perangkaan, pada 2050, ia akan menggunakan sehingga 350 gigawatt. Ini meninggalkan baki lebih 150 gigawatt yang boleh dieksport, katanya.
Sebelum ini, Singapura dan Vietnam telah menandatangani beberapa memorandum persefahaman (MOU) termasuk dalam bidang tenaga.
Di bawah MOU tersebut, kededua negara akan bekerjasama dalam pembangunan dan pembiayaan tenaga yang boleh diperbaharui serta pembangunan penghubung bagi meningkatkan daya tahan dan kestabilan perdagangan tenaga elektrik rentas sempadan.
Dalam usaha untuk terus mengekalkan komitmen kemampanan mereka, pemerintah Vietnam juga akan menawarkan insentif pelaburan bagi syarikat tempatan dan luar negara yang membuat pelaburan 'hijau' melalui dasar yang bakal dilancarkan akhir tahun ini.
Ini termasuk mengurangkan cukai yang dikenakan dan memberi keutamaan dari segi tanah yang diperuntukkan bagi perniagaan tersebut, jika ia mematuhi syarat-syarat mesra alam yang ditetapkan, menurut Profesor Madya Tho.
Dalam ucapan yang disampaikan semasa sesi perbincangan meja bundar tersebut, Menteri Tenaga Manusia, Dr Tan See Leng, berkata Singapura merupakan pelabur kedua paling besar di Vietnam.
Syarikat Singapura telah melaburkan sebanyak AS$3 ($4.27) bilion di Vietnam hanya dalam tempoh lima bulan pertama tahun ini.
Antara sektor utama yang menarik perhatian syarikat Singapura adalah kemampanan, prasarana, digitalisasi dan perdagangan runcit, menurut Pengerusi SBF, Encik Lim Ming Yan.
Disebabkan minat yang meningkat terhadap Vietnam sebagai destinasi perniagaan bagi syarikat Singapura, SBF telah menubuhkan Pusat Perusahaan Singapura di Ho Chi Minh pada awal 2021.
"Sejak tertubuhnya pusat tersebut, lebih 200 syarikat Singapura telah meraih manfaat dan sokongan dalam usaha mereka memahami pasaran Vietnam.
"Kami juga telah membantu dalam penubuhan lebih 35 projek di Vietnam dalam beberapa tahun lalu, meskipun dalam keadaan pandemik," katanya semasa sesi perbincangan tersebut.
Sesi perbincangan meja bundar yang melibatkan lebih 100 peserta dari Singapura dan Vietnam dirasmikan Presiden Halimah Yacob yang berada di Vietnam untuk lawatan negara selama lima hari hingga hari ini.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg