Subuh
5:34
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:26
Maghrib
7:07
Isyak
8:21
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Vaksin Covid-19 kekal percuma

Namun pesakit tidak lagi dapat subsidi 100% bagi rawatan, ujian Covid-19
Feb 10, 2023 | 05:30 AM



VAKSIN Covid-19 di bawah Program Vaksinasi Negara akan terus diberikan secara percuma, namun pesakit tidak lagi akan mendapat subsidi sepenuhnya bagi rawatan dan ujian untuk virus tersebut.



Semua warga Singapura, penduduk tetap, pemegang pas jangka panjang dan pemegang pas jangka pendek tertentu akan terus ditawarkan vaksin Covid-19 tanpa sebarang kos.



Kesemua perubahan ini bermula 1 April ini demi memastikan sokongan kewangan bagi ujian dan rawatan Covid-19 sejajar dengan ujian dan rawatan akut lain.



Ini diumumkan Menteri Kesihatan, Encik Ong Ye Kung, pada sidang media Pasukan Bertindak Berbilang Kementerian (MTF) bagi Covid-19 semalam.



Semua yang layak untuk menerima vaksin Covid-19 boleh membuat janji temu di Pusat Ujian dan Vaksinasi Bersama (JTVC), Klinik Kesediaan Kesihatan Awam (PHPC), poliklinik dan Pusat Vaksinasi yang mengambil bahagian.



Walaupun vaksin adalah percuma, sesiapa yang memerlukan rawatan Covid-19 tidak akan lagi menerima subsidi 100 peratus di hospital atau Kemudahan Rawatan Covid-19 (CTF).



Sebaliknya, subsidi pemerintah, MediShield Hayat dan MediSave akan dimanfaatkan.



"Ujian dan rawatan secara umumnya telah disediakan secara percuma atau dengan bayaran yang sangat rendah untuk hampir semua penduduk, memandangkan Covid-19 adalah penyakit baru.



"Adalah penting untuk kami menghapuskan ketidakpastian dan kebimbangan mengenai kos ujian dan rawatan. Kami telah mengekalkan dasar itu selama lebih tiga tahun," jelas Encik Ong.



Sedang Covid-19 beralih menjadi lebih endemik, pemerintah juga perlu beralih kepada set aturan pembiayaan baru dan tidak boleh meneruskan subsidi 100 peratus.



Pesakit Covid-19 juga tidak lagi perlu ditempatkan di Kemudahan Pengasingan Masyarakat (CIF), sama seperti mereka tidak diperlukan untuk penyakit endemik lain seperti influenza atau cacar air.



Bagaimanapun, beberapa CIF akan dikekalkan untuk pesakit Covid-19 yang ingin mengasingkan diri atas sebab yang kuat tetapi mereka akan dikenakan bayaran untuk penginapan mereka.



Memandangkan CIF bukan kemudahan perubatan, penghuni tidak boleh menggunakan subsidi pemerintah, MediShield Hayat atau MediSave untuk membayar bil mereka.



Dengan peralihan kepada normal baru ini, Jawatankuasa Pakar Vaksin Covid-19 juga telah mengemas kini garis panduan vaksin untuk kumpulan umur yang berbeza bagi tahun 2023.



Setiap orang yang berumur lima tahun dan ke atas harus mencapai "perlindungan minimum" - merujuk kepada tiga dos mRNA atau vaksin Novavax, atau empat dos vaksin Sinovac.



Mereka berusia 60 tahun ke-atas disyorkan untuk mendapatkan suntikan penggalak sekitar setahun selepas dos penggalak terakhir mereka.



Mereka yang berusia antara 12 dengan 59 tahun yang sihat mempunyai risiko penyakit teruk lebih rendah, tetapi vaksin penggalak akan ditawarkan sekitar satu tahun selepas dos penggalak terakhir mereka.



Mereka yang berusia lima hingga 11 tahun harus mencapai "perlindungan minimum" tetapi mereka tidak disyorkan atau layak untuk dos tambahan pada masa ini.



Kanak-kanak berusia enam bulan hingga empat tahun disyorkan melengkapkan dua dos Moderna/SpikeVax atau tiga dos Pfizer-BioNTech/Comirnaty.



Mereka juga tidak disyorkan dan tidak layak untuk dos tambahan pada masa ini.



Selain itu, sebagai sebahagian daripada usaha berterusan untuk memastikan warga emas senang mendapatkan vaksin, MOH akan terus menempatkan Pasukan Vaksinasi Bergerak (MVT) di kawasan kejiranan.



Senarai penuh lokasi dan jadual MVT akan dikemas kini secara berterusan di https://gowhere.gov.sg/.




“MTF akan diberhentikan, tetapi seperti yang dikatakan oleh rakan sekerja saya dalam panel ini, kami akan terus kekalkan tahap kewaspadaan dan kesediaan yang tinggi supaya kami bersedia dari segi operasi. Oleh kerana rangka kerja kami, struktur kami terus dilaksanakan merentasi semua langkah, ini termasuk proses pengurusan krisis kami.”



– Timbalan Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong.



“Kami mesti sentiasa berwaspada dan mengambil iktibar yang telah kita pelajari semasa pandemik Covid-19, supaya kita boleh lebih bersedia hadapi krisis masa depan.”



– Menteri Perdagangan dan Perusahaan, Encik Gan Kim Yong.



“Ini tidak bermakna kesiapsiagaan kami sudah berakhir. Terutama sekali untuk sektor jagaan kesihatan, kami mesti bersedia. Covid-19 beri kami pelajaran berharga dan membantu kami bina keupayaan yang ketara dan sudah tentu untuk sektor jagaan kesihatan, kami akan menggunakannya sepenuhnya untuk lakukan yang terbaik untuk meningkatkan kesihatan rakyat.”



– Menteri Kesihatan, Encik Ong Ye Kung




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >