Subuh
5:36
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:24
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

LAPORAN KHAS MENJELANG BULAN BAHASA: Telusur daya usaha perkasa BAHASA MELAYU

Usaha semarak bahasa Melayu bermula seawal 1962

Bulan Bahasa dimulakan secara rasmi pada 1988
Aug 07, 2022 | 05:30 AM



MESKI Bulan Bahasa dimulakan secara rasmi pada 1988, usaha dan aktiviti yang dijalankan untuk menyemarakkan bahasa Melayu dalam kalangan masyarakat sebenarnya telah bermula seawal 1962 oleh Dewan Bahasa dan Kebudayaan Singapura (DBKS).



DBKS, yang ditubuhkan pemerintah pada 1960 bertujuan menerbitkan karya-karya sastera, istilah Melayu untuk jawatan rasmi pemerintah, buku pelajaran Bahasa Kebangsaan, memupuk pelajaran Bahasa Kebangsaan dan menganjurkan Bulan Bahasa Kebangsaan.



Apabila ia ditutup pada 1969, tidak ada pihak yang menganjurkan Bulan Bahasa dan hanya diperkenalkan semula beberapa kali pada tahun 1970-an dan awal 1980-an oleh Majlis Pusat.



Jawatankuasa Bahasa Melayu (JBMS), yang ditubuhkan pemerintah pada 1983 untuk memajukan dan mengembangkan bahasa Melayu, kemudian mengambil alih penganjuran Bulan Bahasa dengan kerjasama badan-badan setempat bermula 1988 hinggalah sekarang.



JBMS kemudian bertukar menjadi Majlis Bahasa Melayu Singapura (MBMS) pada 1992 dan dipengerusikan oleh mantan Menteri Negara Kanan (Pendidikan), Encik Sidek Saniff.



Pada ketika itu, Bulan Bahasa dijalankan sekali setiap dua tahun.



Profesor Madya Dr Hadijah Rahmat, yang juga antara anggota Lembaga Penasihat MBMS, berkata MBMS menjadi peneraju pembangunan bahasa Melayu di Singapura untuk menjadikan bahasa Melayu Singapura bahasa yang hidup dinamik bermutu tinggi.



Ini termasuk dalam penggunaan bahasa yang baku, standard dalam berbagai-bagai aspek bahasa dan bukan hanya daripada segi sebutan.



Antara inisiatif ketara yang dilaksanakan Bulan Bahasa adalah pelaksanaan sebutan baku dalam pendidikan bahasa Melayu pada 1993 di sekolah rendah, sebelum ia diperluaskan kepada sekolah menengah dan prauniversiti pada tahun seterusnya.



Pelaksanaan tersebut turut disokong media elekronik (radio dan televisyen) yang mula menggunakan sebutan baku untuk rancangan-rancangan rasmi seperti berita, pendidikan, wawancara dan yang bertujuan menyampaikan maklumat.



Dalam buku Yang Terukir - Bahasa dan Persuratan Melayu yang diterbitkan MBMS sempena ulang tahun Singapura yang ke-50, Pakar Utama Bahasa Melayu Cawangan Bahasa Ibunda, Kementerian Pendidikan (MOE), Encik Tajudin Jaffar, berkata pada dasarnya sebutan baku digunakan dalam situasi rasmi, contohnya dalam ucapan, di sekolah dan rancangan berbentuk penyampaian maklumat di media.



"Masyarakat umum tidak perlu menggunakan sebutan baku apabila bersama keluarga atau majlis-majlis sosial yang tidak bersifat rasmi," tulisnya.



Mengulas, Profesor Hadijah berkata aspek sebutan menjadi tumpuan ketika itu sebagai reaksi dan agar ia sesuai dengan perkembangan serantau.



"Kini, kita perlu menilai semula tumpuan bahasa supaya kemahiran dan aktiviti bahasa kita lebih luas dan seimbang.



"Konsep dan pendekatan yang diambil oleh MBMS beberapa tahun kebelakangan ini, yang menekankan peranan dan nilai bahasa Melayu secara lebih luas, tidak terbatas pada sebutan," ujarnya.



Sejajar dengan itu, di bawah pimpinan mantan Setiausaha Parlimen Kanan, Encik Hawazi Daipi, yang menerajui pucuk pimpinan Bulan Bahasa pada 2010, satu pembaharuan telah dilaksanakan.



Bulan Bahasa kini dijadikan satu acara tahunan dan inisiatif Duta Bahasa diperkenalkan, yang bertujuan memilih personaliti daripada latar belakang yang berbeza untuk meningkatkan dan menggalak rasa cita terhadap bahasa Melayu kepada semua lapisan masyarakat.



Antara Duta Bahasa yang terpilih ketika itu termasuk Setiausaha Parlimen Kanan (Kesihatan merangkap Undang-undang), Cik Rahayu Mahzam, penyanyi Taufik Batisah dan pembaca berita Riz Sunawan.



Menyentuh tentang usaha yang dijalankan untuk memperluas kempen Bulan Bahasa melebihi tempoh kempen, Cik Rahayu, yang juga pengerusi jawatankuasa Bulan Bahasa sejak 2016 hingga kini, berkata inisiatif Rakan Bahasa telah diperkenalkan pada 2014 bagi memupuk dan menggalak pelajar yang cemerlang dalam Bahasa Melayu, menyebarkan cinta terhadap bahasa ibunda kepada teman, kawan dan keluarga mereka.



"Inisiatif ini dilahirkan menyusuli satu tulisan rencana terbitan Berita Harian yang membincangkan tentang keberkesanan Bulan Bahasa dan bagaimana ia boleh memberi kesan berpanjangan melebihi tempoh kempen Bulan Bahasa.



"Maka Rakan Bahasa diperkenalkan untuk mewujudkan satu generasi baru yang dapat mendedahkan mereka kepada perkara dan pertandingan yang berkaitan dengan bahasa selain mengiktiraf penglibatan mereka dalam bidang tersebut.



"Ini secara tidak langsung melahirkan satu gerakan yang kami harap dapat terus diperkembangkan," katanya.




GARIS MASA PENGANJURAN BULAN BAHASA



1962



"Bulan Bahasa Kebangsaan" dianjurkan oleh Dewan Bahasa dan Kebudayaan Singapura (DBKS).



1982



Bulan Bahasa dianjurkan Majlis Pusat.



1988



Pengerusi: Mantan Menteri Negara Kanan, Encik Sidek Saniff



Tema: Bahasa Menjunjung Budaya



Lagu tema ditulis arwah Dr Muhammad Ariff Ahmad dan digubah oleh Cikgu Abdolah Lamat.



Bulan Bahasa dianjurkan sekali setiap dua tahun oleh Jawatankuasa Bahasa Melayu Singapura (JBMS), dengan kerjasama Majlis Pusat, Persatuan Wartawan Melayu dan 12 badan bahasa dan budaya lain.



1990



Pengerusi: Encik Sidek Saniff



Bulan Bahasa dianjurkan sempena Bulan Budaya Melayu



1992



Pengerusi: Encik Sidek Saniff



JBMS bertukar kepada Majlis Bahasa Melayu Singapura. Persatuan Rakyat (PA) diundang menjadi sebahagian daripada jawatankuasa penganjur Bulan Bahasa untuk menyeragamkan bahasa Melayu di Singapura.



1993



Pengerusi: Mantan Setiausaha Parlimen Kanan, Encik Mohamad Maidin Packer Mohd



Tema: Gunakan Bahasa Baku



Sebutan Baku diperkenalkan di sekolah rendah.



1994



Pengerusi: Encik Mohamad Maidin Packer Mohd



Tema: Jiwai Bahasa Baku



Sebutan Baku diperkenalkan di sekolah menengah dan maktab rendah.



1996



Pengerusi: Encik Mohamad Maidin Packer Mohd



1998



Pengerusi: Encik Mohamad Maidin Packer Mohd



Tema: Kecemerlangan Masyarakat Melayu Melalui Bahasa Melayu ke Alaf Baru



1999



Pengerusi: Mantan Setiausaha Parlimen, Encik Yatiman Yusof



Tema: Memasyarakatkan dan Menghayati Sastera Kita



2000



Pengerusi: Mantan Setiausaha Politik, Encik Harun Ghani



Tema: Memasyarakatkan Bahasa Melayu



2002



Pengerusi: Mantan Setiausaha Parlimen Kanan, Encik Hawazi Daipi



Tema: Keindahan Bahasa Melayu



Terdapat usaha untuk menarik dan menggalak penyertaan mereka yang bukan Melayu ke festival itu



2004



Pengerusi: Encik Hawazi Daipi



Tema: Keterampilan Bahasa Melayu



2006



Pengerusi: Encik Hawazi Daipi



Tema: Dinamiknya Bahasaku



2008



Pengerusi: Encik Hawazi Daipi



Tema: Sempurnakan Bahasa. Gunakan Sentiasa.



2010



Pengerusi: Encik Hawazi Daipi



Tema: Bahasa Kita, Gunakanlah



Duta Bahasa:



Rahayu Mahzam, Taufik Batisah, arwah Asmah Laili, Suhaimi Salleh, Zaza Majid, Dyn Norahim, Hisham Hashim and Riz Sunawan



Inisiatif Duta Bahasa diperkenalkan. Pelbagai personaliti daripada latar belakang berbeza dilantik sebagai Duta Bahasa dengan objektif untuk meningkatkan dan menggalak penggunaan Bahasa Melayu dengan semua kumpulan usia dalam masyarakat.



Bulan Bahasa menjadi acara tahunan sejak 2010.



2011



Pengerusi: Encik Hawazi Daipi



Tema: Warisan Masa Depan



2012



Pengerusi: Menteri Negara Kanan, Encik Zaqy Mohamad



Tema: Kukuhnya Nilai, Eloklah Budi Bahasa Kita



Fokus ialah peranan Bahasa Melayu sebagai jendela kepada nilai kebudayaan. 65 pertubuhan terlibat pada tahun itu.



2013



Pengerusi: Encik Zaqy Mohamad



Tema: Ilmu, Budaya, Mesra



Logo Bulan Bahasa diberi nafas baru



2014



Pengerusi: Encik Zaqy Mohamad



Tema: Ilmu, Budaya, Mesra



Inisiatif Rakan Bahasa diperkenalkan untuk memupuk dan menggalak pelajar yang cemerlang dalam Bahasa Melayu kepada rakan mereka. 74 pelajar dilantik.



2015



Pengerusi: Encik Zaqy Mohamad



Tema: Ilmu, Budaya, Mesra



2016



Pengerusi: Setiausaha Parlimen Kanan, Cik Rahayu Mahzam



Tema: Ilmu, Budaya and Mesra



2017



Pengerusi: Cik Rahayu Mahzam



Tema: Ilmu, Budaya and Mesra



2018



Pengerusi: Cik Rahayu Mahzam



Tema: Ilmu, Budaya and Mesra



Dua inisiatif diperkenalkan bagi Rakan Bahasa termasuk pertandingan NewsMaker dan Kembara Rakan Bahasa



2019



Pengerusi: Cik Rahayu Mahzam



Tema: Cita. Citra. Cinta. Bahasa Kita.



Pertandingan Penterjemah Pintar diperkenalkan bagi Rakan Bahasa dari peringkat sekolah rendah



2020



Pengerusi: Cik Rahayu Mahzam



Tema: Cita. Citra. Cinta. Bahasa Kita.



Buat pertama kalinya, majlis pelancaran Bulan Bahasa ditayangkan di televisyen dengan lebih 73,000 tontonan.



Sebagai respons kepada pandemik Covid-19, program dijalankan menerusi platform digital.



Seramai 315 Rakan Bahasa dilantik, yang tertinggi pernah dicatatkan.



2021



Pengerusi: Cik Rahayu Mahzam



Tema: Cita. Citra. Cinta. Bahasa Kita.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >