Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Tetap mahu ke M'sia walau trafik di sempadan dijangka sesak

Jun 10, 2022 | 5:30 AM
PERSIAPAN AWAL: Syed Eeszadh (kanan) sudah mula buat persiapan sebelum menjelajah Malaysia mingu depan bersama keluarga, termasuk (dari kiri) anaknya, Aliyyah, isterinya, Cik Sofiah Alhamid, serta anak-anaknya yang lain, Syed Khairan, Shireen, dan Syed Hassuni.- Foto ihsan SYED EESZADH ALSAGOFF
PERSIAPAN AWAL: Syed Eeszadh (kanan) sudah mula buat persiapan sebelum menjelajah Malaysia mingu depan bersama keluarga, termasuk (dari kiri) anaknya, Aliyyah, isterinya, Cik Sofiah Alhamid, serta anak-anaknya yang lain, Syed Khairan, Shireen, dan Syed Hassuni.- Foto ihsan SYED EESZADH ALSAGOFF -

SYED Eeszadh Alsagoff menunggu selama hampir sejam dalam keretanya awal minggu ini berikutan kesesakan trafik ketika beliau cuba merentasi kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar untuk masuk ke Johor Bahru (JB).

Namun, beliau tidak berasa kesal.

Malah, bapa empat anak berusia 51 tahun itu bercadang untuk menjelajah Malaysia selama lapan hari mulai minggu depan.

Ini meskipun Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) kelmarin berkata trafik sesak dijangka berterusan sepanjang Jun sehingga penggal sekolah dibuka semula pada 27 Jun 2022.

"Saya pernah menanti sehingga empat jam akibat kesesakan di koswe beberapa tahun lalu.

"Bagi saya, ini pengalaman biasa yang menyeronokkan, meskipun memenatkan," kata konsultan jualan itu semasa dihubungi.

Minggu depan, beliau bersama keluarganya bercadang melancong ke Malaysia - sejauh ke utara negara itu, termasuk sejauh Kedah serta beberapa negeri lain.

Sekali lagi, beliau akan memandu kereta Honday Odyssey miliknya berkuasa 2.4 cc yang berusia lima tahun.

Syed Eeszadh merupakan antara mereka yang dijangka berhadapan dengan kesesakan sepanjang bulan ini - sempena cuti sekolah pertengahan tahun.

Menurut kenyataan ICA itu, sekitar 262,000 pelawat telah melintasi pusat pemeriksaan darat antara 3 hingga 5 Jun, yang kebetulan merupakan permulaan cuti sekolah Jun.

Syed Eeszadh berkata beliau memang sudah lama melakukan kegiatan memandu jauh ini - sejak sekitar 30 tahun lalu.

"Selagi saya bersama keluarga, saya tetap gembira walaupun sesak trafik," ujarnya.

Rata-rata beberapa pemandu Singapura yang dihubungi berkata mereka tidak begitu bimbang dengan kesesakan di imigresen memandangkan ia perkara biasa yang dialami sebelum pandemik Covid-19.

Seperti Syed Eeszadh, Encik Muhammad Amirul Hakim Mohamed Helmy, 21 tahun, juga terkandas berdekatan imigresen Johor semasa hendak ke Kuala Lumpur bersama keluarga awal minggu ini.

Walhal, tiada masalah untuk merentas imigresen Singapura sebelum itu, katanya.

Encik Muhammad Faiz Msngadi, 27 tahun, pula berkata beliau akan teruskan hasrat untuk ke Johor meskipun sesak.

"Kesesakan merupakan perkara biasa pada masa ini, memandangkan sempadan sudah dibuka," katanya.

Bagi Cik Zabaria Yusof, 50 tahun, kesesakan di koswe sememangnya dijangkakan.

Justeru, beliau, yang akan ke Melaka selama beberapa hari bermula hujung minggu ini, bercadang mengelak waktu sibuk seperti yang dicadangkan ICA.

Malah ibu dua anak itu bercadang memulakan perjalanan seawal 6 pagi bagi mengelakkan kesesakan.

"Saya rasa mereka yang tidak mahu elak waktu sibuk harus terima sahaja kesesakan ini," kata pegawai perkhidmatan pelanggan itu berseloroh. - Laporan tambahan oleh Luqmanul Hakim Ismail dan Syed Muhammad Firdaus

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg