Subuh
5:34
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:26
Maghrib
7:07
Isyak
8:21
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Terpaksa 'tangguh' perkenal si comel pada saudara-mara Raya ini

Dengan langkah pengurusan Covid-19 yang diperketat, banyak perubahan terpaksa dilakukan. Tradisi kunjung-mengunjung semasa Hari Raya amat berbeza kini dengan hanya dua pengunjung dibenarkan di rumah dalam sehari. Mempelai juga terjejas dengan majlis persandingan tidak lagi dibenarkan kini, dan hanya majlis pernikahan sahaja boleh berlangsung. BERITA HARIAN melaporkan.
May 18, 2021 | 05:30 AM



BAJU Melayu lengkap dengan samping dan songkok sudah dibeli khas buat si comel, Atif Idris.



Malangnya, melalui Zoom sahajalah dia dapat memperagakan baju Raya barunya itu kepada pakcik, makcik dan sepupunya yang lain.



Apakan tidak, dengan kawalan Covid-19 yang diperketat dikuatkuasa bermula 16 Mei lalu, hanya dua orang sahaja dibenarkan mengunjungi rumah orang lain dalam sehari, menjadikannya mustahil bagi keluarga Atif berjalan Raya.



Berkongsi dengan Berita Harian perubahan yang terpaksa dilakukan terhadap perancangan Hari Raya tahun ini, ibu Atif, Cik Azreena Mohamad Ali, 26 tahun, berkata semestinya mereka kecewa tidak dapat pergi kunjung-mengunjung.



Ini lagi-lagi kerana beliau dan suami, Encik Muhammad Fauzan Surono, 28 tahun, sudah bersemangat hendak memperkenalkan anak sulung mereka itu kepada saudara-mara yang lain.



"Pun begitu, kami masih bersyukur sekurang-kurangnya dapat juga kami kunjung-mengunjung pada tiga hari pertama Lebaran," kata eksekutif sumber manusia itu.



Menurut Cik Azreena, beliau terpaksa membatalkan semua perancangan Raya "kerana lebih baik duduk di rumah dan kurangkan interaksi sosial".



"Meskipun sedih kita tak dapat sambut Raya, makan-makan dan bersuka-ria seperti dua tahun lalu di samping keluarga dan kawan-kawan, keutamaan kami adalah kesihatan dan keselamatan kami," katanya.



Sebagai ibu baru kepada bayinya itu yang berusia tiga bulan, Cik Azreena juga menambah beliau terpaksa mengubah rancangan awalnya membawa anaknya berjalan Raya untuk bersua muka dengan sepupu serta ahli keluarga yang lebih tua.



"Semua itu dah tak mungkin berlaku, tapi kami mungkin akan 'berjumpa' mereka melalui Zoom atau Google Meet.



"Dan harap-harap bajunya masih boleh digunakan pada Aidiladha nanti!," ujar beliau.



Akur anaknya itu mungkin masih terlalu kecil untuk ingat sambutan Rayanya, Cik Azreena berkata sebagai ibu bapa, beliau dan suami seakan terlepas peluang mengalami dan melakukan tradisi Hari Raya dengan 'orang baru' dalam keluarga.



Namun, beliau percaya langkah lebih ketat mesti diambil sekarang untuk mengekang penularan koronavirus Covid-19.



"Saya percaya langkah lebih ketat ini diperlukan dan melihat bagaimana situasi mungkin bertambah buruk dengan adanya kunjungan Raya, ia suatu yang diumumkan tepat pada masanya.



"Saya yakin jika semua orang mematuhi (peraturan yang ada), situasi akan bertambah baik, lebih cepat dari sebelumnya," kata beliau.



Sebagai seorang isteri kepada pekerja barisan hadapan yang merupakan kakitangan penjagaan kesihatan, Cik Azreena mungkin lebih faham kepentingan langkah-langkah diperketat itu dikuatkuasa.



Suaminya bertugas sebagai ahli fisioterapi.



"Saya tahu pekerja barisan hadapan perlu bekerja lebih banyak lagi dalam tempoh ini.



"Jika kita benar-benar mahu menunjukkan penghargaan kita terhadap mereka, kita sepatutnya bersabar dan patuhi langkah diperketat ini agar dapat membantu mengurangkan beban tugas mereka," ujar beliau.




"Saya percaya langkah lebih ketat ini diperlukan dan melihat bagaimana situasi mungkin bertambah buruk dengan adanya kunjungan Raya, ia suatu yang diumumkan tepat pada masanya. Saya yakin jika semua orang mematuhi (peraturan yang ada), situasi akan bertambah baik, lebih cepat dari sebelumnya."
- Cik Azreena Mohamad Ali.




SEKILAS



INTERAKSI SOSIAL



- Had dua orang setiap kumpulan, dua pengunjung ke rumah setiap hari



- Dua perhimpunan sosial setiap hari, sama ada untuk kunjungi rumah atau tempat awam.



TEMPAT KERJA



- Pekerja perlu bekerja di rumah jika ia boleh dilakukan.



- Perhimpunan sosial di tempat kerja perlu dielakkan



MAKAN DI LUAR



- Tidak dibenar makan di luar



- Makanan perlu dibeli dan dibawa pulang atau guna khidmat penghantaran



PERKAHWINAN



- Majlis pernikahan: Had 100 orang dengan ujian praacara (PET), had 50 orang tanpa PET



- Jamuan perkahwinan perlu dihentikan



TEMPAT IBADAH



- Aktiviti di mana pelitup muka perlu ditanggalkan, menyanyi, penggunaan instrumen angin tidak dibenarkan.



- Sehingga 100 orang dengan PET, sehingga 50 orang tanpa PET



- Untuk percepat proses kenal pasti jangkitan, yang alami gejala masalah pernafasan akut perlu jalani ujian rapid antigen. Ia tambahan kepada ujian ujian reaksi rantai polimerase (PCR) yang lebih lambat dan tepat




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >