Subuh
5:34
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:26
Maghrib
7:07
Isyak
8:21
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

LANGKAH MUIS ARAH HENTI IMPORT DAGING HALAL DARI TFIL

Syarikat bekal daging korban dari Australia laksana proses, syarat ketat

Kerjasama dengan rumah sembelih sudah beroperasi selama berdekad, eksport ke pasaran besar dunia seperti Timur Tengah
Jun 04, 2022 | 05:30 AM



SYARIKAT yang akan membekalkan daging korban dari Australia kepada masjid di sini akan melaksanakan proses yang ketat demi memastikan ibadah korban dijalankan dengan lancar dan mengikut syarat penyembelihan halal.



Ini termasuk menghantar wakil ke rumah penyembelihan di sana bagi meneliti operasi dan memilih kambing untuk disembelih.



Syarikat tersebut memberitahu Berita Harian (BH) bahawa rumah penyembelihan di Australia yang mereka jalin kerjasama merupakan syarikat mapan, dengan ada yang sudah beroperasi selama berdekad lamanya dan berkhidmat bagi pasaran Muslim yang besar seperti Timur Tengah.



Justeru penting bagi rumah penyembelihan tersebut mematuhi syarat penyembelihan halal yang ketat supaya perniagaan dan reputasi mereka tidak terjejas, kata syarikat vendor itu.



Keprihatinan tentang daging halal yang diimport dari Australia muncul baru-baru ini menyusuli kes rumah penyembelihan Australia Thomas Foods International Lobethal (TFIL) yang didapati telah melanggar prosedur penyembelihan halal.



Jawatankuasa SalamSG Korban, yang menyelaraskan ibadah korban tahun ini, dalam kenyataan kepada BH berkata tiada satu pun syarikat yang dipilih 54 masjid di sini bagi menyediakan daging korban tahun ini bekerjasama dengan TFIL.



Antara syarikat tersebut ialah A2A Trading.



Pengarahnya, Encik Adlee Nazree Suparman, berkata mereka mempunyai proses ketat bagi memastikan ibadah korban yang dilakukan di rumah penyembelihan di Australia mengikut cara yang betul.



"Dua hari sebelum penyembelihan, kami akan menghantar wakil ke Perth, Australia.



"Ada juga seorang imam yang sudah lama tinggal di sana untuk memilih kambing yang sihat dan sempurna.



"Selepas sudah dikenal pasti, imam itu akan membaca nama-nama dan niat dan barulah penyembelihan akan dijalankan.



"Mereka memastikan proses semua berjalan lancar dan halal kerana ini adalah satu amanah," katanya.



Beliau menambah, syarikatnya akan membekalkan daging korban kepada lima masjid di sini.



Sementara itu, Encik Asaad Ahmad, pengarah Hezom International, pula berkata rumah penyembelihan yang mereka kerjasama di Perth, Australia ditadbir oleh pihak berkuasa halal di sana.



Bahkan, wakil syarikatnya telah pun mengunjungi rumah penyembelihan tersebut terdahulu untuk meneliti operasi sebelum mendapatkan mereka melakukan ibadah korban.



Semasa hari korban dilakukan pula, wakil syarikat akan hadir di rumah penyembelihan itu untuk menyelia seluruh proses ibadah korban.



"Ini daripada pemeriksaan ternakan hingga ke penyembelihan, pengulitan, pemotongan kambing dan pembungkusan daging ke dalam kotak.



"Kami memeriksa semua ini demi memastikan ia dilakukan mengikut cara halal," kata beliau.



Selasa lalu, Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) telah mengarahkan pemilik sijil halal di sini untuk menghentikan penggunaan dan import produk daging dari TFIL dengan serta-merta selepas ia mempunyai alasan kukuh untuk merumuskan bahawa kewibawaan daging halal di rumah penyembelihan TFIL telah terjejas.



Ia juga menegaskan import dari TFIL membentuk hanya sebahagian daripada daging halal yang diimport dari Australia.



Justeru secara keseluruhan bekalan daging halal ke cawangan yang diberi pensijilan halal Muis di sini tidak banyak terkesan.



Pemilik kedai daging Shakira's, Encik Hamzah K. Mohamed, yang telah mengendalikan korban di luar negara bagi warga Singapura selama 26 tahun, berkata meskipun kejadian TFIL itu telah menimbulkan keprihatinan, masyarakat tidak harus ragu-ragu dengan rumah penyembelihan lain di Australia kerana "mereka benar-benar menjaga isu halal".



Beliau menambah bahawa berdasarkan pengetahuannya, TFIL tidak terlibat dalam pasaran daging korban dan mereka lebih kepada membekalkan daging beku.



"Masyarakat tidak perlu ragu-ragu. Rumah penyembelihan yang kami bekerjasama bukan baru, ada yang sudah 20, 30 tahun beroperasi.



"Mereka menjaga reputasi dengan baik dan mereka juga menjaga isu halal dengan teliti kerana mereka mengeksport ke pasaran besar di dunia, seperti Timur Tengah," kata beliau yang bekerjasama dengan rumah penyembelihan dekat Perth dan Melbourne.



Syarikatnya akan menyediakan daging korban dari Australia kepada 11 masjid di sini tahun ini.




TEMPAHAN KORBAN



Sebanyak 54 masjid menyertai ibadah korban tahun ini. Berikut butiran tempahan korban.



CARA TEMPAHAN: Melalui laman web ourmasjid.sg/korban atau boleh langsung ke masjid untuk membuat tempahan dan bayaran.



HARGA: Orang ramai boleh tempah pakej korban - yang berharga dari $350 hingga $370 - serta jumlah daging yang ingin didapatkan (sepertiga, dua pertiga atau penuh).



TARIKH TUTUP: 1 Julai, atau sehingga korban habis ditempah.



Daging korban akan diagihkan bermula 14 Julai dan berlangsung hingga 7 Ogos.




"Ini daripada pemeriksaan ternakan hingga ke penyembelihan, pengulitan, pemotongan kambing dan pembungkusan daging ke dalam kotak. Kami memeriksa semua ini demi memastikan ia dilakukan mengikut cara halal."
- Pengarah Hezom International, Encik Asaad Ahmad.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >