Subuh
5:41
Syuruk
6:59
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

S'pura mahu jadi benteng kestabilan, peluang dalam dunia tidak menentu

Timbalan Perdana Menteri Encik Lawrence Wong menyentuh pelbagai isu termasuk inflasi, geopolitik dan ekonomi dunia dalam wawancara bersama Ketua Editor Bloomberg News Encik John Micklethwait. Berikut sedutan wawancara tersebut.
Aug 17, 2022 | 05:30 AM



SOALAN: Kali terakhir saya berada di sini, saya bercakap dengan Perdana Menteri Lee mengenai peralihan kepimpinan. Saya bergurau - beliau kelihatan tertawa apabila diberi bayangan seakan ada pertandingan Squid Game (siri Netflix) - anda nampaknya telah memenangi pertandingan itu. Bilakah anda fikir anda berkemungkinan mengambil alih?



DPM WONG: Pertama sekali, ia bukan soal pertandingan, pastinya bukan Squid Game. Kami mempunyai proses yang sangat teliti dan bersungguh-sungguh untuk memikirkan apa yang mungkin perlu kami lakukan mengenai peralihan kepimpinan. Rancangan itu terganggu kerana Covid-19. Kemudian kami kembali bersama, dan kami mahukan satu proses yang membolehkan kami memilih pemimpin sambil mengukuhkan semangat pasukan dalam Kabinet, dan kami telah melakukannya. Saya telah muncul sebagai calon yang dipilih oleh rakan sekerja saya untuk mengetuai pasukan, saya berbesar hati atas pilihan mereka, dan kami kini dalam proses membincangkan dengan tepat bila peralihan boleh dilakukan untuk saya mengambil alih daripada Perdana Menteri Lee.



Keutamaan saya buat masa ini adalah untuk mula memikirkan tentang cara mengatur pasukan, bagaimana kami tangani keutamaan segera dan benar-benar mengambil masa ini untuk menyandang tanggungjawab dan portfolio baru saya yang diperluaskan. Dalam masa terdekat kami akan membuat keputusan mengenai perkara penting ini.



GEOPOLITIK



SOALAN: Singapura berada di tengah-tengah begitu banyak perkara berkaitan Amerika dan China. Adakah lawatan Nancy Pelosi ke Taiwan, adakah itu hanya salah perhitungan?



DPM WONG: Jelas sekali, hubungan itu bergerak ke arah yang kita bimbang dan lebih banyak memasukinya wilayah berbahaya. Ia adalah hubungan dua hala yang banyak mempunyai kesan, dan walaupun kedua-dua pihak berkata mereka tidak mahu berperang, mereka tidak mahu konflik atau konfrontasi, saya fikir kita lihat hubungan berbalahan antara dua kuasa besar yang berkemungkinan kekal untuk beberapa lama. Saya berpendapat bahawa dinamik itu dihambat politik domestik. Ia menyukarkan kedua-dua pihak untuk mengalah, terutamanya dalam tempoh ini, sedang AS menghadapi (pilihan raya) separuh penggal dan China menganjurkan sidang partinya. Dengan keadaan yang berlaku sekarang, kami bimbang kemungkinan berlaku kejadian kemalangan, kesilapan pengiraan dan keadaan boleh menjadi lebih teruk.



SOALAN: Adakah anda rasakan warga AS memahami keadaan negara seperti anda, seperti Malaysia, Indonesia, semua negara yang berbeza ini mempunyai kaitan dengan China yang mahu adakan pakatan perdagangan, dan dengan Amerika yang enggan.



DPM WONG: Saya fikir di setiap negara, adalah sangat sukar mempunyai perspektif luaran. Malah di Singapura, orang ramai cenderung menumpukan perhatian kepada kebimbangan domestik mereka, apatah lagi negara besar seperti Amerika dan China. Oleh itu, saya faham sepenuhnya bahawa rakyat Amerika dan China akan mempunyai lebih banyak kebimbangan domestik untuk ditangani. Tetapi kami terus mendekati kepimpinan Amerika dan berharap mereka akan lakukan apa yang mereka mampu untuk membantu memastikan Amerika terus mempunyai peranan kepimpinan yang kuat di rantau ini.



Amerika mempunyai ramai teman di bahagian dunia ini, dan kami secara konsisten memaklumkan demikian kepada rakan-rakan kami di Amerika. Kami berterima kasih atas peranan Amerika selepas Perang Dunia Kedua - Amerika mengorbankan darah dan harta untuk memastikan keamanan dan kestabilan di rantau ini dan memastikan kemajuan bagi rantau ini.



Kami pastinya mengharapkan Amerika meneruskannya dan melakukan lebih banyak lagi di Asia Tenggara.



SOALAN: Terdapat sedikit tanda Joe Biden sanggup membelanjakan sama ada darah atau harta. Sudah tentu pihak seperti anda, seperti Perdana Menteri Lee, mengharapkan pendekatan yang lebih hangat di rantau ini. Adakah anda tidak rasa kecewa?



DPM WONG: Seperti yang saya katakan, ada politik dalam negeri yang perlu diambil kira - kami fahami keadaan itu. Tetapi daripada penglibatan kami dengan pentadbiran dan pemimpin pentadbiran AS, mereka memahami kepentingan strategik melibatkan bahagian dunia ini, dan saya pasti mereka akan melakukan segala yang mereka mampu untuk mengukuhkan dan meningkatkan penglibatan itu.



Dari sudut pandangan Singapura, kami mahu mewujudkan rangka kerja di Asia Pasifik, khususnya di Asia Tenggara, di mana semua kuasa besar mempunyai kepentingan di rantau ini, kedua-dua AS dan China. Kami fikir ia akan menyumbang kepada konfigurasi yang lebih stabil, bulatan persahabatan yang bertindih, di mana semua orang mempunyai kepentingan di sini dan diharapkan ia akan meningkatkan kebergantungan dan membantu menjadikan konfigurasi ini lebih stabil.



PERDAGANGAN BEBAS



SOALAN: Anda merupakan salah satu negara yang meraih manfaat dari dasar perdagangan bebas tetapi kelihatan anda bersendirian dalam hal ini?



DPM WONG: Kami lakukan apa sahaja yang kami mampu. Jika sistem pelbagai hala dilemahkan, dan negara-negara beralih kepada sistem yang berbeza sama sekali, di mana ia tentang persahabatan, menjalankan perniagaan dengan negara tertentu dan bukan dengan seluruh dunia, saya fikir ekonomi global akan akan terjejas teruk dan negara termiskin khususnya akan menjadi lebih teruk. Jadi orang ramai bercakap tentang pemisahan seolah-olah ia adalah sesuatu yang sangat mudah untuk dilakukan. Tetapi biarpun ia dilakukan secara terpilih, saya fikir ia akan mendatangkan kerosakan yang besar kepada ekonomi global.



SOALAN: Apakah satu-satunya kesan terbesar yang pernah anda lihat ekoran pemisahan dalam ekonomi Singapura?



DPM WONG: Buat masa ini, tidak begitu banyak. Kami belum benar-benar melihat perniagaan mengubah semula operasi mereka, tetapi ia mungkin akan berlaku. Buat masa ini, perkara yang sering anda dengar ialah orang ramai cuba mengubah semula rantaian bekalan untuk menjadi lebih berdaya tahan. Itu tidak semestinya sesuatu yang buruk jika ia mengenai mempelbagaikan pilihan - membayar harga yang lebih tinggi sedikit supaya lebih berdaya tahan.



SOALAN: Biarpun anda mengalami kesan daripada konflik AS-China, dengan cara yang aneh, ia memberi manfaat kepada anda?



DPM WONG: Kami akan sentiasa mahu Singapura menjadi benteng kestabilan dan peluang walaupun dalam dunia yang tidak menentu dan berbahaya. Kita tidak rasa gembira apabila negara di sekeliling mengalami kesan negatif. Kami mahu melihat dunia makmur dan kami mahu melihat kestabilan di seluruh dunia. Kami mahu melihat ekonomi berfungsi dalam sistem pelbagai hala berasaskan peraturan.



BEKALAN TENAGA KERJA



SOALAN: Terdapat keluhan berterusan daripada syarikat asing di sini bahawa mereka tidak boleh mendapatkan pekerja. Saya ingin tanya jika ada perkara baharu yang anda boleh beritahu kami tentang perkara itu?



DPM WONG: Kami kekurangan tenaga kerja tetapi kita bukan satu-satunya negara yang kekurangan tenaga kerja. Ia berlaku di seluruh dunia dan orang lupa bahawa lebih 6.4 juta telah terkorban akibat Covid-19. Sebilangan besar telah memutuskan mereka ingin mempunyai keutamaan yang berbeza dalam hidup. Tidak hairanlah kita kekurangan tenaga kerja di seluruh dunia.



SEKSYEN 377A



SOALAN: Adakah Nancy Pelosi mengemukakan Seksyen 377A yang melarang seks antara lelaki? Bila ia akan dimansuhkan?



DPM WONG: Itu adalah sesuatu untuk Singapura dan rakyat Singapura untuk membuat keputusan. Ia adalah sesuatu yang telah kita bincangkan. Ia adalah salah satu isu yang perlu diurus dan ditangani dengan teliti dan sensitif, kerana ia berkaitan dengan nilai dan norma sosial kita dan kita telah melakukan ini untuk pelbagai isu yang berbeza. Sama ada bangsa atau agama, atau sama ada mengenai seksualiti, kita tahu bahawa ini adalah isu di mana segmen masyarakat yang berbeza mempunyai pandangan yang mendalam dan kadangkala bertentangan dengan pandangan.



Cara kami menangani isu-isu sebegini sebenarnya adalah dengan melibatkan kumpulan yang berbeza dan melihat sama ada kita boleh menyelesaikan beberapa persefahaman bersama, beberapa cara untuk menerima dan berkompromi bersama tanpa menyebabkan polarisasi dan perpecahan yang mendalam dalam masyarakat kita atau polarisasi dan perpecahan yang lebih mendalam. Itu proses yang sedang kita jalankan sekarang.



Tetapi kita juga tahu bahawa di Singapura, terdapat banyak segmen yang merasakan bahawa ia bukan hanya mengenai undang-undang, tetapi undang-undang adalah penanda kepada perkara lain. Perkara yang mereka ambil berat - tentang masyarakat, nilai masyarakat, tentang keluarga, dan tentang perkahwinan. Dan itulah sebabnya kita sedang mengadakan perbincangan, melibatkan kumpulan yang berbeza dan mempertimbangkan cara terbaik ke hadapan tanpa menyebabkan pecah belah yang lebih mendalam.



INFLASI



SOALAN: Inflasi. Pada masa ini 6.7 peratus, dengan inflasi teras 4.4 peratus, tidak seteruk banyak tempat lain, tetapi ia isu politik di sini. Adakah banyak lagi yang boleh anda lakukan untuk (menanganinya)?



DPM WONG: Penguasa Kewangan Singapura (MAS) telah bertindak empat kali dalam tempoh sembilan bulan lalu untuk mengurangkan inflasi. Selain itu, kami mempunyai pelbagai pakej bantuan yang telah kami hulurkan, tertumpu kepada golongan berpendapatan rendah dan terdedah kerana merekalah yang akan terjejas secara tidak seimbang oleh harga yang lebih tinggi.



Beberapa langkah yang telah kami umumkan sedang dilaksanakan dalam beberapa bulan akan datang. Jaminan yang kami berikan kepada semua orang di Singapura ialah jika keadaan inflasi menjadi lebih teruk, kami pasti akan dapat memberikan lebih banyak bantuan. Buat masa ini, kami menjangkakan inflasi mungkin memuncak pada kira-kira suku keempat tahun ini menjelang akhir tahun, dan ia akan mula mereda selepas itu.



Tetapi ketidakpastian yang besar ialah sejauh mana keredaannya dan apakah kadar inflasi baru yang stabil ketika itu. Saya fikir ada kemungkinan ia tidak akan stabil pada kadar yang kita sudah biasa sepanjang dekad yang lalu atau lebih - inflasi sifar, satu peratus. Malah, ia adalah anomali sejarah kerana kadar inflasi tidak pernah begitu rendah. Oleh itu, ia mungkin stabil pada kadar yang lebih tinggi, terutamanya dengan mengambil kira sekitaran geopolitik, isu rantaian bekalan yang perlu kita tangani, dan peralihan hijau. Kita hanya perlu membayar lebih sedikit untuk menjadi lebih hijau, untuk mempunyai rantaian bekalan yang lebih berdaya tahan, oleh kita perlu bersedia menangani keseimbangan baru melibatkan inflasi.



SOALAN: Adakah anda merancang memperkenalkan bentuk cukai kekayaan baru, seperti (ke atas) dividen dan keuntungan modal atau cukai warisan?



DPM WONG: Kami sentiasa melihat cara mengemas kini sistem cukai dan pemindahan kami. Ia adalah sistem yang adil dan progresif, dan ia adalah sistem yang mesti menyokong masyarakat di mana kita memastikan pertumbuhan inklusif dan semua orang mendapat manfaat daripada kemajuan negara. Itulah objektif asas kami. Jika kita lihat pada 10 tahun kebelakangan ini, pencapaian kami tidak terlalu teruk, kami menikmati pertumbuhan pendapatan, kita mempunyai tahap mobiliti sosial yang agak tinggi, dan jurang pendapatan kami, ketidaksamaan pendapatan kita menurut Gini telah mengecil. Tetapi kami merasakan bahawa kami masih perlu memerhatikan perkara ini dengan teliti dan mungkin Pemerintah perlu mengambil pendekatan ke arah pertumbuhan yang lebih inklusif.



SOALAN: Lebih ke arah cukai ke atas golongan lebih berada?



DPM WONG: Kami mahu sistem yang adil, dan apabila kita bercakap tentang sistem yang adil dan progresif di Singapura, ini bermakna semua orang menyumbang bahagian mereka, semua orang membayar beberapa bentuk cukai, tetapi sudah tentu mereka yang berkemampuan lebih besar, yang kaya, berpendapatan lebih tinggi, perlu membayar lebih. Dan ia bukan sahaja dilakukan melalui sistem cukai, tetapi kita juga boleh melakukannya melalui pemindahan dan perbelanjaan serta memastikan ia disasarkan kepada golongan berpendapatan rendah dan mereka yang mempunyai keperluan yang lebih besar. Jadi apabila anda gabungkan cukai dan pindahan bersama-sama, kita ada sistem yang sangat progresif di Singapura.



Bagi setiap dolar cukai yang dibayar, bagi pendapatan yang lebih rendah, mereka mendapat $4 faedah, untuk pendapatan pertengahan dapat $2 faedah, tetapi orang kaya hanya dapat 30 sen faedah. Itulah sistem yang kita ada tetapi kita terus melihat bagaimana ia boleh dipertingkatkan, diperbaiki dan disesuaikan dalam dunia yang akan menjadi lebih tidak menentu.



KEHARMONIAN KAUM



SOALAN: Mengenai kemajuan, Pemerintah sedang menggubal undang-undang keharmonian kaum baru. Bolehkah anda ringkaskan logik di sebaliknya?



DPM WONG: Ini didorong terutamanya pada 2020 apabila kami dilanda Covid-19 dan kami lihat peningkatan mendadak dalam insiden perkauman. Kami bimbang kerana keharmonian kaum adalah sesuatu yang penting bagi kewujudan Singapura. Jika berlaku persengketaan dalaman, kami akan musnah kerana kami bandar yang begitu kecil, dan oleh itu kami tidak mampu mempunyai perpecahan antara kami. Itulah sebabnya kami terus melibatkan kumpulan yang berbeza, cuba memahami kebimbangan, dan kami berpendapat bahawa mempunyai undang-undang sedemikian akan membantu mengingatkan semua orang tentang kepentingan keharmonian kaum.



Kami boleh mewujudkan pelbagai tindakan yang boleh dikenakan ke atas seseorang yang melakukan tindakan yang tidak betul, yang menyinggung perasaan atau yang menimbulkan masalah kepada masyarakat lain, jadi terdapat pelbagai tindakan, ia tidak semestinya menghukum, tetapi kami mahu meletakkan sesuatu yang mengingatkan orang ramai bahawa ini adalah kritikal dan boleh menjejas kewujudan Singapura di masa depan.



SOALAN: Adakah anda fikir bahawa ujian sebenar sama ada Singapura telah maju adalah ia mempunyai pemimpin bukan Cina?



DPM WONG: Saya telah menyatakan pandangan saya dengan sangat jelas tentang itu. Saya pastinya mengalu-alukan pemimpin pada masa hadapan, yang bukan daripada masyarakat majoriti. Kami memilih pemimpin kami atas dasar merit dan jika ada pemimpin yang muncul di masa depan dari kaum bukan Cina, saya pasti mengalu-alukan orang itu.




DPM WONG MENGENAI HUBUNGAN PELBAGAI PIHAK



Kami akan sentiasa mahu Singapura menjadi benteng kestabilan dan peluang walaupun dalam dunia yang tidak menentu dan berbahaya. Kita tidak rasa gembira apabila negara di sekeliling mengalami kesan negatif. Kami mahu melihat dunia makmur dan kami mahu melihat kestabilan di seluruh dunia. Kami mahu melihat ekonomi berfungsi dalam sistem pelbagai hala berasaskan peraturan.



DPM WONG MENGENAI INFLASI



Beberapa langkah yang telah kami umumkan masih dilaksanakan dalam beberapa bulan akan datang. Jaminan yang kami berikan kepada semua orang di Singapura ialah jika keadaan inflasi menjadi lebih teruk, kami pasti akan dapat memberikan lebih banyak bantuan. Buat masa ini, kami menjangkakan inflasi mungkin memuncak pada kira-kira suku keempat tahun ini menjelang akhir tahun, dan ia akan mula mereda selepas itu. Tetapi ketidakpastian yang besar ialah sejauh mana keredaannya dan apakah kadar inflasi baru yang stabil ketika itu.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >