Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Semoga lebih ramai ceburi bidang kejururawatan dan tingkat tenaga kerja

Oct 27, 2021 | 5:30 AM
BUKA PELUANG: Dr Juriyah Yatim berharap lebih ramai terdorong menceburi bidang penjagaan kesihatan yang memerlukan kakitangan tambahan. - Foto MUIS
BUKA PELUANG: Dr Juriyah Yatim berharap lebih ramai terdorong menceburi bidang penjagaan kesihatan yang memerlukan kakitangan tambahan. - Foto MUIS -

LANGKAH membolehkan pegawai sektor penjagaan kesihatan memakai tudung dengan seragam mereka diharapkan dapat menarik lebih ramai orang bekerja dalam sektor tersebut.

Ini kerana mereka akan dapat melaksanakan tanggungjawab sebagai kakitangan penjagaan kesihatan sambil memenuhi aspirasi keagamaan mereka.

Demikian dinyatakan oleh Anggota Jawatankuasa Eksekutif Persatuan Karyawan Penjagaan Kesihatan Islam (MHPA), Dr Juriyah Yatim, ketika ditemui media semalam selepas sesi pendekatan pihak berkepentingan Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) tentang fatwa berkaitan pemakaian tudung dalam perkhidmatan pakaian seragam.

Menurut Dr Juriyah, keizinan memakai tudung bagi jururawat adalah sesuatu yang dialu-alukan kerana ia akan dapat menarik mereka yang berminat menceburi bidang tersebut setelah mendapat tahu tudung boleh digunakan di tempat kerja.

"Apa yang kita pelajari daripada situasi pandemik ini ialah memang kakitangan kesihatan tidak mencukupi.

"Kami berharap dapat membawa masuk lebih ramai kakitangan profesional untuk membantu apa yang sekarang kita hadapi di hospital," katanya.

Dr Juriyah, yang juga Penolong Pengarah Kejururawatan (jururawat amalan lanjutan) di Hospital Besar Singapura (SGH), berkata sebelum ini ada individu yang terpaksa meninggalkan industri penjagaan kesihatan kerana tidak dapat memakai pakaian yang menutup aurat ketika bertugas.

Beliau berkata buat masa ini, wanita Muslim bertudung rata-rata memakai pakaian menutup aurat dan tudung dari rumah, dan menyalin ke pakaian seragam di tempat kerja.

"Mereka yang sudah bertahun-tahun melakukan demikian sudah terbiasa dengan keadaan itu tetapi pelaksanaan pemakaian tudung di tempat kerja akan membuat mereka rasa lebih selesa untuk menjalankan kewajipan keagamaan mereka," katanya.

Dr Juriyah bagaimanapun menekankan bahawa pemakaian tudung adalah pilihan peribadi dan ia tidak menjejas khidmat dan penjagaan yang diberikan kepada pesakit.

"Kami berharap dengan garis panduan yang ditetapkan, orang ramai lebih sedar untuk terima bahawa mereka dilayan karyawan yang sangat terlatih.

"Kita, sebagai karyawan penjagaan kesihatan, sering mengamalkan keselamatan dan semua amalan pencegahan jangkitan demi kepentingan kakitangan dan pesakit," katanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg