Subuh
5:34
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:26
Maghrib
7:07
Isyak
8:21
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

LONJAKAN PERMINTAAN BAGI TEKSI, KERETA SEWA PRIVET

Sebab kekurangan pemandu teksi, kereta sewa privet diperjelas

May 28, 2022 | 05:30 AM



MANA NI TEKSI, KERETA SEWA?



Sejak kebelakangan ini, warga Singapura perlu menunggu lebih lama untuk mendapatkan khidmat teksi atau kenderaan sewa privet serta perlu menanggung kos lebih tinggi. Dengan lebih banyak kegiatan ekonomi dimulakan semula di sini, ia datang serentak dengan bekalan pemandu yang telah merosot serta kos minyak lebih tinggi. BERITA HARIAN menyorot masalah ini.



Berita Harian tinjau apa antara sebab di balik keadaan ini dan apa cabaran yang sedang dihadapi pengguna serta pemain industri pengangkutan




TERDAPAT sebilangan pemandu kereta sewa privet yang semakin tidak aktif dalam platform tempahan kereta sewa privet sejak dua tahun lalu ekoran permintaan yang berkurangan.



Namun dengan Singapura melonggarkan lebih banyak larangan serta sempadannya baru-baru ini, termasuk musim sambutan lebaran, tempahan bagi pengangkutan kereta sewa privet pula semakin naik.



Demikian dinyatakan seorang jurucakap pengendali platform tempahan dalam talian, Grab ketika ditanya mengenai isu bilangan kereta sewa privet dan teksi yang berkurangan sejak kebelakangan ini.



Antara lain, warga di sini menghadapi kesukaran mendapatkan khidmat tersebut serta perlu membayar tambang lebih tinggi.



Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) dalam perangkaan terkininya melaporkan jumlah teksi di sini telah merosot 19 peratus sejak dua tahun lalu.



Sehingga Mac lalu, terdapat sebanyak 14,604 teksi berbanding tempoh yang sama pada 2019 iaitu 17,977.



Menyusuli itu, dalam satu laporan media sebelum ini, seorang jurucakap ComfortDelGro Corp berkata peningkatan permintaan ketara oleh penumpang telah melangkaui bekalan teksinya, terutamanya pada waktu sibuk.



"Ramai pemandu telah memulangkan teksi mereka dan ini secara keseluruhannya telah mengurangkan bilangan pemandu," kata jurucakap firma pengendali teksi terbesar Singapura itu kepada sebuah agensi berita sambil menambah firma itu sedang berusaha mendapatkan lebih ramai pemandu.



Ketika Berita Harian (BH) meminta syarikat itu mengulas tentang kenyataan yang disiarkan itu, seorang daripada pihak perhubungan korporat berkata:



"Memandangkan ini mengenai maklumat berkait persaingan, malangnya kami tidak dapat berkongsi maklumat itu."



Tinjauan BH juga mendapati keadaan ini boleh dikaitkan dengan pemandu kereta sewa privet dan teksi beralih pekerjaan di sektor lain.



Ketika ditemui, seorang pemandu CityCab, yang hanya ingin dikenali sebagai Encik Tang berusia 40-an memberitahu sebilangan temannya telah "membuang kunci" sejak musim kemuncak pandemik tahun lalu dengan sekatan sempadan dan larangan berhimpun dan bekerja di pejabat dikuatkuasakan.



"Banyak juga kawan saya sudah tukar pekerjaan. Ada yang memutuskan untuk menyertai sektor keselamatan. Jadi kekurangan pemandu itu dirasakan sampai sekarang," tambahnya.



Pengerusi Jawatankuasa Parlimen Pemerintah bagi Pengangkutan Awam, Encik Saktiandi Supaat, pula berkata: "Mereka yang menganggap pekerjaan membawa kereta sewa privet itu sebagai pekerjaan sementara akan berpindah ke pekerjaan lain dengan lebih banyak kegiatan ekonomi dimulakan di sini.



"Namun terdapat pelbagai sebab di balik keadaan ini, mungkin sebab permintaan oleh pengguna juga sangat tinggi."



Beliau berkata disebabkan kos minyak lebih tinggi, lebih ramai orang kurang memandu kereta sendiri.



"Jadi mereka lebih kerap menaiki pengangkutan awam, teksi dan kereta sewa privet," katanya.



Kenaikan harga minyak disebabkan perang yang berterusan di Eropah, sekali gus menjejas pendapatan seharian pemandu dan juga harga tambang lebih tinggi bagi penumpang.



Harga minyak di sini sudah mencecah rekod tertinggi berbanding kemuncaknya Mac lalu.



Lantaran itu, ComfortDelGro misalnya telah menaikkan tambang teksi biasanya bagi setiap 400 meter selepas 1 kilometer pertama daripada 24 sen kepada 25 sen sehingga 10 kilometer.



Pemain baru, TADA juga telah melanjutkan tambang pemandunya berjumlah 50 sen bagi perjalanan berharga $18 dan ke bawah dan 80 sen bagi perjalanan berharga $18.10 ke atas lagi dua bulan hingga 31 Julai.



Pada masa yang sama, tambang tambahan bagi kawasan tertentu seperti Lapangan Terbang Changi telah dinaikkan lagi $3 dari 19 Mei hingga 20 Jun.



Meskipun penumpang perlu membayar lebih, dasar tambang tambahan itu lantas menjadi satu peluang bagi pengendali pengangkutan sewa privet seperti Grab mendapatkan lebih ramai pemandu, seperti melancarkan pelbagai program insentif untuk menggalak pemandunya bekerja semasa waktu sibuk.



Pengurus Besar Kanan, Khidmat Mobiliti Strides, anak syarikat SMRT, Encik Yeow How Pheng, pula berkata, syarikat itu sedang menyemak skim sewanya untuk menarik lebih ramai pemandu, termasuk memperkenalkan teksi elektrik baru yang boleh membantu pemandu memotong kos operasi sedang harga minyak semakin naik.



Disebabkan keadaan ini, pihak persatuan seperti Persatuan Teksi Kebangsaan (NTA) dan Persatuan Kenderaan Sewa Privet Nasional (NPHVA) telah menyuarakan agar pemain industri bersikap adil dengan pemandu dan penumpang.



"Sedang Singapura beralih ke fasa endemik, golongan pemandu dari tempat ke tempat (P2P) mengharapkan lebih ramai orang menggunakan khidmat itu... Namun, pemandu P2P di sini terjejas oleh kos operasi lebih tinggi disebabkan harga minyak naik dan inflasi yang menjejas pendapatan," kata penasihat kedua-dua persatuan itu, Cik Yeo Wan Ling.



"Kami menggesa pengendali platform menyemak semula struktur komisen, bekerjasama dengan rakan industri untuk menawarkan rebat sewa atau teruskan subsidi sewa teksi semasa; bekerjasama dengan rakan pembekal minyak untuk menawarkan lebih diskaun di stesen isi minyak; dan membuat struktur insentif mereka serta program manfaat lebih jelas" kata Cik Yeo lagi yang juga Ahli Parlimen (GRC Pasir Ris - Punggol).



Jawatankuasa Pengangkutan Awam (PTC) turut menekankan semula, di bawah rangka kerja kawalan P2P, fokusnya adalah untuk memastikan tambang tempahan dibuktikan kepada penumpang dengan jelas, dan ia sedang memantau keadaan agar semua pemain mematuhi keperluan kawalan.



Namun PTC tidak mengawal atau mencapur tangan dalam menetapkan tambang teksi atau kenderaan sewa privet, kata seorang jurucakap jawatankuasa itu.



"Paras tambang dicapai menerusi kuasa pasaran dinamik," katanya.



"Ini membolehkan permintaan dan bekalan khidmat tempah kenderaan itu dipadatkan dengan berkesan berdasarkan keadaan pasaran semasa, dan pada masa yang sama menggalakkan pengendali mempertingkat tawaran khidmat mereka."




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >