Subuh
5:36
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:24
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

BELASUNGKAWA

Sarkasi Said Perginya 'Bapa Batik SG'

Oct 16, 2021 | 05:30 AM



SEORANG perintis, pemikir dan penggiat seni yang berbudi tinggi, merendah hati meskipun memiliki bakat yang luar biasa.



Itulah keperibadian Allahyarham Sarkasi Said (gambar kanan), pakar batik tersohor yang mendapat gelaran "Bapa Batik Singapura'.



Allahyarham Sarkasi, seorang penerima Pingat Budaya pada 2020, pingat kesenian tertinggi negara, menghembuskan nafasnya yang terakhir Khamis malam, pada usia 81 tahun. Beliau meninggalkan seorang isteri dan empat orang anak.



Melahirkan rasa sedihnya atas kehilangan ikon negara itu, Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, berkata Allahyarham merupakan perintis dan penggiat seni batik Singapura yang amat disegani.



"Ternyata, sumbangan Almarhum menjadi inspirasi bagi kita semua untuk terus berusaha agar saling membantu sesama kita, khususnya golongan yang lebih memerlukan," katanya dalam satu catatan di Facebook.



Menteri Kedua Pendidikan, Dr Mohd Maliki Osman, berkata Allahyarham seorang seniman negara yang sangat berdedikasi dan dihormati ramai.



"Sumbangan beliau dalam arena seni lukis batik diiktiraf di peringkat antarabangsa dan sukar dibandingi.



"Beliau juga dianugerahi dengan penghormatan seni tertinggi Pingat Budaya baru-baru ini. Pemergiannya merupakan kehilangan besar kepada masyarakat dan negara serta pasti akan dirindui semua," ujarnya.



Allahyarham Sarkasi, atau lebih mesra dengan panggilan Pak Sarkasi dan dikenali menerusi nama artisnya "Tzee", merupakan penggiat seni batik tersohor negara dan di peringkat antarabangsa bagi seni batiknya yang berani dan abstrak.



Lebih daripada sekadar mempamerkan hasil lukisannya di galeri setempat, Allahyarham pernah membawa lukisannya ke luar negara.



Pada 1979, lukisan pertamanya dipamerkan di sebuah galeri Florida, di Amerika Syarikat, dengan lukisan itu mendapat anugerah bagi kategori penyertaan asing terbaik



Hasil lukisannya bukan sekadar dipamerkan di Amerika, malah seluruh rantau Asia Tenggara, Jepun, China, Korea, Taiwan, Malta dan juga Eropah.



Allahyarham Sarkasi mula mempelajari seni lukisan batik pada tahun 1950-an.



Menerusi satu wawancara bersama Berita Harian, beliau berkata seni itu dipelajarinya semasa menyaksikan seorang seniman warga Italy menghasilkan lukisan batik.



"Ketika itu saya fikir batik itu wujud dari rantau ini, justeru adalah lebih sesuai sekiranya pelukis setempat juga menghasilkan lukisan batik.



"Jadi saya mula belajar secara sendiri, sehinggalah akhirnya saya berjaya menguasainya," katanya dalam wawancara tersebut.



Berbekalkan semangat yang disemarakkan cita-citanya menempah nama sebagai anak seni, anak bongsu dua beradik itu menghabiskan banyak masa melukis di tepi-tepi jalan raya dan menjual hasil lukisannya itu dengan harga antara sedolar dengan dua dolar pada ketika itu.



Selepas bertahun lamanya beliau melukis dan menjual lukisan di tepi jalan raya, Allahyarham akhirnya mendapat peluang mempamerkan hasil lukisannya di Galeri Seni Donald Moore - galeri seni pertama Singapura.



"Beliau (Donald Moore) membeli setiap lukisan saya dengan harga sekitar $10 setiap satu, lalu beliau pamerkannya di galeri tersebut," kata Allahyarham.



Antara ikon seni yang menyaksikan perjalanan seni Allahyarham Sarkasi ialah Cik Som Said, yang kali terakhir menemuinya sekitar dua minggu lalu.



Menurutnya, sebanyak dua kali, Allahyarham merupakan "jirannya" apabila mereka ditempatkan di Kampung Melayu lama dan kemudian di Taman Warisan Melayu.



"Kami sering ke luar negara untuk mempromosikan budaya Singapura kepada dunia... dedikasinya kepada karyanya memang cukup luar biasa.



"Allah sahaja yang tahu begitu banyak cabaran dan ketidaktentuan yang arwah lalui dalam usaha memperjuangkan seni yang beliau cintai



"Sarkasi memang tidak kenal erti lelah dan tidak lokek mengongsi ilmu yang meluasnya dalam bidang seni lukis batik," kata Cik Som, 70 tahun.



Seorang lagi rakan seperjuangan, pakar tembikar, Dr Iskandar Jalil, pula berkata: "Lihat sahaja pilihan warna yang beliau gunakan dalam setiap seni batiknya, sungguh berwarna-warni. Ini yang mencerminkan keperibadiannya - seorang yang berani dan juga dengan personaliti yang berwarna-warni."



Namun, selain memperjuangkan seni, Allahyarham, yang juga penerima Anugerah Jauhari Perintis yang disampaikan akhbar ini pada 2015 bagi mengiktiraf generasi perintis Melayu/Islam yang telah memberi sumbangan besar kepada masyarakat, turut prihatin terhadap golongan yang kurang bernasib baik.



Selain mendermakan hasil kerja seninya kepada rumah-rumah kebajikan, Allahyaham turut menyumbang sebagai guru seni sukarela di Penjara Changi, Pusat Pemulihan Dadah Sembawang dan Rumah Tumpangan Kanak-Kanak Darul Ma'wa.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >