Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pusat berperanan besar sokong RRG dekati masyarakat

Bakal diperluas untuk beri pengalaman lebih baik kepada pengunjung
Apr 30, 2021 | 5:30 AM
RAHAT RRG: Menteri Pendidikan ketika itu, Encik Heng Swee Keat (kini Timbalan Perdana Menteri), bersama dua pengerusi bersama RRG, Ustaz Ali Mohamed (tengah) dan Ustaz Mohd Hasbi Hassan, di rahat RRG pada Jun 2014. Sebulan kemudian, RRG melancarkan Pusat Sumber dan Kaunselingnya. - Foto fail
RAHAT RRG: Menteri Pendidikan ketika itu, Encik Heng Swee Keat (kini Timbalan Perdana Menteri), bersama dua pengerusi bersama RRG, Ustaz Ali Mohamed (tengah) dan Ustaz Mohd Hasbi Hassan, di rahat RRG pada Jun 2014. Sebulan kemudian, RRG melancarkan Pusat Sumber dan Kaunselingnya. - Foto fail -

Pusat Sumber dan Kaunseling Kumpulan Pemulihan Keagamaan (RRG) menyediakan tempat bagi orang awam mendapatkan penjelasan tentang ideologi radikal dan fahaman pelampau. Ia turut menawarkan khidmat kaunseling dan bahan sumber bagi kaunselor RRG dan asatizah lain menyelidik tentang isu berkaitan ekstremisme. Berita Harian menyorot perkembangan dan pencapaian pusat itu sejak ia ditubuhkan pada 2014, di halaman ini dan berikut.

SEJAK ditubuhkan pada 2014, Pusat Sumber dan Kaunseling (RCC) Kumpulan Pemulihan Keagamaan (RRG) kian menerima ramai pengunjung setiap tahun.

Bahkan, lebih 15,000 orang telah mengunjungi pusat di Masjid Khadijah itu sejak penubuhannya tujuh tahun lalu, kata naib pengerusi Kumpulan Pemulihan Keagamaan (RRG), Ustaz Dr Mohamed Ali.

Semalam, rancangan untuk meningkatkan prasarana Masjid Khadijah dan meluaskan pusat tersebut diumumkan untuk memberi pengalaman lebih baik kepada pengunjung.

Sepanjang tujuh tahun lalu, pusat di tingkat dua di pekarangan masjid di Geylang Road itu memainkan peranan penting dalam usaha RRG untuk mendekati masyarakat bagi menyebar mesej antipengganasan.

Penubuhan pusat itu disifatkan Pengerusi Bersama RRG, Ustaz Haji Ali Haji Mohamed, dalam satu wawancara bersama Berita Harian pada 2019 sebagai "satu pencapaian dan mercu tanda RRG yang besar".

Pusat itu boleh dikunjungi orang awam untuk mendapatkan penjelasan tentang ideologi radikal dan fahaman lampau.

Ini termasuk menjawab soalan sukar daripada orang awam, serta mendidik dan menjawab sebarang keprihatinan pengunjung.

Pengunjung itu termasuk pelajar dan orang awam, serta tokoh dalam dan luar negara.

Antara ulama yang mengunjungi pusat tersebut ialah Mufti Mesir, Dr Shawki Abdul Kareem Allam; Imam Besar Universiti Al-Azhar, Sheikh Ahmed Al-Tayyeb; dan Pengasas dan Pengetua Darul Mustafa di Tareem (Yaman), Habib Umar Hafiz; dan cendekiawan Islam dan pengarang buku Refuting Isis (Menyangkal Isis), Shaykh Muhammad Al-Yaqoubi.

Menulis dalam buku tetamu pusat itu, Syeikh Al-Tayyeb melahirkan rasa gembira ke pusat tersebut, tempat pertama yang dikunjunginya dalam lawatan ke Singapura pada 2018.

"... hati saya menjadi tenang apabila melihat markas ini yang kecil saiznya tetapi besar manfaatnya - memberi faedah kepada Islam dan Muslim bahkan seluruh alam.

"Markas ini memberi penjelasan dengan ilmu tentang hakikat penyakit-penyakit yang terkena ke atas sebahagian anggota umat Islam hari ini, dan penyakit tersebut telah merebak dari Timur ke Barat, bahkan ke seluruh alam - penyakit yang menjatuhkan dan merosakkan iaitu penyakit pengganasan," tulis Syeikh Al-Tayyeb.

Di samping itu, pusat tersebut berperanan sebagai pusat rujukan bagi kaunselor RRG dan asatizah lain untuk menyelidik tentang isu berkaitan ekstremisme.

Selain menjadi pusat rujukan, RCC menawarkan khidmat kaunseling dan nasihat mengenai usaha mengatasi radikalisme oleh kaunselor keagamaan RRG yang berada di pusat itu dari Isnin hingga Jumaat semasa waktu pejabat.

Pada 2017, Ustaz Dr Mohamed memberitahu akhbar ini bahawa hampir 100 individu dirujuk ke pusat itu secara sukarela sejak ia ditubuhkan.

Dengan ruang sebesar flat lima bilik Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB), pusat itu memuatkan sebuah perpustakaan, galeri pameran dan dua bilik kaunseling.

Pada 2019, BH melaporkan pusat itu akan menjalani projek peningkatan untuk membolehkan lebih ramai pelawat berkunjung pada satu-satu masa, selain mempertingkatkan lagi sumber yang dapat digunakan bagi membimbing masyarakat berkaitan hal keagamaan.

Pada November lalu, RRG melancarkan lawatan maya ke RCC untuk membolehkan orang ramai melawat pusat itu tanpa perlu berada di pusat tersebut secara fizikal.

Lawatan maya RCC dengan pandangan 360 darjah RCC itu dipimpin oleh anggota kumpulan tersebut dan peserta boleh berinteraksi dengan mereka secara langsung.

Peserta lawatan maya itu antara lain boleh mendapatkan penjelasan tentang ideologi radikal dan ekstremisme ganas.

Dengan pendekatan digital itu, ia bukan sahaja dapat dilawati oleh masyarakat setempat tetapi juga mampu dilayari oleh masyarakat dunia.

RRG berkata lawatan maya itu melengkapi lawatan fizikal ke RCC, lebih-lebih lagi dengan pelbagai sekatan akibat pandemik Covid-19 sekarang.

Orang ramai yang ingin mengikuti lawatan maya itu boleh menghubungi Sekretariat RRG menerusi e-mel admin@rrg.sg atau talian RRG di 1800-7747747.

Pusat Sumber dan Kaunseling (RCC) Kumpulan Pemulihan Keagamaan (RRG)

2013: Idea bagi menubuhkan satu pusat sumber telah ditimbulkan dalam Rahat RRG

2014: Dirasmikan oleh Presiden Tony Tan Keng Yam.

2016: Aplikasi dilancar bagi pengguna rancang dan buat tempahan mengunjungi RCC.

2017: Disenaraikan dalam Buku Sumber Pendidikan Nasional oleh Kementerian Pendidikan. RCC memperluas usaha mendekati masyarakat dengan merangkumi pekerja asing di Singapura.

2020: Melancarkan lawatan maya RCC, membolehkan orang ramai mengunjungi pusat itu tanpa perlu berada di sana secara fizikal

Antara ulama luar negara yang pernah mengunjungi pusat itu:

- Mufti Mesir, Dr Shawki Abdul Kareem Allam

- Imam Besar Universiti Al-Azhar, Sheikh Ahmed Al-Tayyeb

- Pengasas dan Pengetua Darul Mustafa di Tareem (Yaman), Habib Umar Hafiz

- Cendekiawan Islam dari Syria dan pengarang buku 'Refuting Isis' (Menyangkal Isis) Shaykh Muhammad Al-Yaqoubi

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg