Subuh
5:34
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:26
Maghrib
7:07
Isyak
8:21
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Penunggang motosikal padam api sebelum merebak di tempat buang sampah flat

Sep 20, 2023 | 09:48 PM



Penunggang motosikal ini kelihatan tenang sahaja ketika memadamkan api di sebuah tempat pembuangan di tingkat satu sebuah blok Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) Bedok Reservoir pada Khamis lalu.

Tetapi sebenarnya beliau berdepan dengan satu situasi yang bakal menjadi lebih serius sekiranya tidak dipadamkan awal.

Dalam satu video di TikTok oleh pengguna BooItsLuqman yang telah mencatatkan lebih 46,200 tontonan sehingga 6 petang Rabu, penunggang motosikal itu kelihatan tersenyum sahaja apabila beliau cuba memadamkan api menggunakan paip air awam.

Rakaman berbentuk ‘Telegram bubble’ - iaitu sejenis kaedah kiriman mesej kepada seorang teman menerusi aplikasi Telegram - turut dimuat naik dengan kenyataan lucu, “maaf Bedok, saya gunakan air awak sebentar untuk lawan api.”




@actuallyluqman

sorry bedok , i use some of your water fight fire jap

♬ Comedy Background Music 1 - Faid rafanda



Namun sebenarnya, kejadian itu berupaya menjadi serius jika beliau tidak bertindak dengan segera pada ketika itu, kata Encik Luqmanul Hakim, 23 tahun yang mengendali akaun TikTok itu.

Apabila dihubungi Berita Harian, pelajar sambilan itu berkata, kejadian itu sebenarnya membuatnya panik seketika kerana kebakaran itu berlaku di tempat pembuangan sampah yang dipenuhi sampah dan bahan mudah terbakar.


Beliau, berada di situ kerana baru sahaja selesai menghantar makanan kepada seorang teman yang sedang sakit.

Oleh kerana tugas itu tidak mengambil banyak masa, beliau tidak membuka topi keledar dan alat Airpods juga kekal berada di telinganya kerana beliau sedang mendengar muzik dari telefon bimbitnya.

Kejadian berlaku sekitar enam petang, katanya.

Selepas menghantar makanan itu, beliau dengar seolah ada seseorang yang sedang berteriak di kawasan itu apabila menuju ke motosikalnya.

“Pada mulanya, saya tak pedulikan sangat sebab saya sedang mendengar muzik,” kata Encik Luqmanul.

“Namun pada saat itulah saya ternampak seorang makcik ini yang sedang menunggang basikal kelihatan kelam kabut dan memberi isyarat kepada saya bahawa ada sesuatu kecemasan yang sedang berlaku.”

Encik Luqmanul kemudian mematikan muzik yang didengarnya dan menjawab wanita itu dengan memberi isyarat: “apa yang sedang berlaku?”

“Itu yang saya dengar beliau sedang menjerit “Tolong! Tolong! Tolong!”.

“Kemudian saya lihat ke tempat pembuangan sampah blok itu dan kebetulan ada api kecil membakar sebuah kotak kadbod yang dipenuhi sampah,” katanya.

Encik Luqmanul berkata, kotak itu dikelilingi sampah sarap dan kotak-kotak lain termasuk tong sampah hijau besar berdekatan.

Pada saat itulah, beliau berkata kepada dirinya, bahawa beliau perlu melakukan sesuatu kerana api tersebut bakal merebak ke sampah-sampah lain.

“Saya mengalihkan tong hijau itu dan dua lagi kotak kadbod. Kemudian saya pergi ke rumah seorang penduduk untuk mendapatkan baldi dengan air,” katanya yang menyifatkan kejadian itu membuatnya berasa panik seketika.

Namun penduduk tersebut perlukan masa untuk mencari baldi dan Encik Luqmanul enggan membuang masa.

Beliau teringat ada paip yang biasanya disediakan di kawasan pembuangan sampah, dan beliau langsung bergegas ke tempat pembuangan sampah itu sekali lagi.

Kebetulan terdapat sebuah paip di blok itu yang disambung getah panjang dan beliau kemudian cuba memadamkan api itu selama tempoh tiga hingga lima minit bagi memastikan tiada api yang menyala lagi.

“Saya pastikan kotak-kotak dan sampah itu disiram sepenuhnya. Dan kemudian saya tunggu dalam seminit lagi untuk memastikan api itu tidak menyala lagi,” katanya yang hanya mempunyai pengalaman memadamkan api menerusi kegiatan kokurikulum (CCA) sekolah Pasukan Kadet Polis Kebangsaan (NPCC) dahulu.

Beliau tidak menghubungi Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) kerana menganggap kebakaran itu kecil sahaja.

“Walaupun ia hanya kebakaran kecil, saya puas hati dapat bantu orang lain. Ia juga satu peringatan agar kita elak daripada membuang sampah sebarangan,” ujarnya lagi yang terus pulang ke rumah selepas insiden itu.

SCDF dalam laporan separuh tahun dikeluarkan Ogos lalu menyatakan panggilan kebakaran berpunca daripada barang dibuang, kawasan tumbuhan dan pohon, serta kenderaan, naik 40.5 peratus daripada 200 kes antara Januari hingga Jun 2022 kepada 281 kes tempoh sama 2023.

Dalam laporan tahunan 2021, SCDF berkata seramai 1,419 orang awam - menerusi aplikasi tindak balas awam myResponder - telah bertindak sendiri untuk memadamkan api dalam kejadian kebakaran di tong sampah atau pusat pembuangan sampah pada tahun itu, yang disifatkan sebagai satu perkara “menggalakkan”.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >