Subuh
5:34
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:26
Maghrib
7:07
Isyak
8:20
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Pengorbanan, usaha Ustaz Ali satu inspirasi kepada masyarakat

Mar 18, 2023 | 05:30 AM



KESEDIAAN Ustaz Ali Mohamed untuk sentiasa berkhidmat demi keharmonian agama dan negara serta sikap tidak mudah putus asa, khususnya sepanjang mengasaskan dan menerajui Kumpulan Pemulihan Keagamaan (RRG), adalah satu legasi yang penting untuk generasi hari ini.



Pengorbanan dan usaha beliau bukan sahaja memberi inspirasi kepada masyarakat Melayu/Islam, tetapi juga masyarakat lebih luas di Singapura, menurut para asatizah dan badan Melayu/Islam (MMO) setempat dalam mengenang kembali jasa Allahyarham Ustaz Ali.



Ustaz Mustazah Bahari, seorang anggota RRG, yang pernah berkhidmat bersama beliau di RRG sejak 2007, berkata Allahyarham adalah seorang yang sentiasa bersedia untuk berkhidmat demi agama dan negaranya.



"Beliau amat konsisten dalam melaksanakan tugasan dan memberikan khidmat tanpa rasa jemu dan mengenal penat-lelah.



"Ini jelas terbukti sehingga waktu beliau sakit pun, beliau tetap mahu bersama-sama kami dalam melakukan kerja-kerja kebajikan.



"Inilah sifat yang perlu dicontohi oleh generasi muda hari ini. Pemergian beliau pasti dirindui," ujarnya.



"Ustaz Ali memiliki sikap yang amat disenangi ramai sehinggakan anak-anak muda tidak akan rasa canggung untuk duduk dan bercampur dan mudah mendengar pandangan orang lain.



"Legasi yang beliau tinggalkan adalah melakukan usaha untuk kebaikan bersama bukan untuk kepentingan peribadi semata-mata.



"Sepanjang melakukan kerja-kerja kebajikan di RRG, beliau tidak mudah kecewa dan putus asa walaupun berdepan dengan cabaran dan kritikan," jelas Ustaz Mustazah.



Seorang lagi anggota RRG, Ustazah Kalthom Muhammad Isa, menyifatkan pemergian Allahyarham Ustaz Ali sebagai sesuatu yang sukar diganti.



Selain menyumbang kepada RRG, beliau menarik perhatian Ustaz Ali telah banyak menyokong Persatuan Ulama dan Guru-Guru Agama Islam Singapura (Pergas) sebagai penasihat dan anggota pengamanah Pergas Investment Holdings.



"Sebagai ahli RRG, beliau menjadi inspirasi dalam kerja-kerja kemasyarakatan, memberi peluang kepada kami, golongan asatizah muda menyumbang kepada negara, agama dan bangsa.



"Saya amat menghormati sikap prihatin, peka, jitu dan serius dalam melaksanakan tugasan dan membantu orang. Itulah sikap yang susah dicari ganti.



"Semoga kami dapat mengikut langkah beliau dalam melaksanakan amanah tanpa menghiraukan cabaran di sekeliling kita, amanah yang Allahyarham tinggalkan akan kami teruskan," luah Ustazah Kalthom, yang berkhidmat bersama Ustaz Ali di RRG sejak 2005.



Melahirkan rasa kehilangannya, Pengasas Safinah Holdings, Ustaz Tarmizi Wahid, berkata Ustaz Ali telah menubuhkan institusi penting yang telah menstabilkan dan menetapkan jangkaan tinggi yang membentuk masyarakat Islam di Singapura.



Ustaz Tarmizi, yang pernah menganggotai Jawatankuasa Fatwa Muis bersama Allahyarham selama tiga penggal, berkata:



"Kerja keras beliau telah menjadi legasi yang bukan hanya memberi inspirasi kepada kita tetapi juga masyarakat serantau dan antarabangsa, yang yakin usaha dilakukan beliau adalah sesuatu yang perlu dilaksanakan agar masyarakat Islam kekal relevan dan terus menjadi penyumbang penting dalam masyarakat dan dunia."



Sementara itu, Presiden Pergas, Ustaz Mohammad Hasbi Hassan, mengenang jasa yang ditabur Ustaz Ali, khususnya semasa mereka berkhidmat bersama di Pergas sejak 1986.



Beliau, yang menyifatkan Allahyarham sebagai pemimpin yang terbaik bagi masyarakat Melayu mahupun masyarakat umum, berkata:



"Ini adalah satu kehilangan yang amat besar bagi kita dengan pemergian Allahyarham, tiada pengganti.



"Nasihat saya kepada masyarakat, hendaklah kita ikut contoh pemimpin yang mencontohi Rasulullah saw dan beliau adalah pemimpin yang mencontohi Rasulullah... Tandanya, setiap tahun beliau mengadakan majlis maulid memberi makan untuk masyarakat umum. Saya berdoa Allah berikan pengganti seperti dia."



Menyifatkan pemergian Ustaz Ali sebagai satu kehilangan besar, Presiden Majlis Ugama Islam Singapura (Muis), Encik Saat A. Rahman, berkata:



"Beliau telah banyak berkhidmat kepada masyarakat selain memberi kepimpinan keagamaan.



"Saya mengenali beliau lama ketika beliau memimpin Pergas dahulu. Saya sendiri dulu belajar agama dan Al-Quran dengan beliau.



"Beliau seorang yang memberi keazaman penuh dalam menjalankan tugasnya termasuk memimpin RRG. Beliau pun menerima pelbagai cabaran. Pemergiannya satu kehilangan besar bagi masyarakat Islam Singapura."



Turut memberi penghormatan kepada tokoh masyarakat itu, ialah para Anggota Parlimen (AP) dan pemimpin MMO.



Berkongsi pandangannya, Anggota Parlimen (GRC Chua Chu Kang), Encik Zhulkarnain Abdul Rahim, berkata:



"Sebagai pengasas RRG, Allahyarham telah menangani ideologi pengganas semenjak insiden 9/11 dan memperbetulkan salah tanggapan pada agama dan masyarakat kita.



"Semasa di Angkatan Karyawan Islam (AMP), selaku ahli Kumpulan Penjagaan Lanjut Antara Agensi (ACG), saya telah melihat perjuangan beliau semasa kami bekerjasama rapat dengan RRG. Jasa beliau demi keamanan masyarakat dan negara kita tidak terkira."



Pengurus Pemasaran dan Perhubungan Awam Pertapis, Encik Muhaimin Ali, berkata, jasanya akan terus disanjung.



"Sebagai Presiden Emeritus dan pengasas RRG, Ustaz Ali sudah banyak berjasa untuk keharmonian agama di Singapura.



"Ustaz Ali pernah berkhidmat sebagai presiden Pertapis selama dua penggal. Pemergian beliau akan amat terkesan oleh semua warga Singapura."




BIODATA USTAZ ALI MOHAMED



KELULUSAN:



  •  Madrasah Aljunied Al-Islamiah (Lulusan tahun 1969)

ANUGERAH:



  •  Pingat Bakti Masyarakat (2001)

  •  Pingat Bintang Masyarakat (2010)

  •  Pingat Jasa Gemilang (2018)

  •  Anugerah Darjah Kinabalu (2002)

  •  Anugerah Jasa Bakti Muis (2000)

  •  Anugerah SG50 Muis (2015)

  •  Anugerah Jasa Cemerlang Muis (2017)

  •  Anugerah Jauhari Berita Harian (2014, RRG)

  •  Anugerah Hari Kebangsaan Kementerian Ehwal Dalam Negeri (2010, RRG)

KEPIMPINAN PERTUBUHAN



  •  Presiden, Persatuan Taman Pengajian Islam Singapura, Pertapis (1975 - 1985)

  •  Presiden, Persatuan Ulama dan Guru-Guru Agama Islam Singapura, Pergas (1985 - 1993)

  •  Pengerusi, Lembaga Pengurusan Masjid Khadijah (1993 - 2022)

  •  Anggota, Majlis Muis (2005 - 2018)

  •  Anggota, Lembaga Rayuan Muis (1997 - 2005)

  •  Anggota, Jawatankuasa Fatwa Muis (2005 - 2022)

  •  Pengerusi Lembaga Pengiktirafan Asatizah (ARB) (2005 - 2022)

  •  Anggota, Lembaga Pengarah Pergas Investment Holdings (PIH)

  •  Anggota, Masyaikh Pergas

  •  Pengerusi Bersama Kumpulan Pemulihan Keagamaan (RRG) (2003 - 2022)




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >