Subuh
5:35
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:26
Maghrib
7:07
Isyak
8:20
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

PARLIMEN

Pemerintah boleh pinjam $90b bagi projek prasarana: Rang undang-undang baru

Apr 06, 2021 | 05:30 AM



SATU rang undang-undang baru diperkenalkan di Parlimen semalam bagi membolehkan Pemerintah membiayai projek prasarana jangka panjang yang utama menerusi peminjaman.



Akta Pinjaman Pemerintah Bagi Prasarana Penting (Singa) akan membolehkan pemerintah meminjam sehingga $90 bilion untuk membiayai prasarana yang akan bertahan sekurang-kurangnya 50 tahun.



Prasarana utama termasuk laluan MRT yang baru.



Rang undang-undang baru itu diperkenalkan di Parlimen semalam oleh Timbalan Perdana Menteri Heng Swee Keat, yang juga Menteri Kewangan.



"Singa akan membolehkan pemerintah untuk membuat pinjaman bagi membiayai prasarana nasional yang penting bagi pembangunan jangka panjang kami.



"Kami sedang membuat pelaburan yang besar dalam tahun-tahun akan datang, seperti Laluan MRT Rentas Pulau dan Daerah Jurong, serta Sistem Pembetungan Terowong Dalam," ujar Encik Heng dalam satu kiriman di Facebook, selepas membentangkan rang itu di Parlimen.



Peminjaman bagi prasarana seperti ini akan membantu untuk membahagikan perbelanjaan itu antara generasi yang akan meraih manfaat daripada prasarana tersebut, kata Encik Heng.



"Ini lebih adil dari generasi ke generasi," tambahnya.



Penguasa Kewangan Singapura (MAS) bertujuan mengeluarkan bon di bawah Singa sebagai kategori baru Sekuriti Pemerintah Singapura (SGS), yang dinamakan SGS (Prasarana). MAS menjangkakan pengeluaran pertama SGS (Prasarana) pada suku keempat tahun ini.



Dalam kenyataan Belanjawannya Februari lalu, Encik Heng menimbulkan idea bagi peminjaman untuk membiayai projek seperti laluan MRT.



Beliau juga berkata akan ada langkah perlindungan bagi memastikan wang yang dipinjam itu digunakan secara mampan dan bertanggungjawab.



Semalam, Kementerian Kewangan (MOF) berkata terdapat dua langkah perlindungan utama - dari segi jenis projek yang layak di bawah akta itu, serta jumlah pinjaman yang boleh dikumpul.



Antara projek yang layak bagi pembiayaan tersebut adalah "prasarana yang penting dari segi nasional".



Ini merujuk kepada prasarana yang menyokong produktiviti nasional atau kemampanan ekonomi, sekitaran atau sosial.



Contoh prasarana ini termasuk lebuh raya utama, struktur untuk merawat air, serta struktur untuk mengurangkan risiko daripada ancaman paras laut yang meningkat.



Prasarana ini perlu bertahan sekurang-kurangnya 50 tahun untuk dimanfaatkan pelbagai generasi.



Ia juga harus dimiliki atau dikawal oleh pemerintah, atau dikawal bagi pihak pemerintah.



Projek itu juga harus menelan belanja sekurang-kurangnya $4 bilion.



Selain itu, pemerintah hanya boleh mengumpul pinjaman hingga $90 bilion, untuk mengurangkan kos yang terlalu membebankan bagi generasi masa depan.



Angka ini dikira berdasarkan perbelanjaan yang dijangka bagi prasarana yang penting dari segi nasional bagi 15 tahun akan datang.



Semalam, Parlimen turut meluluskan usulan untuk menyumbang AS$20.57 juta ($27.69 juta) kepada usaha antarabangsa untuk membantu negara berpendapatan rendah mengatasi kesan ekonomi dek pandemik Covid-19.



Sumbangan itu akan membantu Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) membiayai kenaikan permintaan bantuan kewangan.



MAS berkata sebelum ini geran itu akan membantu dalam tiga inisiatif.



Ini termasuk Dana Amanah Pengawalan dan Bantuan Bencana (CCRT), Inisiatif Pembangunan Keupayaan Krisis Covid-19 (CCCDI) dan Dana Amanah untuk Pengurangan Kemiskinan Khas dan Operasi Pertumbuhan untuk Negara-negara Miskin yang Berhutang Besar (PRG-HIPC).



Menteri Pengangkutan Ong Ye Kung, yang juga merupakan anggota lembaga Penguasa Kewangan Singapura (MAS), membentangkan tiga usulan berasingan bagi tiga inisiatif tersebut, yang diluluskan Parlimen.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >