Subuh
5:34
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:26
Maghrib
7:07
Isyak
8:21
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Pakar: Pembantu rumah perlu belajar agama daripada sumber bertauliah

Sep 24, 2019 | 05:30 AM



PAKAR antipengganasan dan asatizah mengusulkan lebih banyak wadah disediakan bagi pembantu rumah Islam mempelajari agama daripada sumber yang bertauliah di Singapura untuk melindungi mereka daripada ancaman fahaman radikal.



Sedang beberapa masjid setempat sudah pun mempunyai usaha mendekati golongan itu, majikan juga digesa memberi masa cuti dan menggalakkan pekerja mereka untuk menghadiri sesi tersebut.



Sementara itu, majikan turut dinasihati agar berwaspada tentang perubahan sikap pekerja mereka, dan merujuk kepada Kumpulan Pemulihan Keagamaan (RRG) jika pekerja itu menunjukkan tanda-tanda dipengaruhi ideologi pelampau.



Demikian reaksi beberapa pakar menyusuli penahanan tiga warga Indonesia yang radikal di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) baru-baru ini.



Mereka bertiga menjadi radikal pada 2018 apabila mereka melihat bahan dalam talian berkaitan kumpulan pengganas ISIS, menurut kenyataan Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) semalam.



Ketiga-tiganya telah bekerja di Singapura antara enam tahun dan 13 tahun.



Naib Pengerusi RRG, Ustaz Dr Mohamed Ali, berkata perkembangan itu menunjukkan ancaman ideologi ISIS masih mampu menarik sesetengah anggota masyarakat dalam talian, meskipun kumpulan pengganas itu telah kehilangan kuasa wilayah mereka di Iraq dan Syria.



"Penahanan pembantu rumah ini membimbangkan kerana mereka boleh dianggap sebahagian daripada keluarga, dan ini boleh menjejas kesejahteraan keluarga itu.



"Jika kita tidak sedar tentang indoktrinasi mereka, anak-anak kita yang dijaga pembantu ini pun boleh terjebak.



"Oleh itu, majikan berhak dan perlu sedar kegiatan pekerja mereka dalam talian, termasuk siapa rakan mereka dan kepada siapa mereka hantar wang," ujar Ustaz Dr Mohamed.



Seorang lagi anggota RRG, Ustazah Kalthom Isa, berkata RRG akan sentiasa bekerja keras untuk membimbing masyarakat setempat mahupun pekerja asing yang bekerja di Singapura, tetapi majikan juga boleh memainkan peranan mereka.



"Selain daripada peka terhadap tanda-tanda atau ciri-ciri seseorang yang radikal, dan membuat laporan dengan secepat mungkin, majikan harus menasihati pembantu rumah cara atau tempat untuk memperolehi maklumat yang boleh dipercayai terutama sekali mengenai isu agama.



"Semua pihak harus bekerjasama untuk menubuhkan sinergi yang kukuh dalam mendidik pembantu rumah," kata Ustazah Kalthom.



Beberapa masjid setempat menganjurkan kegiatan untuk pembantu rumah termasuk Masjid Mujahidin di Queenstown, Masjid Wak Tanjong di Paya Lebar, dan Masjid Sultan di Kampong Gelam.



Majikan juga boleh memberi mereka masa cuti untuk menghadiri sesi ceramah atau bengkel yang membicarakan isu ideologi pengganasan, kata Zamil Penyelidikan Bersekutu Sekolah Pengajian Antarabangsa S. Rajaratnam (RSIS) di Universiti Teknologi Nanyang (NTU), Ustaz Mustazah Bahari.



"Pertubuhan Islam seperti masjid disarankan bekerjasama dengan RRG atau MHA untuk mengadakan ceramah seperti itu dengan lebih banyak lagi, seperti yang mereka lakukan bersama pekerja asing di beberapa asrama sebelum ini," ujarnya.



Selain mengadakan kelas di masjid, masyarakat boleh mempertimbangkan wadah dalam talian yang boleh menarik perhatian pembantu rumah dan menyebarkan mesej sebenar tentang keamanan dalam Islam, kata seorang lagi penyelidik RSIS, Encik Muhammad Faizal Abdul Rahman.



"Usaha dalam talian harus menerapkan pendidikan celik digital, dan cara selamat menerima maklumat dan menjalin persahabatan dalam talian," kata beliau, yang merupakan Zamil Penyelidikan di Pusat Kecemerlangan bagi Keselamatan Negara (CENS) di RSIS.



Pada masa yang sama, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Human Connection Sg, Ustaz Dr Leyaket Ali Mohamed Omar, mengingatkan sesiapa sahaja boleh terjebak dalam fahaman radikal jika mereka tidak berhati-hati.



"Bagi golongan pembantu, mereka mungkin tidak boleh keluar atau tidak tahu tempat untuk dapatkan nasihat. Oleh itu, mereka bergantung kepada sumber dalam bahasa yang mereka selesa, dan kepada orang yang sama budaya dengan mereka.



"Dalam kes ini, mereka mengalih perhatian ke Internet untuk mendapatkan maklumat mengenai agama atau berkawan. Di situlah timbul masalah apabila mereka bawa masuk isu politik asing ke Singapura, membincangkannya dan berpihak kepada pertubuhan tertentu," ujar Ustaz Leyaket Ali.



Ustaz Mustazah berkata majikan yang mengesyaki pembantu rumah mereka terjebak dalam fahaman radikal juga boleh cuba untuk 'membuka bicara secara santai'.



"Tetapi jangan bangkitkan kemarahan atau bersifat menghukum. Kalau betul dia ada ideologi yang menyimpang itu, majikan boleh bantu perbetulkan ideologi itu kalau dia mampu.



"Kalau tak mampu, rujuk kepada RRG dahulu. Jika keadaan mendesak, maka hubungilah pihak berkuasa seperti MHA," ujar Ustaz Mustazah.




''Penahanan pembantu rumah ini membimbangkan kerana mereka boleh dianggap sebahagian daripada keluarga, dan ini boleh menjejas kesejahteraan keluarga itu. Jika kita tidak sedar tentang indoktrinasi mereka, anak-anak kita yang dijaga pembantu ini pun boleh terjebak. Oleh itu, majikan berhak dan perlu sedar kegiatan pekerja mereka dalam talian, termasuk siapa rakan mereka dan kepada siapa mereka hantar wang.''
- Naib Pengerusi RRG, Ustaz Dr Mohamed Ali.



''Selain daripada peka terhadap tanda-tanda atau ciri-ciri seseorang yang radikal, dan membuat laporan dengan secepat mungkin, majikan harus menasihati pembantu rumah cara atau tempat untuk memperolehi maklumat yang boleh dipercayai terutama sekali mengenai isu agama.''
- Anggota RRG, Ustazah Kalthom Isa.



''Usaha dalam talian harus menerapkan pendidikan celik digital, dan cara selamat menerima maklumat dan menjalin persahabatan dalam talian.''
- Encik Muhammad Faizal Abdul Rahman, Zamil Penyelidikan di Pusat Kecemerlangan bagi Keselamatan Negara (CENS) di RSIS.



''Pertubuhan Islam seperti masjid disarankan bekerjasama dengan RRG atau MHA untuk mengadakan ceramah seperti itu (ideologi pengganasan) dengan lebih banyak lagi, seperti yang mereka lakukan bersama pekerja asing di beberapa asrama sebelum ini.''
- Ustaz Mustazah Bahari, Zamil Penyelidikan Bersekutu di RSIS.



''Bagi golongan pembantu, mereka mungkin tidak boleh keluar atau tidak tahu tempat untuk dapatkan nasihat. Oleh itu, mereka bergantung kepada sumber dalam bahasa yang mereka selesa, dan kepada orang yang sama budaya dengan mereka. Dalam kes ini, mereka mengalih perhatian ke Internet untuk mendapatkan maklumat mengenai agama atau berkawan. Di situlah timbul masalah apabila mereka bawa masuk isu politik asing ke Singapura, membincangkannya dan berpihak kepada pertubuhan tertentu.''
- Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Human Connection Sg, Ustaz Dr Leyaket Ali Mohamed Omar.




SALURAN BANTUAN



ORANG ramai digesa melaporkan kepada pihak berkuasa jika mengenali sesiapa yang menunjukkan tanda-tanda radikalisasi.



- Hubungi Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (ISD) di 1800-2626-473.



- Orang ramai juga boleh menghubungi Muis menerusi talian 6359-1199 atau Kumpulan Pemulihan Keagamaan (RRG) menerusi talian 1800-774-7747 sekiranya mempunyai sebarang pertanyaan tentang agama.



- Mereka juga boleh sertai sesi bimbingan bersama Rangkaian Belia Asatizah (AYN) di Masjid Al-Falah di Orchard Road.



Buat janji temu menerusi talian 6235-3172.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >