Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:14
Maghrib
7:15
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

PERSIDANGAN ANTARABANGSA MASYARAKAT GEMILANG 2022 (ICCOS)

Mufti: Identiti, kesetiaan pada agama, negara tidak perlu bercanggah

Sep 10, 2022 | 05:30 AM



IDENTITI dan kesetiaan kepada agama dan negara tidak perlu bercanggah, kata Mufti Dr Nazirudin Mohd Nasir.



Ini walaupun idea bahawa undang-undang agama tidak boleh diselaraskan dengan dunia moden menjadi satu cabaran semakin besar hari ini, sedang jurang antara norma dan nilai agama dengan negara sekular liberal kian meluas, tambah beliau.



Berucap di Persidangan Antarabangsa Masyarakat Gemilang (ICCOS) di Pusat Konvensyen Raffles City semalam, Dr Nazirudin berkata di Singapura, seseorang itu boleh menjadi Muslim yang baik dan rakyat Singapura yang baik.



Malah, jangkaan bahawa tidak harus ada keperluan untuk menyesuaikan diri, atau berkompromi adalah tidak munasabah dan tidak realistik.



"Jika seseorang tidak cuba untuk merapatkan jurang, kita akan berakhir dengan masyarakat yang menarik diri dan tidak mengambil bahagian sepenuhnya, kerana anda ada, di satu pihak, 'identiti Islam', dan di sisi lain, alam "bukan Islam".



"Menarik diri bermakna kita hanya prihatin tentang melindungi agama kita sendiri, dan menuntut hak agama kita mesti dipenuhi pada setiap masa sebagai rakyat.



"Walau bagaimanapun, jika kita mengamalkan pembacaan tradisi dan ajaran agama kita dengan teliti, kita mendapati bahawa aspek kehidupan moden ini bukanlah sesuatu yang dibenci agama kita," kata beliau.



Dr Nazirudin memberi contoh apabila Nabi Muhammad saw meminta para sahabat berhijrah ke Habsyah pada awal Islam untuk mencari kehidupan aman dan selamat di bawah perlindungan Raja Negus yang beragama Kristian.



Baginda telah berunding agar umat Islam dapat membuat perjalanan selamat ke Makkah di Hudaibiyah dengan membuat beberapa kompromi, sedang beliau mempertimbang dengan teliti perspektif orang bukan Islam mengenai syarat perundingan itu.



Dr Nazirudin berkata cara menyelesaikan ketegangan dan mendamaikan perbezaan serta menjalin jalan bersama akan menentukan sama ada masyarakat pada akhirnya boleh berusaha ke arah membina masyarakat yang berjaya.



Beliau menambah bahawa contoh Nabi itu adalah konsisten dengan bagaimana Al-Quran menetapkan hubungan bersama dan simbiotik antara masyarakat dengan negara.



"Kejayaan bergantung pada tahap kepercayaan, keyakinan dan sokongan antara kedua-duanya. Apabila negara menawarkan rakyatnya ruang yang selamat untuk hidup dan amalkan kepercayaan mereka, maka kita mesti berbuat baik dan bertindak secara terhormat dan adil," kata beliau.



Meskipun Singapura sebuah negara sekular, masyarakat agama di sini bebas berpegang teguh kepada kepercayaan dan amalan mereka selagi kebaikan bersama tidak terjejas dan agama tidak dipolitikkan.



Pendekatan ini, kata Dr Nazirudin, memberi keyakinan bahawa rakyat boleh berkembang maju di Singapura dan menyumbang kepada kemakmuran dan kemajuan negara - sesuatu yang juga dituntut dalam agama Islam.



Dengan lebih banyak cabaran rumit dan dunia memasuki fasa baru ketidakpastian geopolitik dan ekonomi, beliau berkata Islam mempunyai peranan penting dalam detik bersejarah itu dalam menangani cabaran sejagat.



"Namun, ini memerlukan kita, orang Islam, mempunyai keberanian dan kejujuran untuk bercakap tentang kekuatan dan kelemahan kita, jurang dan titik buta kita.



"Kejayaan hanya akan mengalir daripada keyakinan dalam identiti kita sendiri, dengan bersikap tulen, selesa dengan diri sendiri, dan bersedia untuk melibatkan diri dengan konteks sosio-politik dan realiti kita mengikut istilahnya sendiri," kata beliau.




"Persidangan Antarabangsa Masyarakat Gemilang (ICCOS) pada asasnya bertujuan membentangkan dan membincangkan naratif positif dan ciri-ciri masyarakat berjaya serta bentuk kehidupan sosioagama yang diingini, dan bagaimana masyarakat Muslim boleh melihat kepada tradisi Muslim sebagai panduan untuk menjalani kehidupan yang berkembang maju dan berjaya sebagai warga negara yang boleh dicontohi.

... Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk menekankan lagi bahawa Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) kekal komited kepada mendekati rakan dan pihak berkepentingan kami secara aktif untuk bersama-sama, supaya kita boleh secara kolektif merealisasikan visi ini untuk menjadi Masyarakat Gemilang. Marilah kita gunakan ICCOS untuk bertukar idea, belajar daripada satu sama lain, dan membina bidang ilmu supaya kita boleh menjadi masyarakat dan rakyat yang berjaya."

- Ketua Eksekutif Muis, Encik Kadir Maideen.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >