Subuh
5:37
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

PENANGKAPAN ISA

'Mereka yang ada agenda keganasan harus dibantu program pemulihan sewajarnya'

Asatizah, pengamat akur program pemulihan S'pura terbukti berkesan - berdasar jumlah mereka tunjuk pemulihan baik, dibenar akhiri tempoh RO
Dec 10, 2020 | 05:30 AM



KEGANASAN tiada tempat di Singapura dan mereka yang mempunyai agenda menggunakan keganasan baik di dalam mahupun di luar negara harus dibantu melalui program pemulihan yang sewajarnya, kata asatizah dan pengamat setempat.



Malah menurut mereka, program pemulihan Singapura terbukti berkesan, lebih- lebih lagi dengan jumlah mereka yang dikenakan Arahan Sekatan (RO) yang telah menunjukkan kemajuan dalam proses pemulihan mereka dan arahan itu dibenarkan berakhir serta jumlah tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang dibebaskan dan dikenakan RO pula.



Naib Pengerusi Kumpulan Pemulihan Keagamaan (RRG), Ustaz Dr Mohamed Ali, berkata ISA telah digunakan dengan pertimbangan dan usaha yang wajar.



"Keberkesanan ISA sebagai langkah campur tangan awal telah mengelakkan ramai daripada terjerumus ke arah laluan radikal," ujarnya.



Tambahnya, sebarang kompromi tidak boleh diterima kerana keganasan itu melanggar hak asasi manusia untuk rasa selamat dan melindungi kesucian hidup manusia.



Ustaz Dr Mohamed, yang juga Penolong Profesor di Sekolah Pengajian Antarabangsa S. Rajaratnam (RSIS), Universiti Teknologi Nanyang (NTU), berkata demikian semasa mengulas tentang penahanan seorang lelaki warga Singapura berusia 48 tahun, Sheik Heikel Khalid Bafana, di bawah ISA pada Mac 2019 kerana terlibat secara aktif dalam perang saudara di Yaman.



Zamil Penyelidik Bersekutu di RSIS, Ustaz Remy Mahzam, berkata penglibatan warga Singapura dalam konflik militan di luar negara bukanlah satu perkara yang baru.



Menurutnya, empat warga Singapura ditahan di bawah ISA kerana bergabung dengan kumpulan militan bersenjata di Yaman pada 2016.



Sejak dua tahun lalu, lapan individu turut ditahan atas penglibatan mereka dalam keganasan dan tiga daripada mereka dipengaruhi retorik pengganas serta menimbulkan hasrat mahu mengambil bahagian dalam zon konflik bersenjata di Timur Tengah.



Beberapa orang Singapura yang radikal juga telah ke Syria untuk mengambil bahagian dalam konflik di sana.



"Penangkapan baru-baru ini secara tidak langsung membuktikan bahawa ideologi ekstremis dan pengganas masih berkembang luas di rantau ini dan menghantui rakyat kita.



"Usaha menjaga keselamatan negara perlu terus dipertingkat," kata Ustaz Remy.



Ustaz Dr Mohamed turut menarik perhatian perlunya sesiapa yang mempunyai agenda menggunakan keganasan dibantu dan diberi peluang untuk merenung, belajar dan memahami mengapa keganasan tidak boleh digunakan untuk mencapai matlamat mereka.



Individu yang ditahan di Singapura boleh meraih manfaat daripada program berstruktur seperti program pemulihan RRG yang bertujuan memberi sokongan kepada mereka dan keluarga mereka.



Kaunselor RRG, Ustazah Kalthom Isa, berkata model pemulihan di Singapura menggunakan pendekatan sokongan padu keluarga, isteri dan anak-anak.



"Ramai yang sudah pulang ke pangkuan keluarga dan individu bentan sangatlah kurang.



"Individu ini juga dijaga maslahat mereka dan tidak didedahkan identiti masing-masing agar mereka mudah dapat diterima masyarakat," ujarnya.



Bagi Zamil Penyelidik Bersekutu di RSIS, Ustaz Mustazah Bahari, sama seperti mengekang virus, langkah menangani hal ini perlu dilakukan di peringkat awal supaya 'jangkitan' ideologi pengganasan tidak merebak lebih jauh dan meluas.



Ustaz Remy turut menarik perhatian kajian yang menunjukkan bahawa tempoh di antara bermulanya seseorang menjadi radikal dengan pengaruh yang menyebabkan seseorang itu melibatkan dirinya dalam kegiatan keganasan cukup singkat.



"Tindakan awal membolehkan pihak berkuasa menyiasat dan campur tangan lebih awal untuk mengatasi radikalisasi, sebelum individu tersebut membahayakan atau mencederakan seseorang," ujarnya.



Menurut kenyataan Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (ISD) semalam, tiga warga Singapura yang sebelum ini ditahan di bawah ISA bagi penglibatan dalam kegiatan berkaitan pengganasan telah dibebaskan dan kini diletakkan di bawah RO.



Sementara itu, RO yang dikenakan terhadap lima warga Singapura yang lain dibenarkan berakhir setelah mereka menunjukkan kemajuan baik dalam pemulihan masing-masing.



Menurut Ustaz Dr Mohamed, ini jelas menunjukkan bahawa program pemulihan bagi tahanan ISA di Singapura berdaya maju dan oleh itu, pemulihan yang sesuai boleh membantu membimbing tahanan menjadi rakyat yang bertanggungjawab.



Bersetuju bahawa model pemulihan yang digunakan di sini berkesan, Ustaz Mustazah bagaimanapun berkata ia memakan masa yang agak lama.



"Model yang sedia ada juga perlu disemak untuk menghadapi cabaran baru pada masa akan datang," ujar beliau.



Sementara itu, Ustaz Remy pula berkata Singapura berpotensi dijadikan sebagai negara contoh kepada negara lain dalam mengekang keganasan.



"Kita mempunyai model pemulihan yang membanggakan, di mana setiap yang bersalah perlu dihukum dan pada masa yang sama diberikan peluang kedua untuk menyedari kesilapan mereka.



"Setiap perbuatan keganasan yang dilakukan atas nama Islam akan menjejas teruk semua orang Islam dan oleh itu perlu adanya usaha memperbetul segala salah faham tentang Islam sebagai satu agama yang cintakan kedamaian," katanya.




"Keberkesanan ISA sebagai langkah campur tangan awal telah mengelakkan ramai daripada terjerumus ke arah laluan radikal."
- Naib Pengerusi RRG, Ustaz Dr Mohamed Ali.



"Penangkapan baru-baru ini secara tidak langsung membuktikan bahawa ideologi ekstremis dan pengganas masih berkembang luas di rantau ini dan menghantui rakyat kita. Usaha menjaga keselamatan negara perlu terus dipertingkat... Tindakan awal membolehkan pihak berkuasa menyiasat dan campur tangan lebih awal untuk mengatasi radikalisasi, sebelum individu tersebut membahayakan atau mencederakan seseorang."
- Zamil Penyelidik Bersekutu di RSIS, Ustaz Remy Mahzam.




Sila ke pautan ini untuk ikuti video ulasan Naib Pengerusi RRG, Ustaz Dr Mohamed Ali, di Facebook BH: https://bit.ly/3qGh6Vf




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >