LELAKI Singapura yang ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kerana terlibat secara aktif dalam peperangan saudara di Yaman, telah mengumpul risikan mengenai negara itu bagi sebuah kuasa asing dari sekitar 2012 hingga 2018.
Sheik Heikel Khalid Bafana, 48 tahun, telah "dibayar jumlah yang besar" bagi maklumat tersebut, menurut satu kenyataan Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (ISD) semalam.
"Urusannya dengan kuasa asing itu adalah bersifat rahsia," kata ISD.
BERHIJRAH KE YAMAN PADA 2008
Berita Harian difahamkan Heikel merupakan seorang bekas peguam yang pernah berniaga restoran di kawasan Kampong Gelam beberapa tahun lalu.
Dalam kenyataannya semalam, ISD berkata Heikel telah berhijrah ke Yaman bersama keluarganya sekitar 2008.
Di sana, dia mengendali sebuah syarikat perundingan yang menasihati syarikat asing tentang risiko keselamatan dan peluang perniagaan.
"Semasa berada di sana, dia membantu satu puak dalam peperangan saudara itu, serta menawarkan diri untuk berjuang bersama puak itu.
"Dia juga bertindak sebagai orang tengah antara puak itu dan sebuah kuasa asing, untuk mendapatkan peralatan tentera, bekalan dan dana bagi mengadakan latihan tentera," kata ISD.
Kenyataan tersebut tidak menyebut kuasa asing mahupun puak yang telah melibatkan warga Singapura itu.
Secara berasingan, pada sekitar 2012 hingga 2018, Heikel mengumpul risikan mengenai Yaman bagi kuasa asing itu, dan dia telah "dibayar jumlah yang besar" bagi maklumat tersebut, kata ISD.
Pada 2011, setelah situasi keselamatan menjadi lebih teruk, Heikel kekal di Yaman meskipun warga Singapura lain telah berpindah keluar.
Heikel dan keluarganya kemudian kembali ke Singapura pada 5 Februari 2019 sebelum dia kemudian diberkas di bawah ISA pada Mac 2019.
Anggota keluarganya tidak terbabit dalam kegiatannya di Yaman, kata ISD.
PENDIRIAN TEGAS SINGAPURA TERHADAP KEGANASAN BERSENJATA
Kes Heikel tidak didedahkan lebih awal kerana siasatan terhadap kegiatannya di Yaman adalah rumit, dan pendedahan awal akan menjejas siasatan yang dijalankan, menurut kenyataan ISD itu lagi.
"ISD menguar-uarkan kesnya sekarang untuk menarik perhatian pendirian tegas Singapura terhadap sesiapa yang menyokong, mempromosi, melibatkan diri atau membuat persediaan menyertai keganasan bersenjata.
"Tidak kira bagaimana mereka memberi rasional bagi keganasan itu secara ideologi, atau di mana keganasan itu berlaku, orang itu telah memaparkan kecenderungan yang bahaya untuk menyokong penggunaan keganasan.
"Heikel memburukkannya lagi dengan memenuhi kepentingan sebuah kuasa asing bagi meraih manfaat kewangan," kata ISD.
Dengan melibatkan dirinya dalam konflik bersenjata asing dan bekerja sebagai ejen berbayar bagi sebuah kuasa asing, Heikel telah bertindak "dengan cara yang menjejas keselamatan dan kepentingan Singapura", menurut kenyataan itu lagi.
WARGA BANGLADESH RADIKAL DITAHAN
ISD semalam turut mengumumkan seorang warga Bangladesh, Ahmed Faysal, 26 tahun, telah diberkas di bawah ISA pada November 2020, dan dikenakan Perintah Tahanan untuk membantu dalam siasatan bagi kegiatannya yang berkaitan pengganasan.
DIBEBASKAN DARIPADA TAHANAN
Sementara itu, tiga warga Singapura yang sebelum ini ditahan di bawah ISA kerana terlibat dalam kegiatan berkaitan pengganasan telah dibebaskan dan diletakkan di bawah arahan sekatan (RO).
Mereka menunjukkan kemajuan baik dalam pemulihan, dan dinilai tidak lagi memberi ancaman keselamatan yang memerlukan penahanan sebagai pencegahan, kata ISD.
Mereka ialah:
Pada April 2016, dia ditahan semula sedang siasatan menunjukkan dia kembali berpegang kepada kepercayaan bahawa perjuangan militan adalah "cara paling mudah untuk mati syahid", dan berniat berjuang bersama ISIS dan kumpulan militan lain di Syria. Dia dibebaskan dengan RO pada April tahun ini.
Husaini telah melarikan diri dari Singapura sedang pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap rangkaian JI pada Disember 2001.
Semasa melarikan diri, dia terlibat dalam komplot untuk merampas pesawat dan menghempaskannya ke Lapangan Terbang Changi pada Januari 2002. Husaini dibebaskan dengan RO pada Jun lalu.
PERINTAH SEKATAN DIBENARKAN LUPUT
Dalam pada itu, perintah sekatan bagi lima warga Singapura yang lain telah dibenarkan luput setelah mereka menunjukkan kemajuan baik dalam pemulihan.
Mereka ialah:
Dia telah melarikan diri keluar dari Singapura pada Disember 2001, dan terlibat dalam komplot untuk merampas pesawat dan menghempaskannya ke Lapangan Terbang Changi pada 2002. Perintah sekatannya dibenarkan luput pada Oktober lalu.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg