Subuh
5:34
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:26
Maghrib
7:07
Isyak
8:21
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

LANGKAH TERKINI PENYEJUKAN PASARAN HARTANAH

Langkah 'sejukkan pasaran' akan stabilkan harga, beri kesan harga flat lebih besar: Pengamat

Oct 01, 2022 | 05:30 AM



LANGKAH penyejukan pasaran rumah terkini akan membantu menyederhanakan permintaan dan menstabilkan harga, dengan pembeli rumah kini terpaksa lebih berhemat dengan pembelian mereka dan kumpulan utama yang mendorong pasaran jualan semula - iaitu pemilik kediaman privet yang membeli flat Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) tanpa subsidi - kini perlu menghadapi tempoh menunggu selama 15 bulan.



Penganalisis hartanah berkata kesan langkah-langkah ini sudah pun dirasai dalam jangka pendek.



Kelmarin, Penguasa Kewangan Singapura (MAS), Kementerian Pembangunan Negara (MND) dan HDB dalam satu kenyataan bersama mengumumkan beberapa langkah berkuat kuasa mulai semalam demi memastikan pembeli rumah membuat pinjaman mengikut kemampuan dan menyederhanakan permintaan dalam pasaran hartanah.



Ini termasuk menurunkan had pinjaman kepada nilai hartanah (LTV) bagi pinjaman rumah HDB daripada 85 peratus kepada 80 peratus, dan memperkenal tempoh menunggu selama 15 bulan bagi pemilik semasa dan bekas pemilik hartanah kediaman privet untuk membeli flat jualan semula HDB tanpa subsidi.



Kadar faedah lantai 3 peratus setahun untuk mengira jumlah pinjaman rumah HDB yang layak juga diperkenal, dan kadar faedah lantai jangka pertengahan yang digunakan untuk mengira Nisbah Bayaran Pinjaman Hutang (TDSR) dan nisbah khidmat pinjaman perumahan (MSR) pula dinaikkan sebanyak 0.5 peratusan mata bagi pinjaman rumah daripada institusi kewangan.



Naib presiden kanan penyelidikan dan analitik di OrangeTee & Tie, Cik Christine Sun, berkata tempoh menunggu 15 bulan itu mungkin menyejukkan pasaran buat seketika dan memperlahan kadar kenaikan harga bagi flat lebih besar setakat tertentu dan memberikan pasangan muda peluang lebih baik mendapatkan unit tersebut dengan kurang persaingan.



Beliau menambah bahawa permintaan bagi flat lebih besar, seperti lima bilik atau eksekutif, dan flat sejuta dolar sebahagian besarnya mungkin dibeli pemilik rumah privet atau mereka yang mampu membayar harga tinggi bagi flat tersebut, sekali gus menaikkan harga flat yang akan menjejas indeks harga keseluruhan bagi semua flat jualan semula.



"Pertumbuhan harga keseluruhan mungkin menjadi sederhana, yang juga akan membantu pembeli kali pertama mempunyai peluang lebih baik membeli flat jualan semula jika mereka tidak boleh menunggu tempoh siap bina lama bagi sesetengah flat BTO," katanya.



Ketua penyelidikan di Knight Frank Singapore, Encik Leonard Tay, bagaimanapun, berpendapat bahawa tempoh menunggu 15 bulan itu boleh meningkatkan permintaan dalam pasaran sewa.



Beliau berkata pemilik kediaman privet kini perlu mencari penginapan alternatif sebelum dapat membeli flat jualan semula HDB tanpa subsidi, dengan golongan ini mungkin menyewa rumah atau tinggal bersama saudara-mara atau rakan.



"Bagi mereka yang mungkin tiada pilihan selain menyewa, ini akan mendorong lebih banyak permintaan dalam pasaran sewa dan memberikan tekanan lebih tinggi pada nilai sewa (dalam kedua-dua pasaran privet dan HDB) yang telah meningkat secara ketara sepanjang 2022," katanya.



Encik Tay menarik perhatian bahawa Indeks Sewa URA bagi Rumah Kediaman Privet sudah pun meningkat 11.2 peratus dalam enam bulan pertama tahun ini, dengan kenaikan lanjut tidak mungkin berkurangan pada bila-bila masa tahun ini dan awal tahun depan.



Berhubung kadar faedah yang lebih tinggi dalam menilai keupayaan bayaran balik peminjam, para penganalisis berkata ia satu langkah yang dijangkakan, memandangkan sekitaran kadar faedah yang meningkat dan keprihatinan inflasi sejagat.



Pengarah penyelidikan kanan Huttons Asia, Encik Lee Sze Teck, berkata kenaikan 0.5 mata peratusan mungkin mencerminkan pandangan MAS pada ketika ini bahawa kadar mungkin memuncak dalam beberapa bulan mendatang dan tidak mendekati kadar lantai jangka pertengahannya sebanyak 4 peratus.



"Ini akan menjejas jumlah maksimum yang boleh dipinjam peminjam. Simulasi Huttons menunjukkan jumlah pinjaman maksimum peminjam akan dikurangkan sebanyak 5.9 peratus.



"Contohnya, sebelum 30 September, pembeli dengan pendapatan kasar bulanan $10,000 dan tempoh pinjaman 30 tahun boleh membeli hartanah pada $1.633 juta. Pada atau selepas 30 September, dia boleh membeli hartanah sehingga $1.536 juta, iaitu 5.9 peratus lebih rendah," katanya.



Pengarah dan ketua penyelidikan firma penyelidikan hartanah Colliers di Singapura, Cik Catherine He, pula berkata langkah tersebut adalah tepat pada masanya dan disesuaikan dengan baik dengan mengambil kira faktor kadar faedah yang naik mendadak dan kos sara hidup lebih tinggi untuk memupuk disiplin dan mengelakkan pembeli daripada mendapatkan pinjaman berlebihan.



"Ini juga bertujuan melindungi orang awam yang mungkin tidak menyedari bahawa tempoh kadar faedah lebih tinggi akan datang akan sangat berbeza daripada tempoh lama kadar faedah rendah yang dinikmati dari 2013 hingga 2021, dan yang akan mempunyai kesan besar terhadap kewangan mereka sekiranya mereka berlebih-lebihan dalam pinjaman rumah," katanya.




LANGKAH DILAKSANAKAN MULAI 30 SEPTEMBER



Kadar faedah lantai 3% setahun untuk kira jumlah pinjaman rumah HDB yang layak diperkenal



  • Tiada perubahan pada kadar faedah sebenar dikenakan bagi pinjaman rumah HDB, yang akan kekal pada 2.6% sehingga 31 Disember 2022

  • Bagi peminjam yang ambil pinjaman rumah daripada institusi kewangan, kadar faedah lantai jangka pertengahan yang diguna untuk kira TDSR dan MSR dinaikkan kepada 4%

  • Kadar faedah diguna untuk kira bayaran balik bulanan peminjam akan lebih tinggi sebanyak 4% atau kadar faedah bukan promosi tertinggi dikenakan institusi kewangan

Had LTV bagi pinjaman rumah HDB diturunkan daripada 85% kepada 80%



  • Untuk kurangkan jumlah maksimum boleh dipinjam pembeli daripada HDB dan galak pinjaman lebih berhemat

Tempoh tunggu 15 bulan bagi pemilik hartanah kediaman privet



  • Untuk pastikan flat jualan semula kekal dimampui, terutamanya bagi pembeli kali pertama

  • Tidak dikenakan kepada warga emas berusia 55 tahun dan ke atas yang pindah dari hartanah privet ke flat jualan semula empat bilik atau lebih kecil




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >