Subuh
5:37
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Langkah tepat tingkat perlindungan bagi pegawai keselamatan

Oct 06, 2021 | 05:30 AM



PERLINDUNGAN dipertingkat bagi pegawai keselamatan privet terhadap gangguan dan penganiayaan adalah tepat pada masanya, terutamanya semasa pandemik Covid-19.



Sewaktu pandemik ini, golongan itu memainkan peranan penting dalam menjaga keselamatan dan kesejahteraan orang awam, namun mereka mungkin menghadapi lebih banyak cabaran dalam menangani kelakuan sesetengah individu.



Demikian kata beberapa Anggota Parlimen (AP) yang mengambil bahagian dalam perbahasan Rang Undang-Undang Industri Keselamatan Swasta (Pindaan), yang diluluskan di Parlimen semalam.



Pindaan kepada Akta Industri Keselamatan Swasta itu menetapkan kesalahan baru dan hukuman lebih berat bagi individu yang mengganggu, menganiaya atau mencederakan pegawai keselamatan yang sedang menjalankan tugas mereka.



Para AP rata-rata menyokong pindaan tersebut, namun, beberapa daripada mereka berkata latihan lebih baik diperlukan supaya pegawai tersebut dapat lebih memahami perlindungan tambahan baru itu.



AP gerakan buruh Mohd Fahmi Aliman (GRC Marine Parade) berkata ramai pegawai keselamatan memikul lebih banyak tugas untuk memastikan kesejahteraan orang awam, seperti mengambil suhu dan pemeriksaan SafeEntry, semasa pandemik ini.



Namun begitu, tugas tambahan tersebut juga bermakna interaksi pegawai keselamatan dengan orang ramai semakin meningkat, termasuk mereka yang mungkin berkelakuan tidak masuk akal.



“Pindaan yang meningkatkan perlindungan kepada pegawai keselamatan adalah tepat pada masanya. Walaupun terdapat undang-undang sedia ada untuk melindungi semua daripada gangguan dan penderaan, tiada peruntukan khas sebelum ini khusus untuk pegawai keselamatan,” kata beliau.



Terdapat purata sekitar 150 kes penganiayaan terhadap pegawai keselamatan yang dilaporkan setiap tahun dari 2018 hingga tahun lalu.



Satu tinjauan yang dijalankan Kesatuan Pekerja Keselamatan (Use) dan Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS) tahun lalu pula mendapati empat daripada 10 pegawai mengalami penganiayaan di tempat kerja mereka.



Di bawah pindaan itu, antara lain, individu yang mengganggu pegawai keselamatan boleh dikenakan denda sehingga $5,000 dan dihukum penjara sehingga setahun.



Ini lebih tinggi berbanding hukuman di bawah Akta Perlindungan daripada Gangguan (Poha), di mana gangguan yang disengajakan boleh dikenakan denda sehingga $5,000 dan hukuman penjara sehingga enam bulan.



Anggota Parlimen Dilantik (NMP), Encik Abdul Samad Abdul Wahab, berkata pindaan akta itu adalah sesuatu yang dinantikan ramai pegawai keselamatan yang sentiasa dicabar sewaktu menjalankan pekerjaan mereka.



Beliau menyeru semua pihak menghormati setiap pegawai keselamatan yang menjalankan tugas mereka yang semakin mencabar, lebih-lebih lagi semasa pandemik ini, sambil menambah Use sentiasa bersedia membantu pegawai keselamatan.



“Kepada semua pegawai keselamatan, saya harap akta ini akan membuat anda lebih rasa selamat dalam menjalankan pekerjaan anda,” kata beliau.



NMP Raj Joshua Thomas, yang juga presiden Persatuan Keselamatan Singapura (SAS), pula berkata apa yang penting adalah hukuman bagi kesalahan baru dan hukuman lebih berat yang ditetapkan di bawah akta itu adalah lebih tinggi berbanding apa yang ditetapkan bagi kesalahan serupa di bawah Poha.



“Ini pengiktirafan penting bahawa ia adalah amat salah untuk mengganggu seorang pegawai keselamatan semasa beliau sedang menjalankan tanggungjawabnya kerana peranan yang dimainkan beliau adalah penting bagi fungsi teratur masyarakat,” kata beliau.



Namun begitu, beberapa AP, termasuk Encik Ang Wei Neng (GRC West Coast) dan Encik Fahmi berkata latihan diperlukan untuk memastikan pegawai keselamatan sedar tentang pindaan tersebut dan mengetahui hak mereka.



Cik Sylvia Lim (GRC Aljunied) dari Parti Pekerja (WP) pula menambah bahawa bukan hanya kemahiran mengetahui undang-undang yang diperlukan, malah kemahiran insaniah juga penting supaya pegawai dapat menangani individu yang mencabar, menggunakan bahasa lemah lembut dan sebagainya.



Menjawab soalan tersebut, Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Kemampanan dan Sekitaran), Encik Desmond Tan, berkata dalam mengusulkan pindaan itu, kementerian beliau telah berunding dan bekerja rapat dengan industri dan kesatuan bagi mengadakan kempen awam untuk memperkukuh mesej antipenganiayaan dan akan terus memperluaskan mesej itu.



Mengenai latihan dan peningkatan kemahiran bagi pegawai keselamatan pula, beliau berkata:



“Rakan tiga pihak telah memperkenalkan kursus untuk melatih pegawai keselamatan dalam pengurusan awam, seperti mengenali pelanggan, menyelesaikan masalah dan kemahiran kerjasama, serta mengenal pasti kemahiran relevan untuk memerangi ancaman keselamatan yang berubah, dan termasuk ancaman pengganasan.”




“Hasil kaji selidik yang dijalankan oleh Use yang dikeluarkan pada Mac tahun ini mendapati bahawa dua daripada lima pegawai keselamatan terdedah kepada beberapa bentuk penderaan semasa tempoh kerja mereka. Pindaan yang meningkatkan perlindungan kepada pegawai keselamatan adalah tepat pada masanya. Walaupun terdapat undang-undang sedia ada untuk melindungi semua daripada gangguan dan penderaan, tiada peruntukan khas sebelum ini khusus untuk pegawai keselamatan.”
– Encik Mohd Fahmi Aliman (GRC Marine Parade).



“Industri keselamatan swasta melibatkan sebahagian agak besar masyarakat Melayu kita. Saya amat mengalu-alukan peningkatan langkah untuk melindungi pegawai keselamatan daripada masalah gangguan dan penindasan sewaktu bekerja. Saya juga berharap ia akan menunjukkan kepada masyarakat umum bahawa mereka harus memberi pekerjaan kawalan keselamatan swasta penghormatan dan kedudukan yang sewajarnya. Ini sangat penting dalam menarik bakat yang lebih berkemampuan, dan meningkatkan industri ini.”
– Cik Mariam Jaafar (GRC Sembawang).



“Tanggungjawab mereka telah meningkat dengan peredaran masa. Mereka sedar akan peningkatan tanggungjawab itu dan mereka juga mengharapkan sokongan daripada semua pihak untuk menjalankan tanggungjawab mereka. Saya menyeru pada semua pihak untuk menghormati setiap pegawai keselamatan yang sedang menjalankan pekerjaan mereka yang semakin mencabar, lebih-lebih lagi di waktu pandemik ini.”
– Anggota Parlimen Dilantik (NMP) Abdul Samad Abdul Wahab.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >