Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Langkah sokongan akan imbangi kenaikan belanja dek inflasi

Inflasi beri kesan berbeza kepada warga, maka itu perlu ada langkah sokongan bagi yang memerlukan
Oct 15, 2022 | 5:30 AM
BANTU PESARA: Pakej kali ini bagi membantu golongan pesara yang tidak mempunyai pendapatan dan perlu menanggung kos sara hidup yang tinggi. - Foto fail
BANTU PESARA: Pakej kali ini bagi membantu golongan pesara yang tidak mempunyai pendapatan dan perlu menanggung kos sara hidup yang tinggi. - Foto fail -

SEMUA langkah-langkah sokongan pemerintah yang dilancarkan tahun ini akan "mengimbangi sepenuhnya" kenaikan dalam perbelanjaan akibat inflasi bagi golongan berpendapatan rendah dan pesara, kata Timbalan Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong.

Dalam erti kata lain, isi rumah dengan pendapatan 40 peratus terbawah dilindungi sepenuhnya daripada jangkaan inflasi tahun ini.

Dalam usaha membantu rakyat Singapura menangani inflasi dan kos sara hidup yang semakin meningkat, Encik Wong semalam mengumumkan sebuah pakej bantuan $1.5 bilion baru, dengan golongan berpendapatan rendah hingga pertengahan akan menerima lebih banyak bantuan.

Antara langkah sokongan di bawah pakej itu adalah Bayaran Khas Kos Sara Hidup sehingga $500 tunai yang akan diagihkan kepada 2.5 juta rakyat Singapura dewasa layak pada Disember ini.

Mereka dengan pendapatan boleh dinilai (AI) $22,000 dan ke bawah bagi tahun penilaian 2022 akan menerima bayaran $500 manakala mereka dengan AI lebih $22,000 hingga $34,000 akan menerima bayaran $400.

Mereka dengan AI lebih $34,000 hingga $100,000 akan menerima bayaran $300.

Bayaran Khas Kos Sara Hidup itu akan diberikan bersama dengan Bayaran Tunai Pakej Jaminan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang diumumkan dalam Belanjawan 2022.

Antara lain, setiap isi rumah warga Singapura juga akan menerima tambahan Baucar Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) $100 pada Januari depan.

Encik Wong yang juga Menteri Kewangan berkata inflasi memberi kesan berbeza kepada segmen rakyat Singapura yang berlainan.

Khususnya, mereka yang berpendapatan lebih rendah akan terjejas secara tidak seimbang kerana pendapatan mereka mungkin tidak meningkat secukupnya untuk menampung harga lebih tinggi.

Golongan pesara juga akan terjejas kerana mereka tidak mempunyai pendapatan dan akan perlu menangani kos lebih tinggi, kata Encik Wong.

"Itu sebabnya kami memantau keadaan berhubung segmen rakyat Singapura yang berbeza ini dan perbelanjaan tambahan yang mereka akan perlu tanggung.

"Dan atas dasar itulah kami mereka bentuk pakej langkah sokongan terkini ini supaya pakej ini bersama-sama dengan semua langkah sokongan tambahan yang kami sediakan tahun ini akan mengimbangi sepenuhnya perbelanjaan tambahan yang dibayar isi rumah berpendapatan rendah serta isi rumah pesara.

"Oleh itu, bagi dua kumpulan ini, kami boleh memberi jaminan kepada mereka bahawa walaupun perbelanjaan mereka meningkat, kos meningkat kerana inflasi, kami akan mengimbangi sepenuhnya perbelanjaan tambahan secara purata," kata beliau.

Meskipun terdapat kebimbangan juga dalam golongan berpendapatan pertengahan, Encik Wong berkata kumpulan ini bakal menikmati kenaikan gaji tahun ini.

"Bagi isi rumah ini, langkah-langkah pemerintah akan mengimbangi lebih separuh perbelanjaan tambahan, namun dengan kenaikan gaji yang mereka akan nikmati yang digabungkan bersama, saya fikir kebanyakan mereka akan dapat menangani kesan harga lebih tinggi," tambahnya.

"Itu sebabnya kami memantau keadaan berhubung segmen rakyat Singapura yang berbeza ini dan perbelanjaan tambahan yang mereka akan perlu tanggung. Dan atas dasar itulah kami mereka bentuk pakej langkah sokongan terkini ini supaya pakej ini bersama-sama dengan semua langkah sokongan tambahan yang kami sediakan tahun ini akan mengimbangi sepenuhnya perbelanjaan tambahan yang dibayar isi rumah berpendapatan rendah serta isi rumah pesara." - Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Encik Lawrence Wong.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg