BUNGA manggar beraneka warna megah menghiasi tiang.
Di sekelilingnya pula, lampu lap-lip berkerdipan, menyemarak suasana perayaan di malam hari.
Lengkap dengan sepanduk ucapan Hari Raya berwarna hijau dan emas serta ketupat berwarna-warni, koridor di sebuah blok di Tampines Street 81 kelihatan seperti mengadakan majlis walimah pada siang hari yang berlarutan sehingga malam.
Hiasan lampu lap-lip terang-benderang di tingkat dua, Blok 829 itu adalah hasil kerja keras dan kerjasama jiran tetangga yang tinggal sederet di koridor itu.
Menurut 'juru reka' hiasan itu, Encik Sani Romli, menghiasi koridor adalah sebuah tradisi yang dikekalkan jiran tingkat tersebut untuk mencantikkan koridor mereka setiap Ramadan.
Mereka juga baru-baru ini mengadakan sesi berbuka puasa bersama jiran terdekat, termasuk jiran yang berlainan agama untuk berkongsi semangat lebaran dan menjalin hubungan erat antara jiran tanpa kira bangsa dan agama.
Setiap Syawal, beliau juga akan mengambil inisiatif untuk mengadakan satu sesi rumah terbuka khusus bagi jiran-jirannya.
"Kami lakukan ini sejak saya pindah ke rumah ini sekitar 20 tahun lalu," kata Encik Sani, seorang pegawai keselamatan berusia 58 tahun.
"Tahun demi tahun, apabila kami lebih bermesra bersama, tercetusnya idea untuk memasang lampu lap-lip di sepanjang koridor ini," tambahnya.
Menurutnya, jirannya di unit tengah koridor yang paling dekat dengan lobi lif itu telah menyarankan dahulu untuk sama-sama menghiaskan koridor mereka dengan lampu lap-lip.
Encik Sani pula, yang gemar menghias rumah dan membuat gubahan motif Melayu, pula akan membantu dalam mengaturkan hiasan-hiasan lain seperti bunga manggar, ketupat dan rantaian emas-emasan menampilkan ciri-ciri lebaran.
Beliau juga pernah dinobat sebagai antara tiga pemenang pertandingan lampu lap-lip anjuran Rangkaian Penduduk Tampines pada 2022.
"Bukan orang Melayu sahaja yang menyambut baik hiasan ini, jiran bukan Melayu dan jiran di tingkat lain pun turun ke koridor kami untuk sama-sama meraikan semangat beraya," kata Encik Sani.
"Mereka katakan 'wah baguslah, ada kegiatan macam ini'," tambahnya.
Encik Sani berkata sejak kian lamanya, ia merupakan satu amalan penting baginya untuk mengambil tahu dan menjalin hubungan dengan jiran tetangga.
"Jadi selain meriahkan suasana perayaan, hiasan ini juga menunjukkan bahawa adanya hubungan erat sesama jiran dan adanya sifat gotong-royong di sini," katanya.
"Dan kami bermesra dengan semua jiran, tidak kira bangsa atau agama. Dengan kami meriahkan suasana, kami juga melibatkan mereka bersama."
"Jadi selain meriahkan suasana perayaan, hiasan ini juga menunjukkan bahawa adanya hubungan erat sesama jiran dan adanya sifat gotong-royong di sini.
Dan kami bermesra dengan semua jiran, tidak kira bangsa atau agama. Dengan kami meriahkan suasana, kami juga melibatkan mereka bersama."
- Encik Sani Romli, seorang pegawai keselamatan.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg