Subuh
5:34
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:26
Maghrib
7:07
Isyak
8:21
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Kesan fiskal HDB dijangka lebih tinggi dengan subsidi tambahan flat Plus, Prime

Sep 18, 2023 | 07:31 PM



Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) dijangka meningkatkan perbelanjaan dek subsidi tambahan yang akan diberikan kepada pembeli flat Prime dan Plus di bawah sistem klasifikasi flat Bina Ikut Tempahan (BTO) baru, kata Menteri Pembangunan Negara, Encik Desmond Lee.

Di bawah sistem klasifikasi baru itu, flat-flat BTO akan digolongkan dalam tiga kategori Standard, Plus dan Prime mulai separuh kedua 2024, dengan setiap kategori flat terletak di lokasi dengan daya tarikan berbeza dan mempunyai tahap subsidi serta syarat menjual dan Tempoh Penginapan Minimum (MOP) berlainan.

Pembeli flat Plus dan Prime akan menerima lebih banyak subsidi di samping subsidi Standard, namun perlu mematuhi syarat lebih ketat seperti bayaran semula subsidi yang diberi ke atas harga jualan semula dan MOP 10 tahun.

Menjawab soalan beberapa Anggota Parlimen (AP) di Parlimen pada Isnin, Encik Lee berkata HDB komited menyokong dan memastikan pemilikan rumah kekal dimampui di Singapura.

Ketua Pembangkang, Encik Pritam Singh, telah bertanya tentang kesan fiskal yang dijangka daripada subsidi tambahan yang akan diberi bagi flat Prime dan Plus, manakala Encik Xie Yao Quan (GRC Jurong) pula bertanya berapa banyak belanja yang dijangkakan pemerintah setiap tahun bagi subsidi dan geran perumahan.

Encik Lee berkata kesan fiskal sebenar yang dijangkakan bergantung pada beberapa faktor, termasuk keadaan pasaran semasa setiap pelancaran projek BTO, permintaan perumahan, ciri-ciri lokasi tapak perumahan dan pelbagai lagi.

“Memandangkan flat Prime dan Plus akan diberi lebih banyak subsidi, impak fiskal keseluruhan dijangka lebih tinggi berbanding jika kami kekalkan tahap subsidi sedia ada,” kata beliau.

“Dalam menentukan model manakah untuk melancarkan flat baru, kami mengambil kira beberapa faktor seperti ciri-ciri lokasi tertentu, kemampuan pembeli dan keperluan menyediakan pelbagai pilihan berlainan untuk warga Singapura,” tambah Encik Lee.

Bagi tahun kewangan 2021/2022, HDB merakamkan defisit sekitar $3.85 bilion dalam Program Pemilikan Rumahnya.

Dalam tempoh yang sama, ia mengagihkan geran berjumlah $372 juta bagi flat yang dibeli langsung daripada HDB dan geran bernilai $849 juta bagi flat jualan semula dan kondominium eksekutif.

Encik Lee berkata rangka kerja baru bagi flat perumahan awam itu bertujuan memastikan warga Singapura boleh terus mampu membeli flat, dengan harga flat Plus dan Prime diberi subsidi tambahan “di samping diskaun pasaran besar yang sudah pun disediakan bagi flat Standard, untuk menjadikan flat pilihan ini lebih dimampui untuk warga Singapura daripada julat pendapatan lebih luas”.

Di samping diskaun pasaran, pemerintah menyediakan Geran Perumahan CPF yang Dipertingkatkan untuk pembeli kali pertama yang layak untuk lebih menyokong mereka yang paling memerlukan.

Encik Lee menambah bahawa rangka kerja itu juga bertujuan mengekalkan percampuran sosial yang baik dalam estet HDB di Singapura.

Dengan lebih banyak subsidi yang diberi bagi flat Plus dan Prime, beliau berkata syarat lebih ketat dikenakan ke atas flat-flat tersebut, termasuk bayaran semula subsidi yang diberi ke atas harga jualan semula.

Had pendapatan juga akan dikenakan ke atas pembeli flat Plus dan Prime jualan semula ini, seperti yang dikenakan bagi pembeli kali pertama.

Encik Lee berkata had pendapatan yang dikenakan itu mengambil rujukan daripada had pendapatan BTO semasa sewaktu penjualan semula – iaitu $14,000 hari ini untuk keluarga, dan meliputi lapan daripada 10 isi rumah warga Singapura.

“Pemerintah secara kerap menyemak had pendapatan BTO dari masa ke masa untuk mengambil kira pertumbuhan pendapatan,” kata beliau.

Pelbagai jenis flat dalam projek BTO Prime dan Plus juga akan ditawarkan untuk memenuhi bajet dan keperluan berbeza.

Meskipun ada yang bertanya sama ada rangka kerja baru itu akan menyebabkan masyarakat lebih berlapis membentuk kelas-kelas, Encik Lee berkata rangka kerja itu sebenarnya cuba mencapai perkara sebaliknya.

“Tanpa rangka kerja baru itu, flat di lokasi pilihan mungkin menjadi lebih mahal dan tidak dapat dimampui ramai rakyat Singapura menurut edaran masa disebabkan lokasinya dan ciri-cirinya yang baik.

“Dengan melancarkannya sebagai flat Prime atau Plus, subsidi tambahan dan syarat yang lebih ketat, termasuk had pendapatan apabila dijual semula, ia akan membantu menyederhanakan permintaan untuk flat tersebut, dan memastikan harganya boleh dimampui rakyat Singapura daripada julat tahap pendapatan yang lebih luas.

“Di samping campuran jenis flat, langkah-langkah ini membolehkan kami mengekalkan campuran sosial yang baik,” kata beliau.

Rangka kerja baru itu juga memastikan sistem kekal adil untuk semua “kerana, tidak seperti flat Standard dengan diskaun standard, kami akan menyediakan subsidi pasaran tambahan untuk memastikan flat Prime dan Plus lebih dimampui”.

Encik Lee menjelaskan, syarat lebih ketat dikenakan ke atas pembeli flat Prime dan Plus supaya ia adil kepada mereka yang membeli flat Standard yang diberi subsidi pasaran biasa.

Selain syarat lebih ketat, pemerintah akan mengenakan kadar bayaran semula subsidi bagi pembeli pertama apabila flat dijual semula, yang akan sepadan dengan tahap subsidi tambahan yang diberikan.

“Disebabkan pembeli flat Plus menikmati subsidi lebih rendah berbanding flat Prime, kadar bayaran semula subsidi mereka juga secara umumnya lebih rendah.

“Serupa flat Prime, pemilik flat Plus akan mempunyai MOP lebih lama sepanjang 10 tahun dan flat mereka tidak boleh disewakan pada bila-bila masa.

“Ini demi memastikan flat itu khusus bagi penginapan pemilik dan bukan bagi pelaburan spekulasi atau memungut sewa,” ujar beliau.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >