SEMUA murid dan kakitangan Sekolah Rendah Punggol perlu menjalani ujian swab wajib semalam dan hari ini.

Ini menyusuli kelompok baru terkait dengan seorang pekerja pembersihan di Sekolah Rendah Punggol yang dikenal pasti Selasa lalu dan meningkat hingga tujuh kes kelmarin, menurut Kementerian Kesihatan (MOH).

Sementara itu, sekolah itu berpindah ke pembelajaran di rumah (HBL) dari semalam hingga 6 Ogos ini.

Menjawab pertanyaan akhbar The Straits Times, Kementerian Pendidikan (MOE) berkata malam kelmarin bahawa seorang guru dan dua murid juga telah diuji positif.

Guru itu bukan kontak rapat murid-murid tersebut. Siasatan sedang dijalankan untuk melihat sekiranya kes itu terkait.

Lagi dua pekerja pembersihan kontrak dan seorang kakitangan yang bukan tenaga pengajar dari sekolah itu telah diuji positif bagi Covid-19. Mereka semua tidak mempunyai kontak rapat bersama murid dan guru.

MOE berkata:

"Semua kontak rapat kes yang disahkan telah diletakkan di bawah perintah kuarantin atau cuti ketidakhadiran."

Sekolah Rendah Punggol juga telah dinyahjangkit dan dibersihkan secara rapi.

MOE berkata ia akan terus memantau keadaan dengan rapat dan bekerjasama dengan sekolah serta ibu bapa untuk memastikan kesejahteraan kakitangan dan murid.

MOE berkata:

"Murid dan kakitangan juga patut mendapatkan perhatian perubatan segera sekiranya mereka rasa tidak sihat. Terus amalkan kebersihan peribadi yang baik dan patuhi langkah pengurusan selamat."

Kes pertama penularan di sekolah berlaku pada 21 Mei, apabila seorang murid berusia 11 tahun di Sekolah Anglo-Chinese (Junior) diuji positif Covid-19 setelah rakan kelasnya diuji positif pada 19 Mei.