Jururawat migran kini khidmat lebih lama di hospital: Rahayu
Jururawat migran kini khidmat lebih lama di hospital: Rahayu
Kelompok kesihatan lakukan yang terbaik bagi tambah kakitangan penjagaan kesihatan
TEMPOH perkhidmatan jururawat migran di hospital yang disusun semula telah meningkat sepanjang beberapa tahun, kata Setiausaha Parlimen Kanan (Kesihatan merangkap Undang-undang), Cik Rahayu Mahzam.
Antara 2014 dan tahun lalu, tempoh perkhidmatan median mereka meningkat daripada lima kepada lapan tahun, sementara tempoh purata perkhidmatan mereka meningkat daripada tujuh kepada 10 tahun.
Cik Rahayu berkata median dan purata sebenar sepatutnya lebih tinggi, memandangkan data sedia ada tidak mengambil kira jururawat yang bertukar hospital tetapi kekal dalam sektor penjagaan kesihatan.
Menjawab soalan Encik Louis Ng (GRC Nee Soon), Cik Rahayu berkata: "Kami telah kongsi angka ini bahawa menjelang 2030, kami anggarkan akan terdapat 82,000 jururawat kesihatan bersekutu dan kakitangan penjagaan sokongan - meningkat daripada kurang 58,000 kakitangan sedemikian pada masa ini.
"Dan kebanyakan mereka adalah jururawat. Kelompok kesihatan sedang lakukan yang terbaik untuk mempertingkat usaha pengambilan (kakitangan penjagaan kesihatan).
"Kami juga sedang berusaha memantau trend ini di sekolah, termasuk di Institut Pendidikan Teknikal (ITE), kolej dan universiti dan sekarang kami mempunyai sekitar 2,100 pelajar dan kami berusaha menambahnya kepada 2,300 pelajar (mengikuti kursus berkaitan penjagaan kesihatan).
"Selain mengisi kekurangan, penting juga kami memberi perhatian pada apakah keperluan dalam sektor ini."
Bulan lalu, Menteri Kesihatan, Encik Ong Ye Kung, berkata satu cabaran utama yang dihadapi dalam usaha menjaga warga senja ialah menambah jumlah jururawat asing bagi menyokong jururawat tempatan.
Beliau berkata jururawat, karyawan kesihatan bersekutu dan kakitangan penjagaan sokongan diperlukan untuk memastikan hospital, klinik dan pusat penjagaan warga senja dapat beroperasi.
Ini kerana menjelang 2030, seorang dalam setiap empat warga Singapura akan berusia 65 tahun ke atas, naik daripada seorang dalam setiap enam orang sekarang.
Dalam responsnya kepada Encik Ng, Cik Rahayu berkata pemerintah bukan sekadar memberi perhatian pada masalah kekurangan dan berusaha mengisi kekurangan itu, malah memantau permintaan awam dan apakah yang diperlukan.
"Kami akan pantau apakah laluan dan saluran sesuai untuk meningkatkan pengambilan jururawat," ujarnya.
Dalam respons berasingan berkaitan bilangan permohonan yang diterima daripada pemegang polisi insurans Pelan Insurans Bersepadu (IP) yang sukar dituntut, yang ditanya Dr Tan Wu Neng (GRC Jurong), Cik Rahayu berkata:
"Kementerian Kesihatan (MOH) tidak menjejak bilangan permohonan yang dibuat pemegang polisi IP terhadap takrifan pihak insurans berkaitan makna perubatan.
"Pemegang polisi yang berasa tuntutan mereka ditolak secara tidak adil dan tidak dapat mencapai huraian memuaskan dengan pihak insurans boleh mencari jalan penyelesaian daripada Proses Resolusi Tuntutan Klinikal (CCRP), jika pertikaian tuntutan IP adalah klinikal.
"Pemegang polisi juga boleh mendekati Pusat Resolusi Pertikaian (FIDReC) bagi bantuan berkaitan jenis pertikaian lain."

