LENGKAP dengan buaian, sebuah patio dan lampu lap-lip bertenaga suria, taman kecil di halaman depan rumah tingkat satu Encik Mohd Haron Salim dan Cik Nurhani Zailani Shatifan di Pasir Ris menjadi tarikan untuk saudara-mara, adik-beradik dan juga jiran tetangga.
Malah pasangan suami isteri itu berkata sejak mereka berpindah ke unit itu pada 2021, mereka sering menerima pelbagai macam tetamu. Mereka bukan sahaja mengadakan beberapa acara kekeluargaan bagi sanak-saudara, malah juga mempelawa jiran untuk singgah di taman mereka.
Ada juga yang ingin mereka berkongsi sedikit panduan bercucuk taman.
Dan suasana di rumah mereka bertambah meriah setiap Syawal apabila mereka mengadakan pelbagai rumah terbuka - setiap satu bagi adik-beradik, teman sekerja dan teman sekolah anak mereka.
"Salah satu sebab kami menghiaskan rumah adalah cara bagi kami membina dan mengekalkan silaturahim dengan keluarga, teman-teman dan juga jiran tetangga dengan kami menyediakan sebuah tempat yang sudi menerima dan sentiasa terbuka kepada sesiapa," kata tuan rumah, Encik Haron, 58 tahun.
Kediaman beliau di Blok 633, Pasir Ris Drive 3 itu merupakan di antara rumah keluarga Melayu/Islam di sini yang dilengkapi lampu lap-lip dan pelbagai hiasan.
Menurut beberapa penduduk serta pemimpin akar umbi Melayu yang dihubungi Berita Harian, nampaknya trend lampu lap-lip kembali lebih rancak tahun ini dengan sekatan pandemik ditiadakan sepenuhnya.
"Sebenarnya kami telah mula berjinak-jinak memasang lampu ini selepas kami berpindah ke sini," kata Encik Haron.
"Pada ketika itu kan pandemik, jadi saya ada teman yang mempunyai stor dan terdapat banyak stok yang tidak dapat dijual pada ketika itu, jadi mereka beri kepada saya. Ia seolah projek peribadi bagi sayalah. Saya bertanggungjawab menjaga tanaman dan isteri saya pula rancangkan reka bentuk kebun ini," tambah jurutera sektor penerbangan itu.
Cik Nurhani, seorang penyelaras pembangunan di kampus Insead Asia, pula berkata mereka terdorong menyediakan tanam kecil itu kerana jiran mereka yang lain di tingkat satu di blok yang sama dan blok sekeliling juga menyediakan taman kecil masing-masing.
Unit di hadapan rumah mereka juga mempunyai taman kecil tersendiri yang dilengkapi pelbagai lampu lap-lip.
"Kami menyediakan tempat ini bukan sekadar untuk perayaan Aidilfitri sahaja tetapi juga sebagai tempat berehat bagi sanak saudara apabila mereka berkunjung kerana kami sering berjumpa di sini setiap minggu," katanya, yang juga merupakan relawan M Kuasa Tiga (M3) di Pasir Ris.
"Jadi menjelang Hari Raya ini yang kami jangkakan lebih meriah daripada tahun-tahun yang lalu, kami harap kebun kami di depan tu menjadi tempat anak-anak, sanak saudara dapat bermain, menyalakan bunga api, atau untuk mereka duduk-duduk dan bersembang bersama," katanya.
Encik Azuan Tan, seorang guru dan Pengerusi M3@Pasir Ris-Punggol, yang juga melihat rumah Encik Haron dan Cik Nurhani sebagai contoh baik hidup berjiran dengan bermesra, berkata beliau memerhatikan tahun ini bahawa lebih ramai penduduk Melayu yang lebih bersemangat untuk beraya.
"Di kawasan Pasir Ris, ramai yang menghiasi rumah mereka dengan lampu lap-lip dan berdasarkan pendekatan kami bersama penduduk, ramai juga yang lebih giat membuat penyediaan rumah, membeli kuih-muih dan sebagainya," tambahnya.
"Ini mungkin kerana perayaan tahun-tahun lalu agak sepi disebabkan pandemik."
Encik Muhammad Azrin Abdullah, Pengerusi Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu (MAEC) Marsiling, pula berkata meskipun sekatan pandemik telah dilonggarkan pada 2022, ramai penduduk masih berjaga-jaga pada tahun tersebut.
"Tahun ini kami lihat mereka lebih bersedia untuk beraya dengan lebih meriah juga mungkin dengan kegiatan Ramadan dan Hari Raya lain seperti solat tarawih, bazar dan sebagainya juga telah kembali rancak seperti dahulu," ujarnya.
Namun menurut Encik Zailani Mohd Said, pengerusi MAEC Geylang Serai, trend lampu lap-lip rata-rata sama sahaja seperti tahun-tahun yang lalu.
"Di rumah saya, keluarga saya akan sentiasa menyediakan lampu lap-lip yang berbeza setiap tahun. Tetapi di luar, saya kira dengan lebih ramai penduduk baru yang muda, tak ramai yang berbuat demikian."
Seorang penduduk Siglap, Cik Sheikha Edhora, 24 tahun, berkata:
"Saya kira trend lampu lap-lip ini adalah tradisi tahunan rata-rata bagi semua keluarga yang menyambut Aidilfitri di sini dan ia sebuah budaya yang tidak akan lenyap kerana semangatnya menyambut lebaran.
"Sama ada ia lebih meriah tahun ini, mungkin disebabkan tempoh pandemik telah berakhir tetapi saya rasa ia lebih kepada tradisi setiap keluarga yang rajin mengamalkannya."
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg