Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Gantung lap-lip bantu keluarga pererat hubungan

Apr 20, 2023 | 5:30 AM
MERIAH: Keluarga 13 orang Encik Farid Difari (paling atas, memegang lampu lap-lip) dan Cik Ai'shah Redwan (bertudung kelabu) telah menyediakan hiasan lampu lap-lip yang lengkap sepanjang koridor mereka hingga menarik perhatian ramai di TikTok. - Foto-foto BH oleh NUR DIYANA TAHA
MERIAH: Keluarga 13 orang Encik Farid Difari (paling atas, memegang lampu lap-lip) dan Cik Ai'shah Redwan (bertudung kelabu) telah menyediakan hiasan lampu lap-lip yang lengkap sepanjang koridor mereka hingga menarik perhatian ramai di TikTok. - Foto-foto BH oleh NUR DIYANA TAHA -

HIASAN lampu lap-lip yang memenuhi koridor tingkat tujuh di sebuah blok HDB di Yishun yang boleh dilihat dari nun jauh rupa-rupanya hasil kerja keras sebuah keluarga 13 beranak.

Pasukan 'pimpinan' Encik Farid Difari dan isterinya, Cik Ai'shah Redwan, itu dibentuk empat anak, enam adik-beradik mereka dan seorang anak saudara.

Hiasan lampu lap-lip keluarga itu melingkar panjang lebih 10 meter di koridor tingkat tujuh Blok 107 Yishun Ring Road, dari lobi lif hingga unit tiga bilik milik yang dihuni keluarga itu.

Lampu lap-lip yang digunakan pula beraneka, daripada yang kecil bak mata punai kepada yang berbentuk bulat bak bol lampu dan yang disusun bak jaring.

Kesemuanya 'dilapiskan' dan digantung di dinding untuk memberikan kesan yang menarik.

Selain lampu lap-lip, ada juga sepanduk menunjukkan ucapan Hari Raya dan pelbagai hiasan lain.

Sepasang lampu berbentuk ketupat pula digantung di lobi lif.

Menurut Encik Farid, 45 tahun, beliau dan keluarganya membelanjakan lebih $800 untuk menghiasi koridor itu.

Menambah, Encik Farid, yang bertugas sebagai penyelia dalam sektor pembersihan, berkata beliau dan keluarga juga menghiasi kawasan luar rumah bagi perayaan bangsa lain, seperti Deepavali.

Encik Farid berkata beliau telah mendapat izin daripada jiran-jirannya yang juga menggalaknya berbuat demikian kerana ia mencantikkan sekitaran kediaman mereka.

Sebenarnya, melebihi kesan estetik, memasang lampu lap-lip mempunyai pengertian yang tersirat bagi Encik Farid.

"Dulu arwah ibu dan ayah saya memang suka sangat dengan lampu lap-lip," katanya.

"Mereka kalau tibanya bulan Ramadan, akan selalu pergi ke kedai atau bazar untuk beli lampu lap-lip.

"Jadi saya lakukan ini adalah sebagai peringatan bagi keluarga saya terhadap mereka dan juga untuk mengekalkan tradisi yang mereka amalkan itu," tambahnya.

Tradisi ini juga membantu Encik Farid dan keluarganya mempererat hubungan antara satu sama lain.

Sebagai contoh, beliau dan anggota keluarga yang lain akan bergegas ke sebuah kedai runcit berhampiran Chong Pang City untuk membeli barang perhiasan sebaik sahaja ia mula dijual setiap Ramadan.

"Dua atau tiga hari sebelum Ramadan kami akan beli mungkin 20 hingga 30 meter lampu lap-lip bermacam jenis dan setiap tahun lain stail. Kalau sewaktu memasang kami lihat ada kekurangan, salah satu daripada kami akan turun ke kedai untuk menambah lampu secara automatik. Gotong-royonglah," ujar Encik Farid.

Menyusuli itu, keluarga tersebut akan meluangkan masa semalaman untuk memasang lampu dan barang perhiasan lain.

"Nanti ada yang masak mi Maggi, mainkan lagu menerusi speaker dan yang lain tolong gantung lampu," tambahnya.

Bersependapat, Cik Ai'shah akur kegiatan meriah itu mempererat hubungan antara keluarganya.

"Saya harap kegiatan ini juga menunjukkan anak-anak dan keluarga kami supaya terus bersemangat untuk menyambut Aidilfitri dengan penuh kemeriahan," tambah Cik Ai'shah, yang bertugas sebagai penolong perkhidmatan klinik.

Video hiasan lampu lap-lip keluarga itu dari 2022 menjadi tular di wadah media sosial TikTok baru-baru ini, apabila ia dikongsi oleh seorang ejen hartanah dan kini menarik lebih 139,000 penonton.

Buat masa ini, Encik Farid dan keluarganya telah memuat naik video yang menunjukkan hiasan bagi Hari Raya ini pula yang telah menarik lebih 41,000 penonton di TikTok. - HARITH MUSTAFFA

"Dua atau tiga hari sebelum Ramadan kami akan beli mungkin 20 hingga 30 meter lampu lap-lip bermacam jenis dan setiap tahun lain stail. Kalau sewaktu memasang kami lihat ada kekurangan, salah satu daripada kami akan turun ke kedai untuk menambah lampu secara automatik. Gotong-royonglah."

- Encik Farid Difari, seorang penyelia dalam sektor pembersihan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg