Subuh
5:34
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:26
Maghrib
7:07
Isyak
8:21
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

FOKUS BERITA: DI SINGAPURA KESAN PEMBUKAAN SEMPADAN SG-M'SIA KE ATAS PERNIAGAAN

Bengkel kereta SG masih kukuh, niaga makan terjejas sedikit

Selepas dua tahun menanti, kini para peniaga di Seberang Tambak mula menarik nafas lega menyusuli pembukaan sempadan antara Singapura dengan Malaysia 1 April lalu. Apakah kesannya kepada kededua perniagaan di Seberang Tambak dan di sini dan bagaimana pula rakyat Singapura manfaatkan pembukaan tersebut? BERITA HARIAN melaporkan.
Jun 11, 2022 | 04:22 PM



DI SINGAPURA



SEJAK sempadan ke Malaysia dibuka, perniagaan makanan seperti Boon Lay Power Nasi Lemak dan gerai Sajian Mak Dara terjejas sedikit disebabkan terdapat warga tempatan yang ke Seberang Tambak untuk mencari makan.



Ini tidak boleh dielakkan memandangkan lebih dua tahun warga tempatan tidak dapat berbuat demikian disebabkan pandemik Covid-19.



Namun, pembukaan sempadan Singapura-Malaysia juga mempunyai hikmah kerana mereka kini dapat menarik pelancong Malaysia ke Singapura dan mendapat bekalan bahan pada harga lebih murah di Seberang Tambak.



Bagi perniagaan bengkel kereta pula, beberapa firma tempatan menyatakan perniagaan mereka tidak terjejas dengan banyak kerana pelanggan mereka inginkan kerja bermutu dan komponen gantian asli bagi kereta mereka.



Pembukaan sempadan mendorong ramai warga tempatan untuk ke Malaysia terutama dalam cuti sekolah Jun ini hingga menyebabkan kesesakan di Koswe.



Ini meskipun Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) berkata trafik sesak dijangka berterusan sepanjang Jun sehingga penggal sekolah dibuka semula pada 27 Jun 2022.



"Semasa pandemik berlaku dan sempadan ditutup, warga tempatan tak ada banyak pilihan dan masakan tempatan kembali popular buat seketika. Tetapi apabila boleh keluar negara, saya dapati perniagaan saya mula merundum, susut kira-kira sebanyak 20 peratus dari hasil harian," kongsi pemilik gerai Boon Lay Power Nasi Lemak, Encik Badrol Hisam Ramli.



Pasang surut memang lumrah dalam perniagaan.



"Dalam dunia perniagaan ni, mental nak kena kuat dan tak boleh goyang. Dugaan memang sentiasa ada dan lain orang lain cabarannya. Paling penting, kena tempuh dan jangan elak, kalau dielak kita tak akan belajar dari pengalaman tu," kata Encik Badrol, yang sudah meniti turun naik perniagaan termasuk krisis seperti Sars and Covid-19.



Turut merasa kesan selepas sempadan dibuka merupakan pemilik gerai Sajian Mak Dara di Pasar Geylang Serai.



"Sejak pembukaan sempadan, keuntungan kami terjejas terutama sekali pada hujung minggu.



"Selalunya seawal 6.30 pagi depan kedai kami ni dah ada pelanggan beratur tapi sejak kebelakangan ni, selepas 6.30 pagi baru ada yang datang.



"Penjualan makanan kami berkurangan sehinggakan kami membuat keputusan untuk buka gerai lebih lama, dulu jam 12 atau 1 tengah hari dah tutup, sekarang jam 2.30 petang, baru makanan habis dijual,” kongsi Encik Nur Noi Firqhan, bapa dua orang anak yang kini menerajui perniagaan yang dimulakan ibunya, Cik Dara Madin.



Encik Nur mula berjinak-jinak dengan dunia perniagaan makanan 14 tahun yang lalu di gerai ibunya.



"Tetapi, kami juga merasa gembira melihat pelanggan kami dari Malaysia dan Brunei kembali lagi untuk makan di Sajian Mak Dara, dan yang melegakan kerana kami mempunyai pembekal luar negara yang kosnya lebih rendah berbanding pembekal tempatan,'' jelasnya.



Beliau melihat kesannya ketika musim cuti sekolah sekarang, dengan bilangan pelanggan merosot.



"Lazimnya bila musim kurang pelanggan ketika ini, kami akan kurangkan kuantiti lauk kami demi mengelak pembaziran," kongsinya lagi.



Tetapi, beliau memastikan mutu makanan tetap baik agar pelanggan kembali lagi melanggani gerainya.



Pengasas dan pemilik bersama syarikat pengendali acara dan pengurusan artis tempatan, MakBesar, Cik Haryani Othman berkata pembukaan sempadan memberi kesan positif.



"Sejak ia dibuka, vendor kami seperti penjual lebih mudah mendapatkan bekalan dari luar negara, sama ada dari Malaysia atau Indonesia atau tempat lain. Logistik lebih lancar untuk mereka,'' katanya, yang sering mengadakan ekspo mini yang disertai peniaga-peniaga tempatan.



Pembukaan sempadan juga menjejas perniagaan bengkel kereta kerana terdapat sesetengah pemilik kereta mendapatkan khidmat servis kereta di Malaysia kerana harganya yang lebih rendah.



Ini tidak dapat dielakkan, kata Encik Khairil Jusno, pemilik bengkel servis kereta Juzz Performance.



Bapa dua orang anak ini menjangkakan terdapat pelanggannya yang akan memilih ke Johor Bahru untuk menyenggara kereta mereka.



Bengkel milik anak Melayu tempatan ini merupakan bengkel yang khusus untuk kereta jenis kontinental, maka memang beliau tidak begitu risau jika ada pelanggan yang bertukar arah.



"Jenis kereta seperti BMW, Audi, Mercedes ni perlu disenggarakan dengan betul. Perlu ada kepakaran dan pemahaman yang mendalam tentang kereta itu. Ia seolah-olah pergi ke doktor, ada langkah-langkahnya, ada diagnosis yang perlu diambil dan dibaca sebelum mekanik mula untuk buka apa-apa.



"Prosesnya rumit sedikit dan makan masa. Untuk yang memilih ke Seberang Tambak untuk servis kereta, saya nasihatkan hati-hati, bukan apa takut tak sesuai dengan jenis kereta," katanya lagi.



Pandangan yang sama disuarakan oleh Encik Hanip Abdul, pemilik syarikat Hanip Automobile, yang menyatakan kebanyakan pelanggannya inginkan khidmat bermutu dan lebih selesa ke bengkelnya mendapatkan khidmat servis kereta mereka.



"Mereka inginkan mutu kerja yang baik dan menggunakan komponen yang asli. Lantas, walaupun harga lebih murah di Johor, mereka tetap ke bengkel saya,'' kata Encik Hanip.




"Sejak pembukaan sempadan, keuntungan kami terjejas terutama sekali pada hujung minggu.

Selalunya seawal 6.30 pagi depan kedai kami ni dah ada pelanggan beratur tapi sejak kebelakangan ni, selepas 6.30 pagi baru ada yang datang.

Penjualan makanan kami berkurangan sehinggakan kami membuat keputusan untuk buka gerai pada waktu operasi yang lebih lama. Dulu jam 9 malam dah tutup. Sekarang jam 11 malam, kami masih disini.''

- Encik Nur Noi Firqhan, pemilik Sajian Mak Dara.



"Pelanggan inginkan mutu kerja yang baik dan mengguna komponen yang asli. Lantas, walaupun harga lebih murah di Johor, mereka tetap ke bengkel (kereta) saya.''
- Encik Hanip Abdul, pemilik syarikat Hanip Automobile.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >