Subuh
5:41
Syuruk
6:59
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

DPM Wong: Isu 377A untuk S'pura dan warganya putuskan

Pemerintah sedar terdapat segmen masyarakat berasa Seksyen 377A bukan hanya mengenai undang-undang, tetapi ia berkaitan nilai-nilai masyarakat, keluarga dan rumah tangga
Aug 17, 2022 | 05:30 AM



ISU lebih luas berkenaan Seksyen 377A bukanlah berkaitan undang-undang tetapi ia melibatkan sama ada tindakan yang diambil akan merubah nilai-nilai kekeluargaan dan rumah tangga yang dipegang teguh masyarakat.



Itulah yang menjadi keprihatinan sebahagian besar warga Singapura, kata Timbalan Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, dalam wawancara bersama Bloomberg.



Justeru, Encik Wong menambah, isu tersebut harus ditangani dengan berhati-hati dan sensitif kerana ia melibatkan nilai-nilai serta norma sosial sebagaimana Singapura telah menangani lain-lain isu sebelum ini.



"Sama ada ia mengenai kaum dan agama, atau sama ada ia berkenaan seksualiti, kami tahu ini adalah isu-isu yang segmen-segmen berbeza masyarakat mempunyai pandangan mendalam dan kadangkala bertentangan.



"Ini adalah sesuatu yang perlu diputuskan oleh Singapura dan warga Singapura," ujarnya.



Encik Wong, yang juga Menteri Kewangan, berkata cara negara ini menangani isu-isu sedemikian ialah dengan mendekati kumpulan-kumpulan berbeza dan melihat sama ada satu persefahaman boleh dicapai.



"...Mencapai sikap saling bertolak-ansur dan berkompromi tanpa menyebabkan perpecahan mendalam dalam masyarakat. Inilah proses yang sedang kami ambil sekarang," katanya lagi.



Ditanya mengenai undang-undang seperti 377A yang mungkin menjejas usaha Singapura menarik bakat-bakat asing ke negara ini, Encik Wong berkata undang-undang yang menetapkan seks antara lelaki sebagai jenayah itu diwarisi Singapura daripada Britishdan bukan sesuatu yang diperkenalkan pemerintah.



Beliau akur, sejak itu, beberapa negara Asia telah memansuhkan undang-undang tersebut.



"Tetapi kami juga tahu, di Singapura, terdapat segmen masyarakat yang merasakan bahawa ia bukan hanya mengenai undang-undang, tetapi undang-undang itu sekadar petanda bagi lain-lain perkara.



"Perkara yang mereka hargai ialah mengenai masyarakat, nilai-nilai masyarakat, mengenai keluarga dan mengenai rumah tangga. Jadi ia bukanlah mengenai undang-undang semata-mata, ada lain-lain pertimbangan," ujarnya lagi.



Komen Encik Wong itu dibuat sedang perbincangan mengenai isu kepelbagaian gaya kehidupan golongan lesbian, gay, biseksual, transgender, queer (LGBTQ) dan Seksyen 377A hangat dibicarakan pada masa ini.



Dalam laporan sebelum ini sebagai menjawab pertanyaan Berita Harian (BH), Persatuan Ulama dan Guru-Guru Agama Islam Singapura (Pergas) berkata ia sedang melakarkan pendekatan dan panduan bagi memperkukuh institusi keluarga dengan tujuan agar masyarakat Islam dapat bersama-sama memberi respons yang penuh rahmah kepada mereka yang menghadapi cabaran disebabkan kepelbagaian dan perkembangan masa kini.



Usaha itu, menurut Pergas, sedang giat dilakukan dengan kerjasama Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) dan para pemimpin agama setempat.



"Ini (melakarkan pendekatan dan panduan) merupakan sebuah usaha yang memerlukan kerjasama padu oleh pelbagai pihak, demi kemaslahatan masyarakat dan negara," ujar Presiden Pergas, Ustaz Hasbi Hassan.



Ustaz Hasbi menambah masyarakat dan kepimpinan agama secara keseluruhan perlu berbincang dan mendapat panduan yang jelas dan cermat dalam menghadapi dan menangani perkara ini.



Sementara itu, memetik contoh isu LGBTQ itu dalam satu wawancara dengan Berita Mediacorp, Mufti, Dr Nazirudin Nasir, berkata terdapat asas agama yang tidak boleh dikompromi dan Islam tidak membenarkan perbuatan seperti amalan seksual dalam LGBTQ.



Namun, masyarakat harus memikirkan bagaimana mempertimbang peranan mereka dalam evolusi sosial ini.



Bulan lalu, Menteri Ehwal Dalam Negeri merangkap Undang-Undang, Encik K. Shanmugam, berkata pemerintah sedang mempertimbangkan apa yang perlu dilakukan kepada Seksyen 377A.



Pemerintah juga turut memikirkan cara mempertahan kedudukan perkahwinan yang sah dari segi undang-undang, agar ia tidak dicabar sepertimana berlaku bagi Seksyen 377A dalam beberapa siri kes yang berlaku.



Komen Encik Shanmugam itu menyusuli penganjuran acara 'Protect Singapore Townhall', yang ditolak sesetengah anggota masyarakat LGBTQ.



Dihadiri lebih 1,200 orang, ia bertujuan menggesa perlindungan bagi keluarga dan perkahwinan berhubung Seksyen 377A.



Kelmarin, salah seorang penganjur acara itu, Encik Mohamed Khair Mohamed Noor, pengerusi eksekutif SuChi Success Initiatives, yang menjalankan kursus persediaan perkahwinan untuk pasangan Islam, telah menerbitkan laporan hasil perbincangan yang diadakan di acara tersebut di laman Facebooknya.



Antara lain, laporan itu menggariskan tiga saranan sebelum langkah memansuhkan Seksyen 377A diambil. Pertama, melindungi perkahwinan sebagai penyatuan lelaki dan wanita, dan melindungi unit keluarga semula jadi; kedua, melindungi anak-anak daripada indoktrinasi idea dan kepercayaan kumpulan LGBTQ dan ketiga, melindungi masyarakat daripada tekanan, buli dan diskriminasi kerana mereka tidak menerima idea dan kepercayaan LGBTQ.




LIBATKAN NILAI DAN NORMA SOSIAL



"Sama ada ia mengenai kaum dan agama, atau sama ada ia berkenaan seksualiti, kami tahu ini adalah isu-isu yang segmen-segmen berbeza masyarakat mempunyai pandangan mendalam dan kadangkala bertentangan.

Ini adalah sesuatu yang perlu diputuskan oleh Singapura dan warga Singapura."



BUKAN HANYA TENTANG UNDANG-UNDANG



"Tetapi kami juga tahu, di Singapura, terdapat segmen masyarakat yang merasakan bahawa ia bukan hanya mengenai undang-undang, tetapi undang-undang itu sekadar petanda bagi lain-lain perkara.

Perkara yang mereka hargai ialah mengenai masyarakat, nilai-nilai masyarakat, mengenai keluarga dan mengenai rumah tangga. Jadi ia bukanlah mengenai undang-undang semata-mata, ada lain-lain pertimbangan."



- Timbalan Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >