Subuh
5:34
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:26
Maghrib
7:07
Isyak
8:21
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Cekal semangat beraya di rantauan

Dengar takbir, lagu Raya jadi pengubat siswa di Aust

May 15, 2021 | 05:30 AM



APABILA Covid-19 mula menular di Australia tahun lalu, warga Singapura yang sedang memburu ijazah di Adelaide, Cik Siti Zurainah Zaid, perlu membuat keputusan sama ada mahu pulang ke Singapura atau terus berada di Australia.



Namun kerana tidak mahu mengambil risiko tidak dibenar pulang kembali ke Australia dan menyelesaikan pengajiannya tepat pada waktu disebabkan penutupan sempadan yang ketat, Cik Zurainah mengambil keputusan berat untuk terus berjauhan daripada keluarga, dan pada masa yang sama mendapat sokongan daripada keluarganya.



Tahun ini merupakan tahun kedua berturut-turut mahasiswa berusia 24 tahun itu tidak dapat pulang ke pangkuan keluarga untuk menyambut Syawal bersama.



Biarpun rasa sedih, beliau tetap cekalkan hati dan terus tabah menyesuaikan diri dengan keadaan.



"Perasaan rindu itu bertambah setiap hari tetapi inilah keadaannya sekarang dan kita harus kuat dan menyesuaikan diri," ujarnya yang berkata Lebaran adalah waktu di mana orang ramai akan meluangkan masa bersama keluarga, saudara dan rakan serta bermaaf-maafan.



Beliau kini dalam semester terakhir pengajian Sarjana Muda dalam Sains Perubatan dan Kesihatan di Universiti Adelaide.



Menurut Cik Zurainah, beliau sebenarnya sudahpun menjangkakan beliau tidak akan dapat pulang tahun ini kerana wabak Covid-19 terus berleluasa di serata dunia dan perjalanan antarabangsa masih dikawal ketat.



"Membuat sebarang rancangan adalah sangat berisiko walaupun hanya sekadar melintasi sempadan antara negeri. Dengan keadaan yang tidak menentu sekarang, saya rasa lebih sesuai untuk terus tinggal di Adelaide setelah saya menamatkan pengajian," ujarnya yang tinggal enam minggu sahaja sebelum pengajiannya berakhir.



Jika tidak kerana Covid-19, rancangannya adalah untuk pulang ke tanah air untuk mengunjungi keluarganya tetapi keadaan pandemik yang tidak menentu bermakna beliau mungkin tidak dapat masuk ke Australia lagi setelah ini.



Buat masa ini beliau ingin menyelesaikan pengajian, menjalani majlis tamat pengajiannya dan terus berada di Australia sementara mencari pekerjaan sebelum mengorak langkah selanjutnya.



Berkongsi salah satu perkara yang paling dirinduinya, Cik Zurainah berkata ia adalah mendengar takbir pada malam Raya dalam suasana tenang dan syahdu bersama keluarga.



Tahun ini, beliau menyambut Raya dengan mengadakan perjumpaan kecil bersama beberapa rakan dan menyiapkan juadah tradisional kegemaran seperti sambal goreng, ayam masak merah dan rendang.



"Walaupun rasanya mungkin jauh beza dari masakan ibu sendiri, kami akan cuba melakukan yang terbaik untuk menyemarakkan suasana Aidilfitri. Kami juga akan mendengar takbir Raya, memutarkan semua lagu-lagu Raya klasik dan bermain bunga api," tambah anak kedua dalam keluarga tiga beradik itu kepada Berita Harian.



Dalam pada itu, beliau juga berhubung dengan keluarganya menerusi wadah Zoom untuk mengubati kerinduan dan bermaaf-maafan.



Melahirkan harapan agar pandemik ini akan pulih secepat mungkin, Cik Zurainah berkata beliau berharap keluarga-keluarga dapat kembali bersatu.



Beliau berkata: "Sudah pasti ini merupakan waktu yang amat mencabar di serata dunia dan kita harus memupuk perasaan saling bantu-membantu dan bersimpati antara satu sama yang lain sedang kita mengharungi kesukaran ini bersama."




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >