Subuh
5:34
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:26
Maghrib
7:07
Isyak
8:20
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Cuti sakit bagi murid alami kesan sampingan vaksin

Chan Chun Sing gesa ibu bapa tempah slot pada hari biasa; semua slot bagi Disember sudah ditempah
Dec 25, 2021 | 05:30 AM



MURID yang menerima vaksin semasa waktu sekolah dan mereka yang berasa tidak sihat akibat kesan sampingan vaksin akan diberi cuti sakit, menurut Menteri Pendidikan, Encik Chan Chun Sing.



Beliau turut menggesa ibu bapa agar menempah slot hari biasa bagi proses vaksinasi anak-anak mereka kerana terdapat permintaan yang lebih tinggi bagi slot hujung minggu.



Malah, menurutnya, kesemua slot vaksin paediatrik bagi Disember sudah pun ditempah.



Memberikan perkembangan terkini kelmarin, Kementerian Pendidikan (MOE) berkata seorang daripada tiga murid darjah empat hingga enam telah menempah slot bagi vaksin Covid-19 dalam tempoh 24 jam selepas pelawaan dihantar kepada mereka.



"Saya amat berbesar hati melihat ramai ibu bapa yang mengambil tindakan serta-merta untuk melindungi anak-anak kita sedang kita menghadapi cabaran pandemik ini yang semakin berubah.



"Kami ingin menggalakkan ibu bapa agar membuat tempahan awal dan menimbangkan untuk menempah slot vaksinasi pada hari biasa yang masih ada," kata Encik Chan.



Tambahnya, Kementerian Tenaga Manusia (MOM) juga telah menggesa majikan supaya menunjukkan sokongan terhadap usaha ini dengan memberikan cuti kepada pekerja supaya dapat menghantar anak-anak mereka untuk mendapatkan vaksin.



Dalam kirimannya di Facebook kelmarin, Encik Chan berkata untuk mempermudah proses vaksinasi kanak-kanak, Sistem Janji Temu Nasional (NAS) akan dilancarkan lebih awal.



Mulai esok, 26 Disember, ibu bapa atau penjaga kanak-kanak yang dilahirkan pada antara 2010 dan 2012 boleh mendaftarkan minat untuk mendapatkan vaksin untuk anak-anak mereka di child.vaccine.gov.sg.



Selepas pendaftaran, ibu bapa atau penjaga akan menerima pautan melalui SMS dalam tempoh antara tiga hingga lima hari bekerja untuk menempah slot vaksinasi.



Menurut Encik Chan lagi, pihak MOE telah menerima pertanyaan daripada ibu bapa kanak-kanak yang bakal mencecah usia 12 tahun tidak lama lagi.



Katanya, jika kanak-kanak sudah mencecah 12 tahun pada tarikh slot untuk mendapatkan dos pertama vaksin, Kementerian Kesihatan (MOH) menyatakan kanak-kanak itu harus diberikan vaksin Pfizer-BioNTech/Comirnaty Covid-19 bagi kanak-kanak berusia 12 tahun ke atas.



"Memang lebih mudah untuk melakukan demikian kerana anda boleh membawa anak anda ke kesemua 22 pusat vaksinasi yang menawarkan vaksin Pfizer- BioNTech/Comirnaty Covid-19 tanpa perlu tempahan.



"Anda juga tidak perlu berdaftar di bawah NAS untuk menempah slot," katanya sambil menambah kanak-kanak 12 tahun ke atas hanya perlu datang sahaja (walk-in) bersama seorang ibu, bapa atau penjaga.



Menurut Encik Chan, kanak-kanak dalam kumpulan usia antara lima hingga 11 tahun merupakan golongan belum divaksin yang paling besar di Singapura iaitu seramai lebih 300,000 orang.



Beliau turut menggesa ibu bapa atau penjaga agar mendaftarkan anak-anak atau kanak-kanak di bawah jagaan mereka mendapatkan vaksin sebaik mereka menerima pelawaan yang dihantar jika mereka layak.



"Ini merupakan langkah penting untuk kita memastikan kanak-kanak, keluarga dan masyarakat lebih luas, termasuk sekolah dan prasekolah, kekal selamat dan lebih berdaya tahan menghadapi Covid-19," katanya.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >