Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:15
Maghrib
7:14
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

PERSIDANGAN ANTARABANGSA MASYARAKAT BERJAYA (ICCOS) ANJURAN MUIS

Bentuk kekuatan dan bakat ke arah visi Masyarakat Islam Berjaya

Jun 16, 2021 | 05:30 AM



PANDEMIK ini telah meninggalkan kesan terhadap semua termasuk masyarakat Islam. Pandemik ini juga telah memaksa kita untuk menyesuaikan amalan dan keutamaan keagamaan sepertimana ia juga telah menjejas kehidupan dan mata pencarian kita.



Contohnya, ibadah haji dihadkan secara drastik selama dua tahun hingga sekarang, dan ia kini perlu dikuatkuasakan dengan peraturan dan sekatan ketat bagi mereka yang boleh melaksanakannya.



Hari ini, masjid kita terpaksa mengehadkan perhimpunan keagamaan, tetapi sebelum ini semasa tempoh pandemik tersebar luas, masjid terpaksa ditutup terus.



Ini memang penyesuaian yang sukar. Ia menjejas kesejahteraan rohani kita.



Di beberapa negara seluruh dunia, emosi terganggu dan ada yang memberontak dan terus mengadakan perhimpunan keagamaan sehingga merugikan diri mereka sendiri.



Walau demikian, secara amnya ulama kita dan masyarakat Islam kekal teguh.



Ulama kita dengan pantas memahami bahawa panduan yang bersesuaian dengan keperluan perubatan perlu diutamakan berbanding kepentingan agama semasa waktu biasa.



Untuk itu, kita telah menyesuaikan amalan kita untuk menjaga keselamatan dan kesejahteraan masyarakat dan negara.



Dengan berat hati, kita mendirikan solat harian dan Jumaat di rumah dengan keluarga.



Kita menggembleng tenaga untuk menyumbang melalui perbuatan amal untuk melindungi golongan yang memerlukan.



Ulama kita juga telah menggarap peluang digital untuk mempertingkat pembelajaran agama dan kesejahteraan rohani.



Dalam proses itu, mereka dapat mengubat kerinduan kita dan menyemarakkan lagi semangat kita.



DINAMISME ISLAM DAN TRADISI MUSLIM



Demikian dinamisme Islam dan tradisi Muslim. Ia menetapkan prinsip untuk kita membentuk respons terhadap semua isu, meskipun masalah yang sukar dan mendesak.



Ia dengan jelas menunjukkan penyesuain terhadap tempoh tertentu, dan ini penting dalam membentuk respons terhadap pandemik seperti Covid-19.



Tentunya, badan perundangan dan pengetahuan kita memang menunjukkan bagaimana masyarakat Islam sebelum kita menyesuaikan amalan Islam berdasarkan konteks masyarakat, tempat dan masa.



Perundangan Islam ada menyatakan: "Tidak dapat dinafikan bahawa keperluan undang-undang akan berubah berdasarkan tempoh berbeza".



Kami sedar bagaimana Imam Shafie juga telah menyemak beberapa kenyataan agama awalnya, atau qaul qadim (pendapat lama) yang telah dibentuk semasa beliau hidup di Iraq, dan mengeluarkan qaul jadid (pendapat baru) selepas berhijrah ke Mesir pada detik-detik akhir kehidupannya.



Cendekiawan Islam telah lama mengakui perlunya keupayaan untuk menyesuaikan diri dengan pantas supaya masyarakat boleh berkembang maju dalam pelbagai persekitaran yang pesat berubah.



Ini sebabnya mengapa kita mempunyai pelbagai aliran pemikiran dalam tradisi Islam.



Ulama kita dari seluruh dunia dan era membentuk pengetahuan dan penyelesaian yang relevan kepada keperluan dan aspirasi masyarakat Muslim berdasarkan tempoh dan struktur sosiopolitik mereka.



Mereka menggunakan kepelbagaian keagamaan secara etika dan intelektual bagi tujuan positif.



CABARAN MASYARAKAT MINORITI MUSLIM



Perbezaan amalan tidak hanya wujud kerana perbezaan masa dan tempat, ia juga wujud antara masyarakat Muslim majoriti dengan minoriti.



Hari ini, sekitar seperlima penduduk Islam dunia tinggal di negara di mana Islam bukan agama majoriti.



Golongan minoriti Muslim menghadapi cabaran unik dan juga mempunyai keperluan berbeza yang mungkin tidak dialami masyarakat Muslim yang tinggal di negara di mana majoritinya masyarakat Islam.



Masyarakat (minoriti) ini telah mempelajari bagaimana untuk menyesuaikan panduan dan amalan agama mereka sebagai satu norma dan bukan berdasarkan darurat atau keadaan sementara.



Bagi golongan minoriti, mereka perlu menjalin hubungan damai dengan penduduk majoriti tanpa meninggalkan prinsip Islam.



Bagi mereka yang hidup dalam suasana terbuka, moden dan sekular, ketidakpastian dan cabaran dunia kontemporari yang timbul turut meninggalkan kesan yang berbeza terhadap masyarakat ini.



Masyarakat Muslim minoriti perlu menghadapi masalah dan persoalan tentang pentadbiran, kehidupan sosial serta sains dan teknologi.



Respons dan penyelesaian terhadap cabaran moden masih akan dibentuk berdasarkan tradisi kita.



Memang penting untuk kita menyemak semula isu-isu itu untuk memberi panduan kepada masyarakat Islam seluruh dunia.



Badan pengetahuan untuk membantu golongan minoriti Muslim dalam menghadapi cabaran unik mereka tidak mencukupi dan tidak teratur dari segi teori dan juga amalan.



Untuk itu, ini peluang untuk menghasilkan sesuatu yang asli.



Jika kita dapat melakukannya dengan baik, masyarakat Muslim minoriti boleh merujuk kepada prinsip yang relevan untuk membantu mereka melibatkan diri bersama warga negara yang lain secara yakin dan bermakna, di mana semua warga tidak kira bangsa atau agama bekerjasama untuk menyumbang kepada kebaikan bersama.



Ini supaya institusi keagamaan Islam kukuh,berupaya dan dilihat sebagai aset dan tidak menyusahkan negara.



Kita perlu pengetahuan ini untuk membentuk Masyarakat Muslim Berjaya dalam kalangan masyarakat minoriti kita.



KEJAYAAN MASYARAKAT MUSLIM SINGAPURA



Seperti masyarakat minoriti Muslim lain, masyarakat Muslim di Singapura bercita-cita untuk hidup dan berjaya sebagai warga yang menyumbang kepada masyarakat kontemporari dan berbilang bangsa.



Malah, Singapura merupakan antara negara yang mempunyai paling banyak agama berbeza di dunia.



Bahkan kita telah menghadapi rusuhan kaum pada 1960-an.



Kita beruntung dapat menikmati keharmonian, keamanan dan kestabilan di Singapura hari ini.



Masyarakat Islam Singapura membentuk 15 peratus warga Singapura secara keseluruhan.



Kita bangga dengan nilai agama dan sosial sementara menyumbang dengan aktif kepada masyarakat Singapura dan juga secara global.



Kita berdikari dalam memenuhi keperluan agama, bekerjasama tapi tidak bergantung kepada dana pemerintah.



Kita melakukan demikian dengan memastikan pemerintah membuat undang-undang agar masyarakat dapat secara automatik menyumbang daripada gaji bulanan mereka untuk membiayai pembinaan dan peningkatan masjid, menyokong madrasah dan mempertingkat masyarakat melalui pendidikan.



Sedang masyarakat kini berkembang, lebih banyak organisasi telah dibentuk. Antara mereka yang penting adalah Yayasan Rahmatan Lil 'Alamin (RLAF).



Ia ditubuhkan sebagai usaha menggalak masyarakat menyumbang menjangkaui masyarakat sendiri dan membantu usaha kemanusiaan di seluruh dunia.



Hanya bulan lalu, RLAF telah menyatukan semangat menyumbang masyarakat untuk mengumpul lebih daripada $4 juta bagi bantuan kemanusiaan bagi penduduk Gaza, dalam jangka masa 10 hari.



Masyarakat lain dari pelbagai lapisan turut bersama memberikan sumbangan.



Masyarakat Islam Singapura merupakan satu masyarakat minoriti yang memaparkan dirinya sebagai sebuah Masyarakat yang Cemerlang.



Kami ingin memberikan sumbangan yang bermakna untuk masyarakat yang lebih luas sebagai rakyat yang menimbulkan rasa hormat.



Kami telah menjadikan tiga 'C' sebagai tunggak masyarakat kami.



Sebagai masyarakat Islam, kami melambangkan watak yang baik, menunjukkan kewarganegaraan yang aktif dan menyumbang sebagai tenaga kerja yang cekap.



PERSIDANGAN ANTARABANGSA MASYARAKAT BERJAYA (ICCOS)



Sedang kita berusaha untuk menjadi Masyarakat yang Berjaya, kita akur bahawa terdapat banyak masyarakat minoriti yang berjaya mengusahakan dan mengharungi isu-isu kontemporari di negara masing-masing.



Oleh itu, banyak yang dapat kita pelajari antara satu sama lain untuk mencari penyelesaian baru dan mengembangkan pengetahuan baru bagi menghadapi cabaran baru.



Untuk melakukan ini, kita perlu bertemu dan bertukar idea untuk memperluaskan lagi pengetahuan kita, memperoleh perspektif dan mempelajari model kejayaan lain di mana minoriti Islam berkembang dalam masyarakat majoriti bukan Islam sebagai warganegara dan masyarakat yang berjaya.



Untuk tujuan ini, saya telah meminta Muis untuk menganjurkan Persidangan Antarabangsa Masyarakat Berjaya (ICCOS) dalam masa terdekat. Menjelang persidangan tersebut, Muis telah mengadakan seminar ini.



Covid-19 adalah cabaran terbesar yang kini dihadapi oleh umat manusia.



Saya yakin kita dapat, dan telah mengubah, wabak itu menjadi sumber daya tahan dan kekuatan masyarakat kita.



Namun, kami juga ingin belajar bagaimana masyarakat lain menangani wabak tersebut, terutama bagaimana para tokoh dan cendekiawan agama telah membimbing masyarakat mereka sebagai respons terhadap masalah teologi dan fikah yang belum pernah terjadi sebelumnya yang timbul daripada pandemik ini.



PROGRAM KAJIAN DALAM PENYELIDIKAN MASYARAKAT ISLAM CEMERLANG (RPCS)



Pengalaman semasa pandemik ini harus dimanfaatkan dan dikembangkan lebih lanjut dalam usaha kita untuk membantu masyarakat mengatasi cabaran masa depan dan untuk memacu masyarakat Islam kita ke arah visi kejayaan yang holistik ini. Ia juga dapat mengkaji masalah masa lalu dengan perspektif baru.



Terutama relevan dengan Singapura, adalah konteks masyarakat minoriti Islam sebagai rakyat di sebuah negara yang terbuka, moden, progresif dan sekular.



Justeru, Muis akan memperkenalkan Program Kajian dalam Penyelidikan Masyarakat Islam Cemerlang (RPCS).



Program ini akan meneroka isu-isu baru yang berkaitan dengan pemerintahan, pembangunan sosial, sains dan teknologi dan mengembangkan panduan mengikut konteks yang berakar pada tradisi Islam yang kaya, pelbagai aspek dan kompleks untuk masyarakat tersebut.



Dalam prosesnya, kita mula membangun badan pengetahuan dan setelah lebih banyak dilengkapkan, kita berharap ia akan memulakan kebangkitan Islam kembali sebagai aset bagi umat Islam untuk berkembang maju, menyumbang dan hidup dengan yakin sebagai minoriti di negara mereka.



Program ini akan menyediakan wadah untuk pertumbuhan dan pengembangan pemimpin agama, tokoh dan cendekiawan Singapura sendiri untuk membimbing masyarakat Islam setempat mengenai isu-isu kontemporari penting dalam jangka masa panjang.



Saya mengajak semua orang untuk mengumpulkan kekuatan, kepakaran serta bakat kita dan bekerjasama menuju visi Masyarakat Islam Berjaya.




SEDUTAN UCAPAN MENTERI BERTANGGUNGJAWAB BAGI EHWAL MASYARAKAT ISLAM, ENCIK MASAGOS ZULKIFLI MASAGOS MOHAMAD



"Masyarakat (minoriti) ini telah mempelajari bagaimana untuk menyesuaikan panduan dan amalan agama mereka sebagai satu norma dan bukan berdasarkan darurat atau keadaan sementara...

Seperti masyarakat minoriti Muslim lain, masyarakat Muslim di Singapura bercita-cita untuk hidup dan berjaya sebagai warga yang menyumbang kepada masyarakat kontemporari dan berbilang bangsa...

Kita bangga dengan nilai agama dan sosial sementara menyumbang dengan aktif kepada masyarakat Singapura dan juga secara global.

Kita berdikari dalam memenuhi keperluan agama, bekerjasama tapi tidak bergantung kepada dana pemerintah.

Pengalaman semasa pandemik ini harus dimanfaatkan dan dikembangkan lebih lanjut dalam usaha kita untuk membantu masyarakat mengatasi cabaran masa depan dan untuk memacu masyarakat Islam kita ke arah visi kejayaan yang holistik ini. Ia juga dapat mengkaji masalah masa lalu dengan perspektif baru.

Terutama relevan dengan Singapura, adalah konteks masyarakat minoriti Islam sebagai rakyat di sebuah negara yang terbuka, moden, progresif dan sekular."

- Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >