Subuh
5:41
Syuruk
7:00
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:09
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Bahan makanan terpaksa disimpan dek bazar ditutup

Apr 14, 2022 | 05:30 AM



STOK lebih 50 kilogram tepung yang ditempah bagi penjualan makanan gorengan selama seminggu di sebuah bazar di Downtown East terpaksa disimpan, selepas gerai itu terpaksa ditutup kerana bazar tersebut digantung Agensi Makanan Singapura (SFA) kelmarin.



Pemilik gerai O'braim, Encik Abdul Hakeem Ibrahim, 35 tahun, dan adiknya, Abdul Hakam, 33 tahun, petang semalam kelihatan meletak empat kotak tepung naik sendiri seberat 12 kilogram setiap satu dan satu guni tepung gandum 25 kilogram dalam kotak-kotak tertentu serta meruntuhkan rak-rak dan beberapa tong minyak untuk disimpan.



Penjual makanan seperti pisang goreng, getuk ubi dan keropok lekor itu berkata stok tersebut ditempah bagi bazar Fiesta Ramadan 2022 itu, yang sepatutnya berlangsung hingga 24 April.



"Ini satu kerugian untuk kami. Stok baru sahaja masuk, sekarang kita kena simpan barang," kata Encik Hakeem, antara lapan pengendali gerai makanan di bazar itu.



Namun, Encik Hakam memberitahu Berita Harian bayaran sewa baki 13 hari sekitar $1,700 telah dipulangkan sepenuhnya kepada mereka kelmarin.



Sewa penuh dari 9 hingga 24 April sekitar $2,000 setiap gerai seluas sembilan meter pesegi. Terdapat 24 gerai dan 13 telah diambil penyewa.



Bazar di E!Hub Downtown East anjuran syarikat N6y.sg itu digantung malam kelmarin oleh SFA kerana beroperasi tanpa permit.



SFA memberitahu Berita Harian semalam ia tidak meluluskan permohononan permit oleh Event Business Management Pte Ltd (EBM) bagi mengendali pesta sementara itu.



EBM dilantik N6y.sg sebagai kontraktor untuk, antaranya, mengendalikan dan menghantar pelan lantai kepada SFA.



SFA berkata EBM tidak mematuhi arahan penguasa itu pada 11 April supaya menghentikan pesta itu ketika kelulusan permit sedang diusahakan.



Apabila Berita Harian meninjau kawasan acara, pengendali gerai dan penyedia kemudahan bazar seperti kemah dan alat pementasan kelihatan menyimpan barang mereka di kenderaan masing-masing.



Pengendali gerai dan pemilik Ministry of Burgers, Encik Shiv Sheri, berkata kemudahan tertentu, seperti terminal elektrik, perlindungan daripada hujan dan tempat membasuh disediakan di bazar itu kurang memadai.



Cik Noorismilda Ismail daripada syarikat penganjur N6y.sg memberitahu Berita Harian semalam pihaknya memutuskan menghentikan semua operasi disebabkan isu itu. Ini kali pertama pihaknya menganjurkan acara berskala sebegitu.



Beliau berkata pihaknya menghentikan operasi sejak 8.30 malam Isnin lalu.



"Mereka menjalankan pemeriksaan pada 2.30 petang kelmarin agar semua operasi sudah dihentikan dan sejak 5.30 petang kita sudah clear tempat ini," katanya



Pada ketika itu, kata Cik Noorismilda, pihaknya masih positif bazar itu dibolehkan beroperasi semula, namun selepas mengadakan undian lewat malam kelmarin kebanyakan pengendali bazar memutuskan mengundur diri.



Beliau memulangkan semua bayaran sewa bagi baki tempoh bazar itu kepada pengendali, ujar Cik Noorismilda.



"Saya ingin isu ini diselesaikan secepat mungkin dan saya telah hentikan sepenuhnya operasi ini dan telah kembalikan bayaran baki tempoh sewa mereka bergantung pada rundingan tertentu kerana ada yang ingin pemampasan atas kos yang sudah ditanggung," jelasnya.



Ketika ditanya berkenaan pelaksanaan bazar itu tanpa permit, Cik Noorismilda berkata EBM telah memberi pengesahan kepada N6y.sg mereka boleh beroperasi sedang permohonon pelan lantai terbaru itu diproses.



Seorang wakil Events Business Management yang hadir di tempat acara petang semalam, dikenal pasti sebagai Pengurus Besarnya, Encik William Lim, enggan mengulas ketika ditemui.



Berita Harian telah menghubungi pengendali premis Kelab NTUC untuk memberi respons.



SFA berkata di bawah Akta Kesihatan Umum Sekitaran, semua pengendali pesta sementara mesti mendapatkan permit daripada penguasa itu sepanjang tempoh pesta.



Permohonan permit harus dihantar sekurang-kurangnya dua minggu sebelum pesta bermula, kata SFA lagi.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >