Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:14
Maghrib
7:15
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

USAHA BADAN MELAYU/ISLAM (MMO) KUMPUL DANA SEMASA PANDEMIK

Badan Melayu teliti langkah pastikan cukup dana

Feb 10, 2022 | 05:30 AM



DARIPADA mengurangkan perbelanjaan yang dianggap tidak penting sehingga mengambil potongan gaji serta membentuk pasukan khas bagi usaha pengumpulan dana yang inovatif untuk menambah nilai kepada perkhidmatan mereka.



Ini merupakan beberapa langkah yang sedia diambil oleh beberapa Pertubuhan Melayu/Islam (MMO) di sini supaya mereka dapat terus mendekati dan membantu penerima bantuan serta mereka yang memerlukan terutamanya semasa tempoh yang sukar ini.



Bimbang sekiranya usaha pungutan dana mereka akan terjejas akibat wabak Covid-19 ini, Persatuan Bertindak Ginjal Bagi Masyarakat Islam (MKAC) telah bersedia mengurangkan perbelanjaan mereka.



Mereka juga bersedia mengambil pemotongan gaji jika keadaan memerlukan mereka berbuat demikian, menurut presidennya, Encik Ameerali Abdeali.



"Sekiranya terdapat pengurangan dalam pembiayaan kami, MKAC akan mengatasinya dengan mengurangkan kos dan membuat pengorbanan peribadi tanpa mengurangkan bantuan yang kami berikan kepada pesakit buah pinggang kami.



"Kami akan berusaha untuk memastikan kami tidak mengurangkan bantuan yang kami berikan kepada penerima bantuan kami," katanya.



Meskipun sesetengah pihak, seperti MKAC, bersedia mengambil langkah drastik ini, pertubuhan lain seperti Persatuan Persuratan Pemuda Pemudi Melayu (4PM) pula membuat persiapan menghadapi cabaran baru dengan pendekatan yang berbeza.



Presiden 4PM, Encik Nassar Mohamad Zain, berkata memandangkan banyak syarikat dan individu terpaksa meneliti semula sumbangan yang biasa mereka lakukan sebelum ini, 4PM telah mengambil keputusan untuk membentuk sebuah pasukan yang berdedikasi untuk mengkaji usaha pengumpulan dana yang lebih inovatif bagi menambah nilai kepada perkhidmatan mereka, agar dapat menjangkau kumpulan penderma yang lebih luas.



Beliau menambah bahawa para penderma kini lebih berhemat sedang mereka juga mengharungi keadaan ekonomi yang tidak menentu ini.



Justeru, bagi menggalakkan lebih ramai individu memberikan sumbangan dan bantuan semasa pandemik ini, usaha yang lebih kolektif daripada pelbagai pihak berkepentingan dan rakan kongsi amat diperlukan, terutamanya untuk membantu golongan yang lemah dan memerlukan dalam masyarakat, menurut Encik Nassar lagi.



Dengan ini, 4PM sudah pun giat mencari perkongsian baru serta cara yang lebih kreatif bagi mencari sumber dana baru setelah mereka meramalkan akan terdapatnya kemerosotan dalam sumbangan tradisional apabila wabak ini melangkah masuk ke tahun ketiga tahun ini.



"Sebagai sebahagian daripada kolektif sosial, kami juga memperkenalkan kegiatan dan inisiatif baru bersama agensi perkhidmatan sosial dan MMO lain yang berfikiran sama dengan kami untuk menyatupadukan program dan mengetatkan penyelarasan buat penerima bantuan kami," kata Encik Nassar, sambil mendedahkan bahawa mereka mempunyai beberapa program dalam perancangan tetapi tidak dapat didedahkan buat masa ini.



Beliau juga menyatakan bahawa rangsangan fiskal seperti Bayaran Perpaduan atau dasar kewangan yang membolehkan pengecualian yuran urus niaga menerusi Giving.sg telah membantu memberikan kelebihan kepada pertubuhan dan agensi perkhidmatan sosial di sini.



Walaupun pandemik ini telah mendatangkan banyak cabaran untuk MMO di sini, terdapat juga beberapa perkembangan yang tidak dijangka.



Terdapat limpahan sokongan tidak berbelah bagi dari orang ramai. Ia merupakan bukti bahawa meskipun masih berada di tengah-tengah pandemik, sikap ihsan dan kemurahan hati rakyat Singapura masih lagi terserlah.



Encik Ameerali berkata beliau terharu dengan sikap mulia ini yang juga mencerminkan kepercayaan orang ramai terhadap usaha MKAC.



Beliau turut berkongsi bahawa mereka telah menerima jumlah derma yang tertinggi pada 2020 - sewaktu tahun pertama sejak wabak itu bermula.



Tanpa mendedahkan jumlah sebenar, Encik Ameerali berkata:



"Saya fikir orang ramai sedar bahawa pandemik ini telah menyebabkan banyak kesukaran kepada ahli masyarakat kami yang mudah terdedah.



"Jadi mereka membuka hati untuk membantu golongan ini dengan menyumbang kepada pertubuhan bukan pemerintah (NGO) seperti MKAC."



Bersependapat Eksekutif Unit Sumber dan Komunikasi Korporat, Persatuan Muhammadiyah, Encik Zhofry Hamid, berkata disebabkan sekatan Covid-19, dengan tiadanya rancangan untuk melancong dan sebagainya, mungkin para penderma ingin menggunakan wang mereka bagi tujuan yang lebih bermakna.



"Dengan lebih banyak sumbangan diterima dan lebih ramai keluarga yang memerlukan bantuan bagi mengharungi masa mencabar ini, bilangan penerima bantuan kami dan jumlah yang diagihkan hampir mencecah dua kali ganda," kata beliau.



Pada majlis Anugerah Bestari baru-baru ini, Encik Nassar berkata 4PM juga berjaya memberikan lebih banyak anugerah wang tunai kepada setiap penerima anugerah berbanding sebelum ini.



Memandang ke hadapan, MMO yang dihubungi Berita Harian ini berkata mereka cuba untuk menambah baik proses mereka untuk memastikan penerima bantuan boleh menerima bantuan yang lebih menyeluruh.



Ini dilakukan dengan mengukuhkan hubungan mereka dengan rakan kongsi dan sukarelawan untuk lebih memahami apakah yang benar-benar diperlukan, dengan harapan usaha kemasyarakatan mereka akan dapat terus kekal relevan selain memberi kesan yang mendalam dan lebih bermakna.



Encik Nassar menegaskan bantuan yang dihulurkan 4PM kepada penerima bantuan mereka akan terus mempunyai sentuhan peribadi, yang lahir daripada hubungan yang ikhlas dan tulen.



"Kami akan terus meneroka model mampan perkongsian jangka panjang yang lain dan bukan sahaja memberikan sumbangan sekali sahaja," tambahnya.



Encik Ameerali pula berkata: "Kami akan berusaha memastikan kami tidak mengurangkan bantuan yang kami berikan kepada penerima bantuan kami."




"Sekiranya terdapat pengurangan dalam pembiayaan kami, MKAC akan mengatasinya dengan mengurangkan kos dan membuat pengorbanan peribadi tanpa mengurangkan bantuan yang kami berikan kepada pesakit buah pinggang kami.

Kami akan berusaha untuk memastikan kami tidak mengurangkan bantuan yang kami berikan kepada penerima bantuan kami."


- Presiden Persatuan Bertindak Ginjal Bagi Masyarakat Islam (MKAC), Encik Ameerali Abdeali.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >