Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

SIDANG PUNCAK KHAS ASEAN-AMERIKA

Asean-AS janji tingkat hubungan kerjasama

Usaha strategik menyeluruh pada November dimeterai di akhir sidang puncak di Washington
May 15, 2022 | 05:30 AM



WASHINGTON: Amerika Syarikat dan Asean menamatkan sidang puncak mereka di Washington kelmarin dengan perjanjian untuk berusaha meningkatkan hubungan mereka kepada kerjasama strategik menyeluruh pada November.



Ini menyusuli perjanjian serupa yang dibuat Asean dengan Australia dan China akhir tahun lalu.



Kerjasama dipertingkat itu akan menjadi "bermakna, substantif dan saling menguntungkan", kata Amerika Syarikat dan Asean dalam satu kenyataan bersama di akhir mesyuarat selama dua hari di Washington untuk menandakan ulang tahun ke-45 hubungan mereka.



"Kami bukan sahaja meraikan kerjasama dan persahabatan selama 45 tahun antara Asean dengan Amerika Syarikat; kami melancarkan era baru hubungan Amerika dan Asean," kata Presiden Amerika, Encik Joe Biden, di sidang puncak itu Jumaat lalu.



Perdana Menteri Singapura, Encik Lee Hsien Loong, berkata sidang puncak dan peningkatan hubungan itu adalah isyarat bahawa Amerika menghargai kerjasamanya dengan Asean dan ingin meningkatkan penglibatannya dalam rantau itu, lapor The Straits Times.



Amerika juga bertindak mengisi jawatan duta Amerika Syarikat ke Asean, jawatan yang kosong sejak permulaan pentadbiran Encik Donald Trump pada Januari 2017 sehingga membimbangkan pemerhati serantau.



Kelmarin, Encik Biden mengumumkan beliau mencalonkan ketua kakitangan Majlis Keselamatan Negara dan setiausaha eksekutif, Encik Yohannes Abraham, satu langkah yang disambut baik oleh pemimpin Asia Tenggara.



Washington berusaha untuk menekankan "komitmen berkekalannya" kepada rantau itu dalam sidang puncak tersebut, melancarkan program bernilai AS$150 juta ($209 juta) dalam tenaga bersih, kerjasama maritim, kesihatan awam dan pendidikan.



Encik Biden berkata keghairahan Washington untuk terlibat di rantau ini dicerminkan di seluruh pentadbirannya.



Menurutnya, perbincangan Amerika dan Asean merangkumi usaha memerangi pandemik Covid-19 dan perubahan iklim, serta membina prasarana bermutu yang mampan.



"Keluasan perbincangan kami menggambarkan betapa pentingnya wilayah Indo-Pasifik dan Asean kepada Amerika Syarikat.



"Banyak sejarah dunia kita untuk 50 tahun akan datang akan ditulis di negara-negara Asean," kata Encik Biden.



Encik Lee pula berkata sidang puncak itu bermakna memandangkan serangan Russia ke atas Ukraine, pandemik yang berterusan, serta ketegangan antara Amerika dengan China.



"Di tengah-tengah semua ini, Amerika memberi tumpuan kepada Asean dan membawa pemimpin Asean ke sini dan memupuk hubungan itu dan mengembangkannya lebih jauh, saya fikir ini menunjukkan bahawa Amerika menghargai kerjasamanya dengan Asean, Asia Tenggara, dan mereka mahu melakukan lebih banyak dengan kami," katanya kepada wartawan Singapura.



Beliau menambah: "Amerika terus memberi tumpuan kepada Asia-Pasifik, walaupun di sebalik semua kesibukannya yang lain.



"Ia baik untuk kita kerana pandangan Singapura sejak sekian lama adalah Amerika memainkan peranan membina, bahkan, amat diperlukan, di rantau kita.



"Tiada orang lain yang boleh menggantikan mereka dalam peranan itu dan keseimbangan serantau sedang berubah tetapi menjadi lebih penting lagi, kami menghargai Amerika yang terus kekal terlibat."



Encik Lee berkata Rangka Kerja Ekonomi Indo-Pasifik (IPEF), strategi ekonomi Amerika yang akan datang untuk rantau itu, turut dibincangkan dalam sidang puncak itu.



Sebilangan besar negara Asean berminat dengan rangka kerja itu dan sebahagian daripada mereka akan menyertainya apabila ia dilancarkan, katanya sambil menambah Singapura menyokong rancangan ekonomi itu.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >